Friday, October 29, 2010

quantum physics

Salam...

Saya mencari2 waktu meneruskan usaha menghias teratak usang ini. Owh, mmg usang sungguh...
Saya kembali menulis setelah membaca post gman di blognya. g Owh, kawan sy yg seorang ini semakin hebat perkembangannya, terasa saya yang semakin tenggelam, semakin kebelakang...

Mencari isu untuk dituliskan mungkin mudah. NAmun menyusun ayat, meluahkan fikiran dalam batas sewajarnya agar memberi manfaat mungkin sedikit sukar lantaran kekangan masa. Akhirnya, bahasa saya semakin kaku, idea semakin kering, semakin malas juga.

Mungkin sedikit perkongsian ttg buku2 yang sedang saya tekuni saat ini..

Al-Ghazali: Deliverance from error and the beginning of Guidance
The Quantum Doctor (Amit Goswami)

Sejujurnya, buku Quantum doctor sangat sukar dihadam. Saya mengambil masa hampir seminggu hanya untuk memahami chapter pertamanya. paling sukar difahami adalah flow chart ini.

elementary particles and their interactions ---> atoms ---> molecules ---> cells (inluding neurons) ---> brain ---> consciousness

Quantum physics berbicara tentang primacy of consciousness. owh, sungguh paradoks apabila Physics berbicara seperti ini, kerana classic physics berasaskan teori Newtonian adalah sangat materialist. Adakah saya semakin merumitkan keadaan? Saya cuba mudahkan... (Sebenarnya sangat sukar untuk translate perkataan2 seperti ini ke bahasa Melayu apatah lagi untuk dipermudah kefahaman)

Begini, lihat carta di atas, physics yang kita pelajari saat ini mengatakan bahawa hanya setiap perkara datang dari atom dan molekul. Itu yang kita pelajari dari sekolah. Kemudian lahir generasi QUantum ini yang cuba menjadi jambatan antara perkara ghaib dan material (cell n molecule).

Sebagai contoh, di mana letaknya fikiran. Bagi pelajar perubatan, anda belajar yang segalanya ditentukan di otak. Tapi fikirkan kembali. Sebagai contoh, anda nampak makanan, kemudian menerusi deria bau dan penglihatan, impulse dihantar ke otak menerusi saraf (quite funny using saraf instead of nerve =)), kemudian sampai ke otak (higher center), keputusan diambil, akhirnya menerusi saraf, impulse turun ke muscle menggerakkan tangan. Fikirkan kembali, pada kedudukan otak yang manakah keputusan diambil? Setiap kali kita nampak makanan, bukan setiap kali itu juga kita akan makan. Ada banyak faktor lain yang mempengaruhi, seperti makanan itu bukan milik kita, makanan itu kotor, kita merajuk diusik lantas kita tidak mahu lagi untuk makan, dan sebab yang pelbagai. Akan tetapi, manusia dengan sebab yang sama tidak semestinya akan membuat keputusan yang sama. Mengapa? Ini sama sekali di luar neurology class yang saya pelajari.

Maka inilah yang dikatakan sebagai consciousness oleh Quantum Physics. Bahawa ada sesuatu yang bukan bersifat material yag tidak duduk di dalam brain, yang menggerakkan manusia dan segala apa untuk membuat keputusan.

Dalam bahasa mudahnya, golongan ini cuba menjadi jambatan yang mengubungkan dua dunia: Physics dan Metaphysics. Atau dengan bahasa yang lebih mudah lagi mencari jalan bagaimanakah kehadiran Tuhan mempengaruhi manusia dalam setiap tindak tanduknya. (Kenyataan ini sekadar pemahaman saya, mungkin ada sedikit pincang).

Sejauh mana keupayaan teori ini, saya masih membaca dan belajar. Sesiapa berminat untuk berkongsi, silakan berkongsi.

p/s: minta maaf pos ini agak berat. Adakala teringin juga menulis post yang comel dan witty spt blog2 lain. but thats just not me!!! =)

salam.



Sunday, October 3, 2010

kelahiran baru...

Salam...

Baru saja pulang dari JASSI di Mangalore, dalam keadaan bas yang seperti kuda, semua kelihatan letih dan penat. Entah apa yang menggerakkan jemari menari laju menulis bait bicara, mungkin rindu yang terlalu setelah sekian lama meninggalkan blog hingga usang bagai tiada empunya.

Jassi kali ini sememangnya membawa manfaat meskipun punya ruang2 yang boleh diperbaiki. Akan tetapi kepulangan kali ini membuka ruang dan kesedaran dalam azam baru bahawa jiwa seorang doktor harus punya hikmah. Sudah tentu saya tidak peroleh semangat ini secara langsung menerusi program2 yang dijalankan, namun sedikit sebanyak berbekas di jiwa.

Saya mencari2 ma'na sebenar menjadi seorang doktor sebagai Siti Nuhara. Barangkali saat ini yang terlintas di minda adalah menjadi seorang pensyarah yang mengkaji secara dalam proses islamisasi ilmu kedoktoran lantas menyumbang secara langsung kepada doktor2 muda sebagai bekalan menjadi Muslim yang benar.

