Wednesday, February 25, 2009

lakar2...

Adakah perisai bertali rambut

Rambut dipintal akan cemara

Adakah bisai tahu takut

Kami pun muda lagi perkasa.

Pantun Hang Lekir ini saya tujukan pada insan-insan tertentu yang punya citra indah di hati saya. Selalu ungkapan Barat dibanggakan, sesekali menyingkap khazanah silam, indah sekali membujuk jiwa…

Sehari suntuk terperap di rumah, tergelak besar menonton gelagat Karpal Singh yang menerima kurnia 20 peluru gara-gara hendak menyaman Sultan Perak. Lagi comel Menteri besar Pahang yang sesuka hati mendefinisikan perkataan Barisan =lurus sedang Pakatan=banyak cabang seperti pakatan menyamun. Sebagai pemerhati terpencil, saya menilai system demokrasi yang dikatakan akhir kepada system politik dunia yang tidak mungkin muncul lagi system selepasnya adalah system yang tidak sempurna sama sekali. Apabila kayu ukur kebenaran diletakkan pada penilaian masyarakat (collective mind of society), sedang pandangan golongan minority apatah lagi individu dipandang sepi, maka sudah tentu sistem ciptaan manusia yang menolak kehadiran Tuhan ini penuh kepincangan. Pengasingan Tuhan dalam aturan kehidupan ini mengundang retak yang kian parah. Barangkali atas sebab ini pakcik2 di parlimen beradu bicara menonjol diri, ada yang megah melaung pejuang agama, tidak kurang pejuang bangsa, malah ada juga pejuang rakyat. Namun hanya Allah bisa menilai.

Post kali ini barangkali sekadar luahan. Kata orang perempuan suka membesarkan perkara kecil, tapi saya yakin masalah yang membarah di mata saya ini bukan perkara picisan. Mencari Tuhan… Ungkapan berani barangkali dari betik muda. Hahaha.. (ungkapan yang baru saya temui).

Sekularisme rupa-rupanya bukan isu kecil. Bagi seseorang yang baru membuka mata, terasa sesak dunia dengan penipuan. Bayangkan bertahun-tahun kita mencari ilmu, sejauh mana ilmu yang dikejar membawa kita kepada Tuhan? Bayangkan jiwa yang semakin jauh dari pencipta saat peperiksaan menjelma, kesibukan yang melalaikan bibir daripada meratib asma’ Ilahi, kejayaan yang kononnya disyukuri dengan ungkapan terima kasih. BAYANGKAN BERTAHUN-TAHUN MENYERTAI USRAH NAMUN HIDUP DALAM SISTEM YANG MENYANGGAH KEWUJUDAN TUHAN DAN KITA MERELAKANNYA TANPA SEDAR!!! Bayangkan berpuluh kali khatam membaca Maza Yakni (Fathi Yakan) namun gagal mengerti sejauh mana kita mampu menjadi Islam dengan sebenar-benarnya bukan sekadar berteori dengan sandaran kitab silam. Saya yakin bukan sekadar untuk dihafal bait-bait teks maka manusia-manusia hebat sepanjang zaman menulis kitab agung. Namun malangnya taqlid warisan berzaman menghalang sesetengah kita melangkah kehadapan melakar sejarah cemerlang. Sejauh mana kekuatan aqidah yang dimiliki, atau lebih sinis sedalam mana kita mengerti pengertian aqidah. Saya masih jauh…

Menjadi pelajar perubatan, adakah bererti saya harus akur pada evolusi alam yang terjadi dengan sendirinya? Adakah juga harus diterima segala kebenaran adalah konkrit dan hanya dibuktikan dengan pancaindera manusia yang jasadi lantas menafikan intuisi dan wahyu Tuhan? Ya Tuhan, adakah saya dimengerti?

Wednesday, February 18, 2009

Titik kesatuan...

Salam.

Hari ini emosi saya sedikit terganggu. Keserabutan pelbagai pihak memberi tempias pada saya yang selalu cuba menjadi pendengar setia. Akhirnya, saat mencari kesimpulan umum, saya jadi semakin keliru. Persoalannya, layakkah seorang manusia menganalisa peranan setiap makhluk yang lain sedang mencari kedudukan sendiri juga masih kabur? Kita hurai satu persatu.

Saya selalu terfikir rasional kewujudan manusia seperti Marx, Darwin dan Freud yang menolak kehadiran Tuhan dalam perjuangan masing-masing membela keadilan dan mencari kebenaran dalam pengertian masing-masing. Malah kelahiran manusia2 besar dalam sejarah yang melakar warna duka seperti Hitler yang saya kagumi skil pidatonya juga menimbulkan tanda tanya. Manakan tidak kalau ahli teologi seperti Santa Thomas Aquinas masih bisa berhujah bahawa penzalim-penzalim sepanjang zaman berbakti memenuhi matlamat taqdir, kerana jika bukan kerana penzalim maka tidak ada peluang memuja yang syahid. Lantas, adakah wajar zionis dipuja dek membuka peluang tentera Hizbullah menjejak syurga? Namun saya tetap yakin pada hikmah aturan taqdir. Sebagaimana bicara sufi agung Ibn Ata’illah, Bapa manusia tidak mungkin melanggar larangan kalau bukan dengan kehendak Tuhan yang akhirnya beroleh hikmah di muka Bumi. Berbeza pandangan antara Islam dan Kristian tentang dosa asal. Masih bukan upaya saya mengerti ruang lingkup metafizik, tapi keyakinan telah berakar.

