Sunday, April 19, 2009

nukil2...

Seluruh dunia bergerak, mencari sempurna dalam pengertian berbeza. Hakikat sempurna tidak mungkin digapai, jarang sekali membangkit sedar. Pencarian demi pencarian... Sesekali jiwa ketemu 'sempurna', terdetik di hati bahagia seperti apakah ini yang asyiknya memabuk jiwa. Laksana bermadu kasih di alam syurga, siapa pun tak bisa menoda rasa...

Sukar rupanya menyedari bahagia yang digenggam bukanlah sebenar bahagia. Sukar jua menerima kalau bahagia itu terlalu jauh ingin disentuh. Saat jalan terlakar untuk dilalui, diuji mehnah dunia buat hati terpaku sementara. Apakah untuk punya cinta harus punya darjat begitu? Mengapa wujud jurang luas tak terlangkau manusia hingga impian kekal jadi mimpi sedang realiti membunuh makna? Sungguh kecewa tersungkur kebelakang merenung manusia lain punya langkah menuju bahagia.

Andai tawa itu ukuran bahagia, berbahagialah manusia hina yang hidupya tertawa bersama penghasut neraka. Andai tangis itu petunjuk derita, sengsaralah insan yang saban malam merintih di atas sejadah cinta. Menjadi manusia yang melihat luaran, mata buta hati tertutup. Terperangkap dalam dunia sendiri, juga bisa jadi mulia bisa jua jadi hina. Sejarah manusia agung ramai yang mulia dalam sendirian. Apakah jalan sendiri benar2 membawa bahagia?

Terdampar di tanah yang merela jurang dua darjat, harus jiwa jadi insaf. Apakah derita mencari benar setanding derita manusia hidup tanpa sedar?

Harus jiwa mencari bahagia. Betapa jauh harus pergi, derita sehebat apapun, biar sendiri mengerti. Manusia yang hidup semata demi diri, takkan pernah mengenal rasa hakiki. Biar ditinggal jauh, biar takdir terus menari, hari esok pasti suci menanti...

Yang mengerti pasti bisa memahami kalau selaut air mata tak mungkin memadam tangis jiwa. Kehilangan bahagia membunuh cinta memati hati. Yang jauh terasa dekat, yang hampir terasa jurang. Bukan menolak hadir, hanya serasi bukan di sini. Memilih menjadi diri harus akur kehilangan duri. Sesekali cemburu mampir, ada baldu melindung kalbu... Betapa bukan diri terasa iri...

sayap halus ditiup bayu
jingga suasa mentari pertama
bersaksi langit dandelion menari
membawa kenangan moyang semalam
citra indah pewaris esok

sekilas pandang dandelion biasa
hidup melayang tanpa tuju
namun diam dandelion ini
siang merenung malam bermimpi

dipegang hancur dilepas hilang
sentuhan cinta menyinar cinta
biar akhir kembali ke tanah
diserap induk bersatu di situ
hingga dandelion muda dilepas ke awan
dandelion semalam menjadi ranting

maka sumpah bumi keramat
dandelion hidup menebar cinta...

p/s: saya sama sekali tidak bicara tentang bahagia yang nisbi sifatnya...

3 comments:

SRISUFI said...

mabruk my dear.

teruskan.

~baiarkan sahaja semuanya berlalu. Hati, sila kental. Airmata, sila jangan rapuh lagi.

ainun said...

bleh wat lirik lagu..
tajuk die.. dandellion
org offer nak nyaniyi..hehe

SRISUFI said...

akak dah publish kt blog. but sajak kemudian. kisah ini bahaya sikit sebenarnya kerana sgt bersangkut paut ngan empunya diri.


kamu faham kan?

;)