Barangkali impian ini terlalu ideal, barangkali juga saya tidak punya kesempatan menyaksikan islamisasi ilmu perubatan ini berjaya terlaksana, namun cukuplah sekiranya berupaya menjadi salah satu rantai2 yang menyatukan.

Gagasan ini barangkali tampak remeh apatah lagi diutarakan seorang gadis muda yang tidak punya sebarang pendidikan langsung akan falsafah islamisasi ilmu malah belum tamat MBBS dan bergelar doktor. Namun berimpian itu tidak salah, bukan?

Sewaktu slot motivasi, penceramah bertanya apakah definisi kejayaan dan bagaiman mengecap kejayaan, secara kasar dapat saya rumuskan jawapan para peserta sangat bersifat 'general' dan permukaan. "Saya ingin menyumbang kepada masyarakat." "Saya ingin menjadi seorang doktor yang beriman dan beroleh dunia juga akhirat." "Saya ingin menjadi seorang doktor pakar."

Rumusan saya, ramai dalam kalangan pelajar perubatan yang berjuang tanpa perancangan sempurna. Ramai berimpian menjadi manusia berbakti tapi gagal mencari peluang bagaimana untuk berbakti. Barangkali jawapan seperti "Saya ingin menubuhkan sebuah institusi khas bagi mendidik remaja yang tersalah jalan agar mampu mengenal Tuhan dan agamanya." atau "Saya ingin menyertai Mercy sebagai sukarelawan yang berbakti tanpa berkira pulangan material" atau "Saya ingin mendidik anak2 bangsa melalui kerjasama doktor sefikrah turun padang dan memberi pendidikan secara langsung" atau "Saya ingin mendalami ilmu perubatan Islam agar dualisme antara Conventional Medicine dan Prophetic Medicine dapat dileraikan" dan sebagainya. Tidak ada jawapan yang menjurus secara langsung. Tidak ada.

Mengapakah?

Barangkali kesibukan belajar menjadi penghalang.

Barangkali sifat apati menjadi sandaran.

Terlalu banyak kebarangkalian.

Akan tetapi isu kualiti doktor yang semakin merundum tidak harus dipandang enteng. Doktor satu ketika dahulu dilihat sebagai 'wise man' kini hanya menjadi pembaik mesin yang menanggapi manusia tidak lebih dari sistem2 yang hilang fungsi dan harus dibaiki.

Penafian Modern Medicine akan unsur2 metafizik (ghaib) menyebabkan seorang doktor muslim keliru malah gagal menyatukan aspek2 kerohanian dan islam secara akar umbi. Setakat menasihati pesakit untuk bertawakal, berdoa dan beribadat ketika sakit tidak cukup bagi saya, seorang doktor muslim harus kenal warisan perubatan Islam secara mendalam, sedar penafian aspek ketuhanan dalam sistem perubatan moden yang sekular, malah mencari jalan agar yang Hak mendapat tempat sewajarnya.

Pandangan alam yang benar akan tanggungjawab seorang doktor membuatkan bahu saya ditimpa jabal Uhud. Tanggungjawab sosial, mendidik, menjadi contoh, mencegah dan mengubati diamanahkan Allah sekiranya kita sedar dan punya kefahaman yang benar.

Bagaimana? Masih mahu berdiam diri dan hidup dengan buku seolah2 dunia luar itu bukanlah sebahagian dari kita?


Friday, August 6, 2010

Ramadhan....

Salam...

Merenung langit Ilahi, mencari-cari apakah ada jalur sinar untuk terus mendamba nikmat kehambaan. Jiwa diguris gundah, kalbu bersarang rindu... Betapa jauh benar bahteraku tersasar, hilang di lautan entahkan bertemu kembali kemanusiaan...

Betapa hamba itu jangan pernah merasa besar atas lebihnya diri, betapa manusia itu selamanya manusia. Punya hati bersarang nafsu jua iman yang berombak alunannya. Menjadi celaka saat ilmu menggunung tinggi, sungguh derita maha hebat buat hamba yang kenal diri. Andai saja bisa dinukil melodi hati, bisa berdarah tangisan insan yang bersaksi, lantaran derita iman dibunuh.

Ramadhan... Hadiah terindah buat hamba yang kenal Tuhannya. Dalam noda terpalit dosa, seluruh zahir dan batin diserah atas namaMu ya Allah, biar tenang jiwa, suci kalbu meski yang terzahir kelmarin tak bisa dipadam...

Wahai Tuhan...

Ambillah dunia ini seluruhnya, kecintaan sementara yang membunuh, biar saja iman yang tinggal. Hidup dan matikan dalam taqwa, biar dijemput malaikat syurga...

Saturday, May 22, 2010

Welcome back...

Blog yang sudah bersawang bagai gua ini bakal dimeriahkan kembali dengan pengisian sewajarnya... Wajah baru, harapan baru, kekuatan baru...

Sekian.

Monday, August 24, 2009

Bebas...

