Thursday, July 16, 2009

bahasa aqidah


Pucuk pauh delima batu

Anak sembilang di tapak tangan

Walau jauh beribu batu

Hilang di mata di hati jangan.

Kata seorang guru bahasa pada saya, ramai yang tersalah sangka mentafsir pengertian pantun ini. Anak Sembilang disangka menyengat tangan sehingga meninggalkan kesan yang mendalam pada manusia hingga sukar dilupakan. Saya juga asalnya menyangka pengertiannya semudah itu. Rupanya anak sembilang adalah nama sebentuk cincin yang bentuknya mirip pucuk pauh bertatah delima batu. Kaitannya dengan manusia yang berjauhan pula? Fikir-fikirkan…

Saya suka bermain bahasa, sesuka hati menukil bicara. Saat menulis, bayangan yang muncul adalah seperti saya sedang benar-benar bercakap tentang apa yang dimaksudkan. Namun, saat membaca tulisan Prof Madya Dr Burhanudin Ahmad dalam majalah AL-HIKMAH bertajuk KEHILANGANMAKNA ASAL: PENGAJIAN BAHASA MELAYU DI PERSIMPANGAN JALAN ZAMAN, tiba-tiba terasa takut untuk menulis. Takut menjadi manusia tidak sedar diri yang cetek ilmu namun sesuka hati meluah kata. Saatmembaca tulisan beliau, rasa tercerah dengan kepentingan makna.

“Bahasa adalah alat akal dan bergerak dari angin kosong memasuki diri dan keluar semula melalui ruang pernafasan sebagai bunyi yang mempunyai makna. Bahasa ialah proses akal. Jika akal berubah bahasa juga berubah”.

Tertarik pada kesedaran Pendita Zaaba bertahun dahulu apabila beliau mengatakan di dalam bahasa Melayu terdapat makna Aqidah dan makna ilmu. Barangkali pencemaran bahasa kini adalah dek pandangan hidup Melayu yang kian berubah hingga menghakis makna sebenar yang asalnya menuju Tuhan.

Saat manusia semudahnya mentafsir sesuatu perkara mengikut akal dan pandangan peribadi, ulasan-ulasan picisan timbul seolah-olah Tuhan tidak punya peranan mentadbir kehidupan. Barangkali di sini kelihatan kepincangan aqidah ummat. Bahana sekularisme yang melanda dunia Kristian meresap masuk dan mula berakar umbi dalam jiwa Melayu Islam. Tuhan hanya muncul dalam ibadat-ibadat wajib di masjid-masjid. Megah saat berbondong-bondong manusia memenuhi rumah Allah tika solat Jumaat.

Keliru merenung reality ummat. Saat menyelak ProlegomenaTo The Metaphysics Of Islam, tersentak jiwa apabila Prof Naquib membeza ‘worldview’ Islam dan Barat. Seolah-olah menegur saya yang selama ini mencari pembuktian ketuhanan bersandarkan ruang lingkup kemanusiaan. Perasaan yang sama mekar saat membaca Falsafah Ketuhanan nukilan Hamka yang sangat saya sanjungi.Barangkali persoalan-persoalan aqidah yang sebegini asas yang tak terdaya dihadam ummat Islam menyebabkan kehadiran Tuhan tidak disedari meski wujud-Nya lebih dekat dari urat leher manusia…

~Dr Ara~

1 comment:

'Cikgu Padi' said...

Dr Ara?two thumbs up..hehehe...i will pray for it..betol tekadang wujud kekhilafan dalam pentafsiran kata yg terluah...semoga kita kan lebih berhati2 namun tidak salah jika mencuba..