Friday, June 5, 2009

penawar...

Selama jantung masih punya upaya berdegup, Pencinta Agung pasti tetap merencana ujian ke atas hambanya. Menentu darjat insan di sisi Tuhan, apakah setara pencinta agung sepanjang zaman atau pencurang bermanis rupa.

Saat jiwa hilang upaya diuji seketika, ramai sekali merintih semahunya. Umpama Jabal Uhud menimpa bahu, bernafas terasa sesak, nadi berdenyut tanpa aturan sedang akal hilang fungsi. Manusia seperti apakah yang tangisannya atas sejadah cinta saban waktu semata2 meratapi dugaan dunia sedang tanpa sedar di situlah kayu ukur iman manusia pada pandangan Tuhan...

Beberapa perhentian telah dilewati, betapa manusia yang punya akal harus sedar kemanisan tiada pernah terasa nikmat tanpa kepahitan sebelumnya...

Saya lampirkan bicara Hamka dalam Tasawuf Moden mengikut rentak kefahaman saya di sini... Biar jadi penenang jiwa...

Ubat Dukacita...
Betapa dukacita itu timbul lantaran sandaran yang terlalu ke atas sesuatu jua. Umpamanya kehilangan orang yang dicintai, keterlaluan dalam mementingkan jasmani, tiada keterbatas an syahwat sehingga timbul kepercayaan bahawa apa jua yang dicintai itu tidak harus berpisah daripadanya.

Dukacita memikirkan yang telah berlalu...

Kalau sahaja manusia itu keterlaluan memikirkan keberuntungan, kekayaan, kemuliaan dan kebahagiaan bersama manusia tertentu yang telah berlalu, sungguh dukanya itu tiada bererti sama sekali. Merataplah semahunya, tiada pernah masa sesaat dikejar kembali. Terus-terusan meratap akan memusnah manusia itu dari dalam hingga hilanglah sifat manusia itu yang fitrahnya indah dan membahagiakan. Kedukaan seumpama ini timbul lantaran tiada keyakinan bahawa alam ini asalnya tiada, kemudian diadakan dan akhirnya akan lenyap kembali. Segala yang dicintai semuanya akan datang dan pergi dari kita. Kalau bukan kita yang pergi terlebih dahulu, maka sudah tentu mereka yang terlebih dahulu sirna.

Mengubat dukacita ini tidak lain hanyalah dengan menjaga yang tinggal sekarang... Kerana segalanya, samada yang telah hilang atau yang sedang ada serta yang bakal mendatang adalah nikmat. Jangan sampai meratap yang telah tiada, yang digenggaman itu kehilangan pula hingga hujungnya nanti yang ada itu setelah hilang diratapi pula...

Iskandar Zulkarnain sewaktu mangkat setelah menakluk begitu banyaknya jajahan bicara...

"Apabila aku telah mangkat, letakkan mayatku dalam peti, lalukan ke negeri Persia dan Mesir dan ke segenap jajahan yang telah aku takluki. Dari dalam peti hendaklah hulurkan kedua-dua tanganku yang kosong supaya orang tahu bahawa raja Iskandar yang maha kuasa walau bagaimana kuasa sekalipun, namun dia kembali ke akhirat dengan tangan kosong jua. Dan jika ibu dan ahli rumahku hendak meratap mayatku, janganlah dilarang mereka meratap cuma suruh sahaja 2 orang yang akan jadi temannya, iaitu orang yang tidak akan mati selama-lamanya, dan orang yang tidak pernah keluarganya ditimpa kematian. Kalau yag berdua itu telah ada, bolehlah mereka meratapi kematianku".

Bicara Prof Al Attas,
Ma'na kebahagiaan dalam Islam harus dinilai dari Islamic Worldview yang benar. Saat dunia Barat mencari2 ma'na bahagia menerusi material dan bersifat nisbi, Islam itu tidak pernah bermusim bahagianya. Tidaklah hilang bahagia itu saat kehilangan sesuatu yang maujud sifatnya, tidak pula kebahagiaan itu miliknya saat dia beroleh sesuatu mengikut kehendaknya. Bahagia itu lahir dari jiwa yang bertemu Al Haqq, yang punya keyakinan dan kefahaman benar akan pengertian hidup, teguh aqidahnya hingga atas nama aqidah inilah bibir bisa menyebut 'ahad' saat belati menyentuh urat leher. Fahamkah? Bahagia dalam Islam itu tidak nisbi sifatnya, saat nilai bahagia diletakkan atas kebendaan dan kemanusiaan, sungguh manusia hilang sifat kehambaan...

Ibn 'Ataillah pula bicara,
Janganlah keinginan manusia itu cuba menandingi kehendak Tuhannya. Terlalu sibuk mengurusi hal diri menerusi perancangan-perancangan tertentu, adakala manusia itu lupa kalau kitab taqdir itu tiada pernah menjadi miliknya. Selama manusia itu tidak punya sedar kalau hamba itu harus beradab sebagaimana lagak seorang hamba, selama itu kepentingan diri sentiasa jadi tunjang perjuangan tanpa erti. Betapa ramai tokoh agung sepanjang zaman beroleh cinta dalam duka dunia. Sungguh... Sabar dalam diam itu indah bagi jiwa yang mengerti...

Kata2 di atas adalah nukilan saya mengikut kefahaman cetek atas idea2 tokoh di atas. Setiap perkataan di atas saya maksudkan dengan sebenar2 pengertian. Sangatlah tidak adil membaca secara permukaan. Sebarang kesalahan dalam kefahaman saya silalah dibetulkan...

Wassalam...



2 comments:

Rausyanfikir said...

Betul la tu. Peringatan yang sangat berharga. Tapi biasalah, manusia itu pelupa dan lemah. Sebarang perubahan dari buruk kepada baik adalah daripada-Nya jua.

ainun said...

jadilah hamba Allah..
mana mungkin kita rasa dukacita selagi kita memikirkan yang kita hamba Allah.
kadang2 kita telupa dan menjadi hamba kepada duit.. kerja.. result exam..
Hamka cakap pe.. masalah itu tiada besar atau kecilnya, tetapi hati yang besar dan kecil itu yang menentukan besar dan kecilnya masalah itu..