Bicara HAMKA dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Widjck:

Kata sesetengah orang, ilmu mengarang itu diperdapat lantaran nahu dan saraf bahasa dan dibaca lantaran karangan pujangga lain dan menirunya, bisa orang menjadi pengarang. Banyak diperbuat orang aturan mengarang mesti begini, mesti begitu, tak boleh salah. Tetapi bilamana kita melihat karangan pujangga sejati, sentiasa ia berlainan susunannya dengan pujangga lain. Seorang pengarang, bilamana dibaca orang karangannya, orang tertarik dengan kesulitan bahasa yang dipakainya. Biar saja menyanggah nahu dan saraf yang terpakai lazim, tetapi lebih enak orang membaca karangan itu.

Bicara saya yang kurang ilmu namun berani menambah:

Mengarang itu punya upaya menyentuh hati bila datangnya ilham dari kalbu yang lahir mengaliri saraf lantas dihalusi akal terus dinukil tinta. Sungguh, jiwa yang tiada kenal derita tiada mungkin bisa mengerti derita, lantaran derita itu tiada ia diperoleh menerusi dongengan moyang, namun dirasa sepanjang manusia meniti kehidupan dalam aturan Allah jua. Maka sepanjang zaman disaksikan umat, pejuang sejati mengarang ilmu, sejarah mahupun nasihat di sebalik jeriji penjara, dalam tanggungan jiwa sarat duka jua lelah. Lantas saat karya dibaca manusia, terkesanlah jiwanya, menitislah air mata, lantaran bicara dari hati itu menyentuh hati jua... Bicara saya ini, andai diadili selayaknya, maka pantaslah saya dan anda bersahabat lantaran bicara ini cukup menggambarkan siapa saya di balik penulisan...

Sepanjang di rumah, saya lebih banyak membaca dari keluar. H1N1 punya angkara!

Kebanyakannya berkisah derita wanita yang dirampas hak kebebasan sebenar. Maka, 2 gambaran utama kelihatan di mata saya saat ini. Gambaran tentang erti merdeka sekitar pembacaan saya beberapa hari ini...

Tidak pernah saya membaca novel sebanyak ini. Berikut merupakan senarai novel berkaitan, selebihnya saya ceritakan lain hari.

Daughters of Shame (Jasvinder Sanghera)

In the Name of Honour (Mukhtar Mai)

A Thousand Splendid Suns (Khaled Hosseini)

Tenggelamnya Kapal Van Der Widjck (HAMKA)

Habis Gelap Terbitlah Terang (R.A. Kartini)

Konklusinya: Kehadiran Islam itu memuliakan wanita, mengangkat darjat, menghapus derita, menebar keadilan.

Sepanjang sejarah manusia, wujud sesetengah fahaman kalau wanita terzahir golongan lemah, malah dasar apartheid yang sinonim dengan perjuangan Nelson Mandela juga dikaitkan dengan dasar apartheid ke atas wanita. Di negara Asia yang kaya beradat seumpama India, Pakistan, dan Indonesia, masih terdapat budaya celaru tentang bagaimana wanita itu harus dihargai. Hingga ke hari ini, masih wujud perkahwinan secara paksa malah pada usia terlalu muda tanpa menilai iman jua pekerti, sebaliknya darjat dan bangsa jadi penentu. Masih wujud jua kepercayaan wanita itu tidak punya hak menuntut tinggi, kerna kelak tempatnya hanya di dapur, menjaga keperluan suami jua membesarkan anak2. Masih jua wanita dilarang melihat dunia luar meski menjejak tanah tanpa diawasi sedekatnya, umpama wanita itu punca jatuhnya maruah dan kehormatan. Owh, memang benar. Semuanya demi maruah dan penghormatan! Lantas saat ada wanita menyanggah hak ke atasnya dinafikan, wanita dibunuh jua atas nama penghormatan dan maruah. Diperkosa sesuka hati kemudian dicampak di tebing sungai. Apakah?

Saya tahu ini sama sekali tidak pernah berlangsung sekitar kita, namun biar kali ini saya khabarkan, biar keluar dari tawa, biar tahu derita manusia lain di luar. Sesiapa yang sudah menonton filem Perempuan Berkalung Sorban, anda bakal mengerti bicara saya dengan lebih baik. Meskipun filem ini bernada liberal, namun terdapat kebenaran yang tak mampu terlindungkan.

Saya bukan pejuang hak kesamarataan antara wanita dan lelaki. Biar langit da bumi bersatu, memang tiada mungkin wanita itu sama dengan lelaki. Kerana yang terzahir jelas membukti, fitrah jua tiada mampu menafi. Namun kegagalan mengerti hakikat Islam secara menyeluruh merela adat menindas wanita satu ketika dahulu, sehingga gerakan membebas wanita akhirnya menuntut kebebasan mutlak yang membebas wanita dari sebarang tautan termasuk ikatan agama. Maka saya tidak hairan di Indonesia begitu pekat semangat juang feminisme dan golongan liberal, kerana begitu kuat juga adat mengikat mereka dahulu. Saya ulang, kegagalan memahami ilmu secara benar!