Tiada insan berjuang untuk dipersia. Setiapnya bergerak demi motif yang tersendiri. Semulia manusia berjuang demi Tuhan, sedang sehina manusia menjadi boneka syaitan. Namun menjadi manusia yang punya akal, saya yakin kebahagiaan adalah matlamat akhir. Bahagia bertemu Tuhan bagi pencinta sejati, sedang bahagia dalam baldu dosa bagi sang curang. Dalam renungan panjang, sedarlah saya kekeliruan akal mentafsir ma’na bahagia menjadi pasak kemusnahan. Apabila sang jahil menjunjung dunia menjadi pengukur bahagia, selamanya tewas dalam bayangan fana. Namun saat jiwa diusik pengertian bahagia oleh Prof Naquib, maka duka jua yang bertandang. Lantaran jiwa akur, terlalu jauh diri dari jalan bahagia.

Biar saja ringkasan kefahaman bertinta di sini. Pengakuan berani daripada ilmuan Islam yang tak pernah saya temui setakat ini, yang sungguh-sungguh melerai keliru tentang peri penting ilmu pada akal dalam memperkukuh aqidah. Sejujurnya, bertahun saya mencari huraian sebegini bagi merungkai resah seorang hamba yang bimbang pemikirannya melangkaui batas kehambaan. Bukan selayaknya saya menjelaskan isi MA’NA KEBAHAGIAAN DAN PENGALAMANNYA DALAM ISLAM. Namun sekadar perkongsian, sekurang-kurangnya sinar bahagia telah kelihatan, meski destinasinya masih tidak tergapai. Bagi yang berminat memahami, sewajarnya anda sendiri meneliti khazanah yang terkandung dalam buku ini.

Berbalik pada persoalan utama, tentang kekeliruan yang timbul di awal post. Saya punya pendapat tersendiri. Samada dalam kekeliruan hala tuju APIS, atau rasa terasing seorang pejuang, atau kesusahan seorang wanita berjuang untuk terus bernafas dalam jiwa hamba (harus ditegaskan saya tidak terlibat dalam salah satu masalah ini), setiapnya diaturkan Tuhan. Sebagai pemerhati, saya melihat kekeliruan yang terlalu dalam permasalahan yang muncul.

Apabila masalah kecil diberatkan, maka akal mentafsir masalah sukar diselesaikan. Persoalan berbeza jemaah atau konsep wala’ ini sememangnya tidak layak untuk saya bicarakan. Namun, adakah melanggar syara’ untuk hamba yang bernafas dalam syahadah yang sama mencari titik persamaan untuk berkongsi perjuangan. Soal hala tuju sebuah alumni telah sejak awal diperjelas. Masalah membawa nama jemaah lain dalam alumni yang begitu dibimbangkan kadangkala menyesakkan. Selaku manusia yang punya hati, seharusnya ada kesedaran kalau sejarah tak mungkin dipadam. Bagi orang yang telah berbakti, seharusnya kita berbudi dalam cara yang sewajarnya. Apakah perbezaan-perbezaan jemaah ini menghalang sesama muslim untuk duduk semeja berbincang kemaslahatan ummah? Andai insan punya fikrah memilih dalam bersaudara, bagaimana dakwah hendak disebar kepada yang apati pada agama? Wahai daie, sedarlah…

Bagi sesetengah pejuang yang semegahnya menyatakan diri dalam jalan yang benar, jangan seangkuhnya menidakkan perjuangan yang lain. Saya yakin aturan Tuhan bukanlah satu kekosongan. Saat pejuang siasah melaungkan HANYA siasah jalan menegakkan agama, sedang pejuang ilmu semudahnya memperlekeh pejuang politik dengan gelaran korupsi, saya melihat anda saling memusnah agama. Allah tidak melengkapkan manusia dengan persamaan dalam setiapnya, agar manusia sedar khilaf diri dan saling melengkapi. Kegagalan memahami perjuangan saudara sendiri bisa membunuh ukhuwah. Pertingkat potensi diri, izinkan kekosongan diri diisi pejuang yang layak, maka indahlah agama. Namun menjulang adil, hanya yang berhak bisa berdiri di atas haknya, jika tidak maka berundurlah dari memegang hak orang lain!

Maaf bagi yang terguris. Saya mencari titik kesatuan, izinkan ukhuwah berbunga indah. Beradab dalam berjuang, kerana manusia sentiasa melakar noda…

p/s: Dan atas sebab2 tertentu, saya tidak lagi meletakkan gambar di frenster. Wallahua’lam…

salam perasmian...

Atas desakan Kak Srisufi yang comel, maka saya merasmikan blog comel ini secara rasminya... Thanks to Kak Srisufi again...