Wanita itu duduknya di mana, tanggungjawabnya sebagai apa, fitrahnya seperti apa, jua hak2 yang harus diperoleh dimaktub secara adil dalam Islam. Ini yang harus digali, bukan perjuangan membuta tanpa ilmu, sekadar diasak semangat palsu. Wanita2 Pakistan yang bebas dari belenggu adat ini saat bebas dan hadir ke tempat baru, bersemangat memulakan kehidupan baru. Namun kebebasan mutlak warisan Barat dalam diam membunuh wanita ini hingga hidupnya bermula dengan seksa jiwa terikat penjara, matinya pula dihambat kebebasan tanpa batasan hingga tiada lagi kalbu berwarna cerah...

Disekeliling saya, sifat apati ini juga membunuh dalam diam. Budaya benar seiring agama diinjak atas nama kemajuan, rasa malu dikikis berfasa atas nama integrasi agama, keayuan wudhu' penghias wajah paling indah diganti kosmetik yang entahkan halal mahupun haram. Jadilah wanita malu kepada asal usulnya, malu menganyam budi di dalam rumah sebagai isteri jua ibu. Celaru! Saya hormat Ibu Kartini yang dipuja wanita Indonesia, saya faham benar kecintaannya kepada ilmu membuatkannya menyanggah budaya. Namun penyambung semangat juang Ibu Kartini ini ada yang pincang dalam mengerti semangat bebas sebenar.

Bak kata Asya, kalau ayat dia sedap, maksudnya baru lepas baca buku Faisal Tehrani. =)

Salam kembali ke Manipal...

Saturday, July 25, 2009

Selamat tinggal...

Saya mencari makna keadilan dengan sebenar-benar kefahaman. Bicara yang datang dari mereka yang punya kalbu terang bukan sekadar bicara kosong tanpa makna...

Masa berlalu... Hari bersilih... Jiwa diwarna pelangi jua guruh menggila... Harus sampai kapan baru selamanya cerah tanpa petir menyambar? Sungguh, kerehatan hanya ada di syurga...

Baru semalam rasanya kami bertemu. Di beranda tinggi, duduk termenung sendiri menanti hujung nyawa. Meski tanpa bicara, mata hati bisa mentafsir...

Aturan Tuhan siapa bisa mengerti. Wajah tua itu bercerita tanpa suara. Tentang segalanya... barangkali ada juga kisah kecewa anak tercinta berpaling dari menyembah Tuhan warisan yang membatu diberi makan sisa jua asap kemenyan. Atau tentang cucu kesayangannya di Malaysia yang jarang2 pulang apalagi bertanya khabar. Ahh, bahasa kita berbeda, maafkanlah... Atau mungkin jua derita maha hebat derhaka darah daging yang khianat menjaga amanah berzaman. Mungkinkah?

Manusia seperti apa punya kekuatan berimpian untuk tidak punya kemahuan seperti kata Ibn Ata'illah? Bacalah berulangkali pun, saya gagal mengerti bicara pengarang kitab Al Hikam ini. Ternoda benarkah kalbu?

Manusia itu seharusnya sedar keberhutangan hamba kepada Tuhannya. Jangan pernah menandingi kehendak Tuhan... Saat keliru datang bertalu2, pada siapa harus diaju soalan? Soalan yang dibalas dengan keikhlasan bukan senyum sinis lirik tajam memperlekeh pencarian kebenaran? Ahh, siapa saja mengerti. Titik! Saya tunggu nukilan taqdir melakar tinta...

Saya kehilangan nenek satu2nya malam ini. Jauh di Thailand, segala upacara pemujaan sedang berlangsung dengan hebatnya. Di sini, peperangan akal dengan suntikan bisa lebih hebat teruji. Episod lama berulang, bantuan dari langit, turunlah dengan segera...

Manusia selalu gagal memahami, namun masih jua menagih kefahaman manusia. Diamlah, sendiri lebih baik...

Noktah! Ada hikmah menanti...

Hanya seminggu pinta saya. Seminggu untuk pulang ke Thailand bertemu buat kali terakhirnya, membisik kalimah syahadah di telinganya, bersama ibu yang mendoakan tanpa henti. Namun manusia harus jangan merencana secara terlalu, kerana Allah sebaik2 perancang...

Dakwah Rasulullah hidup seluruh alam. Menyentuh hati manusia yang dikurnia hidayah, sedang mengalun dingin menyapa manusia tanpa hidayah. Betapa ramai 'ulama besar' celaru kuasa bicara kesat mengeji sesama sendiri. Ramai jua intelektual berkejar2 melakar idea hebat membina ummah namun tanpa sedar memperlekeh sesuka hati bagai manusia tanpa adab. Hati siapa ingin ditawan dengan perilaku sebegini?

Siapa saja bisa menilai ikhlas? Siapa pula sebenar2 pejuang berjuang tanpa 'manfaat'? Mudah sungguh menawan hati si buta yang melaung dan mengangguk saat disuruh. Barangkali sekadar belajar gibran, petes dan pisip, serta ilmu permukaan cukup menjadikan manusia politikus pujaan. Siapa peduli jauh di pelosok tertentu ada manusia dahagakan hidayah? Telingkah anda sungguh meloyakan!

Ya Allah...
Kurniakan daku cintaMu,
Cinta orang2 yang mencintaiMu,
Serta kecintaan kepada amalan2 yang membawaku kepada kecintaanMu...

Harus punya hati cerah tanpa selaput keliru, kefahaman benar datang dari ilmu benar, memadam ragu menyinar yakin... Amin...

Tawakkal....

p/s: Minta maaf, saya sedang emo, anda berhak mentafsir sekadar kefahaman anda...

Thursday, July 16, 2009

bahasa aqidah


Pucuk pauh delima batu

Anak sembilang di tapak tangan

Walau jauh beribu batu

Hilang di mata di hati jangan.

Kata seorang guru bahasa pada saya, ramai yang tersalah sangka mentafsir pengertian pantun ini. Anak Sembilang disangka menyengat tangan sehingga meninggalkan kesan yang mendalam pada manusia hingga sukar dilupakan. Saya juga asalnya menyangka pengertiannya semudah itu. Rupanya anak sembilang adalah nama sebentuk cincin yang bentuknya mirip pucuk pauh bertatah delima batu. Kaitannya dengan manusia yang berjauhan pula? Fikir-fikirkan…

Saya suka bermain bahasa, sesuka hati menukil bicara. Saat menulis, bayangan yang muncul adalah seperti saya sedang benar-benar bercakap tentang apa yang dimaksudkan. Namun, saat membaca tulisan Prof Madya Dr Burhanudin Ahmad dalam majalah AL-HIKMAH bertajuk KEHILANGANMAKNA ASAL: PENGAJIAN BAHASA MELAYU DI PERSIMPANGAN JALAN ZAMAN, tiba-tiba terasa takut untuk menulis. Takut menjadi manusia tidak sedar diri yang cetek ilmu namun sesuka hati meluah kata. Saatmembaca tulisan beliau, rasa tercerah dengan kepentingan makna.

“Bahasa adalah alat akal dan bergerak dari angin kosong memasuki diri dan keluar semula melalui ruang pernafasan sebagai bunyi yang mempunyai makna. Bahasa ialah proses akal. Jika akal berubah bahasa juga berubah”.

Tertarik pada kesedaran Pendita Zaaba bertahun dahulu apabila beliau mengatakan di dalam bahasa Melayu terdapat makna Aqidah dan makna ilmu. Barangkali pencemaran bahasa kini adalah dek pandangan hidup Melayu yang kian berubah hingga menghakis makna sebenar yang asalnya menuju Tuhan.

Saat manusia semudahnya mentafsir sesuatu perkara mengikut akal dan pandangan peribadi, ulasan-ulasan picisan timbul seolah-olah Tuhan tidak punya peranan mentadbir kehidupan. Barangkali di sini kelihatan kepincangan aqidah ummat. Bahana sekularisme yang melanda dunia Kristian meresap masuk dan mula berakar umbi dalam jiwa Melayu Islam. Tuhan hanya muncul dalam ibadat-ibadat wajib di masjid-masjid. Megah saat berbondong-bondong manusia memenuhi rumah Allah tika solat Jumaat.

Keliru merenung reality ummat. Saat menyelak ProlegomenaTo The Metaphysics Of Islam, tersentak jiwa apabila Prof Naquib membeza ‘worldview’ Islam dan Barat. Seolah-olah menegur saya yang selama ini mencari pembuktian ketuhanan bersandarkan ruang lingkup kemanusiaan. Perasaan yang sama mekar saat membaca Falsafah Ketuhanan nukilan Hamka yang sangat saya sanjungi.Barangkali persoalan-persoalan aqidah yang sebegini asas yang tak terdaya dihadam ummat Islam menyebabkan kehadiran Tuhan tidak disedari meski wujud-Nya lebih dekat dari urat leher manusia…

~Dr Ara~

Sunday, July 12, 2009

ayat pujuk dari asya...

ok tukar topik!
aku x reti nak berbulan ke berpermata ke..
sbb aku bukan reti mengarang bahasa puitis lagi syahdu.
eh..bukan x reti… cuma ak x tahan tergelak dgn ayat2 mcm ni.
maafkan aku. kelemahan aku.kamu, kamu, dan kamu yg rapat dgn aku mesti tahu perangai ak.
yang aku sayang sgt2,
sabarlah. aku tahu kau rindu ak.
aku pon rindu jugak.
kalo ko balik pon nnti,
ko tu sibuk jugak.
aku jamin.
kau tahu,
aku rindu nak makan nasik goreng ayam kt belakang stesen bas tu ngn ko.
skrg ni ak menyampah betul dgn org2 yang kedekut x nak kasik aku sup mangkuk besar. ala sup kosong je. ak byr la nnti kalo kene bayar xtra pon. kedekut!
aku rindu nak kene buli gosok baju ko yg bekalannye utk seminggu.
seminggu ko tau!
aku rindu nk lepak MPH mid valley dgn ko.
x de duit pon xpela… kite belek je buku tu.
aku teringin jugak nk makan lauk yg ko masak
walaupon x la berape sedap..x pela..ak nk makan jugak.
aku nak gak kasik ko hadiah,
dah 4 thn bday ko aku x kasik ape2…
aku rindu nk dgr ko bebel kat ak pasal pemikir2 agung dan pemikiran mereka sbg bedtime stories ak..
walaupon ak mengantuk dan terus tido.
pendek kata ak rindulah.
aku x retilah nk zahirkan rindu dan perasaan ak dgn lebih syahdu.
sbb baru ak perasan
ak ni perahsia jugak orgnye (classmates ak, m07c yg cakap!)
kadang2 ak rasa itu, dan ini, dan itu..
tp x tau cmner nak ungkapkan.
tp yg pasti ak rindulah kat engkau.
kau belajarlah elok2.
jgn rasa terbeban sgt
anggaplah setiap yg dilakukan demi mencapat cinta dan redha-Nya
aku yakin kau boleh
kau nyanyilah lagu FIKIRKAN BOLEH tu selalu
bolehlah tu nnti!
nnti bolehla ko rawat pemikiran2 dan hati2 manusia yang agak lalok
ataupon pesakit tetap ko kat beserah, kuantan tu.
ko doakanlah aku juga
yang hatinya masih x keruan smpai skrg
moga2 ALLAH permudahkan urusan ak
dan kau juga
aku sayang kau lah!
uhibbu ki fillah.

p/s: kamu tahu, satu-satunya manusia yg buat saya ketawa walaupun tgh menangis adalah kamu... dahsyat2.. kami berbeza, tetapi terlalu memahami...

Friday, July 3, 2009

SAYA SUDAH DEWASA...

Saya sudah dewasa...

Sejarah ditekuni, masih jua gagal bertemu hakikat terlindung... Telah jauh titian kehidupan dilalui, masih jua mahu memanjakan diri...

Sampai kapan baru mata terbuka, melihat dunia dengan mata hati tanpa hijab menghalang...

Terdampar di pinggiran asing tanpa keinginan dipenuhi, harus diri kenal hakikat sabar dalam diam yang selalu diungkap buat manusia sekeliling suatu ketika dahulu...

Hari ini sahaja, 2 post saya nukilkan, lantaran 'hujan' yang semakin lebat di sini...

Lihat gambar di bawah... Mampukah situasi saya ditafsir? Setiap satu objek di dalamnya membawa pengertian tersendiri...

Saya rindu menghadiri wacana ilmu seperti dahulu...
Saya rindu berbincang perkembangan ummat dalam realiti ekonomi gawat sedang politikus celaru...
Saya rindu bicara soal bahasa di Institut Bahasa sambil berukhuwwah bersama sahabat tersayang...
Saya rindu berpidato di MAYC merenung tiap bicara dan gerak langkah Dato Syed Ahmad...
Saya rindu melepak di Popular JJ Bukit Tinggi sendirian...
Saya rindu pada buku Sophie's World yang mama keluarkan dari bungkusan yang sepatutnya dihantar ke India gara2 makanan yang telalu berat...
Saya rindu mengikuti tamrin yang sarat pengisian rohani dan tautan ukhuwwah...
Saya rindu kucing gemuk saya...
Saya rindu menyiram pokok di halaman rumah...
Saya rindu bergaduh dengan Asya berkenaan gosip2 kami...
Saya rindu mama!!!!!

Kaitannya dengan kedewasaan?

Apakah saya masih anak kecil lantaran merindui kucing dan pokok bunga saya?

Biar kali ini saya berterus terang...

Saya bosan belajar tanpa pengisian yang telah sebati dalam jiwa. Saat saya menghubungi sahabat2 yang diharap mampu menambah ilmu, bicara hanya berkisar perkara pinggiran. Bukankah saya sudah dewasa? Mengapa tidak dilayan saya seperti seorang dewasa yang punya keprihatinan pada ummat?

Saya bosan bicara kepada manusia yang tidak mahu mengerti kalau ilmu yang diturunkan Allah itu tidak hadir dalam pembahagian tanpa keadilan. Bukankah setiapnya saling menyangkut, lantas apa punca hak saya diambil?

Saya bosan dilayan anak kecil yang harus melangkah apabila disuruh, makan apabila disuap, tidur apabila didodoi...

Saya lebih bosan apabila manusia yang seharusnya membimbing lantaran ilmu yang tinggi lebih tidak dewasa berbanding saya!

Saya bosan melayan kerenah manusia yang suka mencari titik selisih dari titik temu...

Saya bosan pada isu picisan yang diulang tayang sedang jawapan dan hakikat telah jelas... Saya ini teddy bear kah yang dipeluk saat sejuk dicampak bila koyak kemudian diganti baru? Saya sudah dewasa!

Sabar... Sabar...

Ya Allah, sesungguhnya ketentuan yang kuhadapi dalam kebosanan ini adalah yang terbaik buatku... Redhakan jiwa ini...

Ini nukilan luar biasa..

Saya rindu saat pelangi muncul... Kerana munculnya selepas hujan lebat, jua saat guruh telah berlalu. Meski bayangan petir masih bersisa, saya syukur nikmat sementara yang datang dan pergi tanpa pernah ditentu manusia...

Sesekali hati bertemu tenang, apakah ada keindahan setanding damai menyapa kalbu. Bagai bermadu asmara di dunia abadi, memabukkan jiwa pencinta sejati...

Mencari cinta dalam kepalsuan, manusia hanya ketemu kabus dalam keraguan. Mencari keabadian dalam kebenaran, jiwa bahagia dalam kehilangan...

Apakah kita punya impian yang deminya segala suatu yang dimiliki rela dikorbankan? Barangkali punca mengapa wanita singkat akal merela maruah jadi taruhan? Barangkali juga sebab pria arif penuh ilmu mabuk asmara diuji cinta gadis luar biasa? Tanya pada diri...

Kalau sahaja galang ganti menggapai hakikat kebenaran, bersatu dengan Tuhan dalam keyakinan hakiki bisa dibayar dengan kehidupan penuh kepalsuan yang nisbi sifatnya, relakah kita berkorban?

Manusia menggali ilmu anugerah Tuhan..
Manusia menekuni sejarah...
Manusia mendalami falsafah...
Manusia mengaku pejuang kebenaran...

Malang sekali penghujung jalan harta menuju keabadian tinggal harta dunia buat mendabik dada... Ilmu jadi kebanggaan, pengalaman jadi senjata mematikan lawan. Wahai hati, mengapa semakin sirna?

Asal niat seputih kapas... Bagaimana bisa penghujung bernoda?
Saat bicara dilaung tanpa beradab, hilang budi hilang malu.
Diam saja lebih baik, lantaran bicara hanya memusnahkan...

Langit berubah warna... Di sini mendung, di sana terik.
Tanah menyatu menjarak, meski dekat terasa jauh, dalam jauh terasa dekat...

Saat manusia melihat dunia menerusi pandangan kemanusiaan tanpa ketuhanan, jadilah manusia makhluk yang hidup kemudian mati tanpa makna...
Namun memilih menjadi luar biasa...?

Setiap huruf membentuk patah bicara, sungguh zalim menekuni tanpa mengerti...

Sunday, June 28, 2009

kembali...




Siapa pandai mentafsir?

Terlalu banyak ingin dikongsikan... Tetapi tanggungjawab melebihi masa yang ada... Anda boleh tafsirkan dunia yang sedang saya lalui menerusi gambar di atas?

Thursday, June 18, 2009

Tag pertama...

Ini tag pertama yang sy buat dalam berlambak2 yang org bagi. Sebab kalau tak buat, bdk farah ni mesti merajuk....

Tiada sebarang unsur intelek di dalamnya. Harap maklum.

Apa perasaan anda sekarang?
~Cuba untuk tidak berperasaan~

Saya nak makan..?
~Nasi ambeng dan tempe!!!~

Saya tak suka ..?
~Ditipu atau rasa tertipu!~

Impian saya?
~Hidup sederhana dan "bahagia"~

Haiwan yg saya tak suka?
~ULAR!!!~

Saya harapkan?
~Bulan August ini menyelesaikan segala2nya. Cepatlah...~

Jika boleh putarkan masa?
~Saya mahu masa berharga bersama arwah abah...~

Saya pada 10 tahun akan datang?
~Haha... Rahsia...~

Handphone saya adalah sebuah?
~Jam loceng yang selalu jatuh katil~

Saya pernah bercinta sebanyak?
~Takda org nak. So, tak pernah bercinta~

Saya suka pada?
~Buku... Buku... Buku... Buku... Saya lebih suka buku Philo dari teddy bear gemuk saya!~

Kawan² saya?
~Kamu2 sekalian...~

Pernah dikhianati?
~pernah~

Apa yg anda hendak lakukan terhadap org yg mengkhianati anda?
~Maafkan kot... tapi takkan lupa... ~

Senaraikan 6 org utk di tag:
~takda sapa~

Minta maaf ye... tiada pengisian bermanfaat... sekali sekala...

Tuesday, June 16, 2009

Keadilan...

Bismillahirrahmanirrahim...

Bagi pelajar2 SBP, impian belajar di luar negara barangkali menjadi satu kemestian. Saat Syawal hampir menjelma, pasti ucapan Salam Perantau di Berita HArian mahupun Utusan jadi perhatian. Muncul angan2 kalaulah satu hari nanti dikurnia peluang serupa merasa kehidupan di tempat sejuk dengan budaya baru yang tampak indah dan mencabar.

Apa perasaan anda kalau surat jawapan dari JPA mahupun MARA mengatakan anda dihantar ke India, bukan Ireland, bukan UK bukan juga Rusia? Kecewa? Terlepas peluang pakai baju bulu-bulu ala-ala Mat Saleh?

Buat yang kecewa, mari kita renungkan hikmah yang dikurnia Allah tanpa sedar...

Tadi sewaktu pulang dari makan, terlihat sepasang kanak2 lelaki dan perempuan dengan berkaki ayam berlutut di atas batu mengutip tanah-tanah kotor dan batuan kecil. Di situ tergambar kegembiraan yang tak mampu difahami manusia seperti saya. Jalan-jalan lagi terlihat pula pakcik tua yang menyingsing kainnya dengan barang2 berat di atas kepala. Seterusnya saat hampir tiba di asrama, kelihatan juga beberapa pasang kekasih memadu asmara bagai dunia dicipta hanya untuk mereka. Kemudian teringat pula bicara saya dan sahabat2 tentang cerita Hindusta yang makin hilang citra budaya India, hingga yang terpampar hanyalah kecelaruan identiti Barat yang menanti waktu kematian peradaban...

The way of life known as Western Civilization is on a death path.
(John Mohawk)

Saya kira pendapat pakar sejarah Amerika ini harus diteliti dengan baik. Membaca karya beliau yang berjudul A Basic Call to Conciousness: Indegenous People's Address to the Western World, saya beroleh sedar kalau kecelaruan tanggapan masyarakat yang memandang Barat sebagai kemegahan sebuah peradaban yang unggul samada dalam sedar mahupun tidak adalah kesilapan besar. Sebagaimana kata Prof Al Attas, "Belum pernah ada peradaban manusia yang membahayakan umat manusia, binatang, tumbuhan dan bahan mineral seperti peradaban Barat." Lihat saja bagaimana sikap Amerika terhadap Protokol Kyoto!

Apa kaitannya? Bayangkan nasib anak kecil dan pakcik tua tadi. Kaitkan dengan kapitalisme, kaitkan dengan IMF, WTO dan World Bank. Tidakkah kita nampak hegemoni ekonomi ini di sekeliling kita? Kaitkan pula sepasang remaja yang berkasih tanpa segan di khalayak ramai. Tidakkah mampu kita kaitkan dengan globalisasi penyebar hedonisme, pemusnah budaya hingga celaru segala nilai?

Bagaimana pula dengan isu SIS di Malaysia? Haih.. Pakcik2 pejuang politik sekalian... Cukupkah dengan petisyen dan usul mengharamkan SIS bagi menyekat penyebaran ideologi sekularisme dan liberalisme agama? Siapa yang lebih ke depan memperjuang hak wanita? Kitakah atau SIS? Ataukah kita yang lebih banyak berslogan dan berpolitik tapi kayu bila berdebat, dan hanya tahu main pintu belakang?

Pandanglah sekeliling anda dengan mata hati... Malam ni malam parotid gland... Sekian dulu...

Sila berakal, sila berfikir...

Sunday, June 14, 2009

pelangi...

Bismillahirrahmaanirrahim...

Hari ni 'hujan' mulai berhenti... Meski di bumi Manipal tampak hujan sudah mulai menggila, saya redha apa jua natijah ketetapan yang telah diambil...

Pernah mengalami ketidakstabilan emosi? Apa yang selalu dilakukan?

Seharian terlantar di atas katil, saya mencari semangat dan mengubat hati atas ketentuan taqdir dengan membaca artikel berkenaan politik sekular dan politik liberal selepas puas meneliti pesanan Ibn Ataillah. Pelikkah? Biarlah... Sekurang-kurangnya hati sedikit tenang begini...

Esok hari istimewa buat seseorang yang sangat istimewa...

Selamat Hari Lahir...

Hari ini saya nyalakan lingkaran api pasifik...

Hari ini saya menerima nasihat kanda sufi untuk sabar dan fokus...

Hari ini hujan berhenti sedang pelangi mulai muncul...

Terima kasih insan2 tertentu yang kekal di sisi saat2 hujan sedang turun dengan lebatnya...

Terima kasih kepada 'kamu' yang sudi menerima ketetapan dengan hati terbuka...

Terima kasih kerana bersabar...

Syukur ya Allah atas ilham dan ketenangan...

Esok bakal dilakar indah... Moga indah selalu...

Cukuplah blog ini sarat dengan kata2 tersirat dan puisi akhir2 ini... Post seterusnya saya bakal kembali kepada mood asal LONG WALK TO WISDOM dengan persoalan intelek dan keilmuan...

Wednesday, June 10, 2009

pulau beku...

Hujan lebat sekali di dalam...
petir sabung menyabung dari arah tak terduga
sungguh, tiada pernah terduga cuaca bisa seburuk ini
awan gelap kian menebal
sesekali sinar mentari menjengah di celah kelam
namun masih tewas juga pada amuk guruh menggila

Harus berapa lama baru pelangi muncul?
pulau yang dahulunya punya jambatan emas menghubung dua dunia
kini semakin terpencil dilindung kabus tebal
sejuk, beku, sendiri...

Saujana mata memandang
indah sungguh pulau yang satu ini
barangkali ais berkilau disinar mentari pemalu
semakin didekat
semakin sejuk jasad menanggung
janganlah lama2 di dalam
pergi saja kalau tidak punya ketahanan...

Pulau ini pernah sehangat semarak cinta dulu
namun siapa bisa menduga ombak tinggi memukul memusnah
hingga yang tinggal hanya sisa2 sejarah
menanti waktu mengubah ceritera...

Langit...
bersinarlah kembali...

Pulau...
membekulah sampai langit bersinar...

Sunday, June 7, 2009

august...

Sebulan setengah sahaja lagi... Tak sabar menanti, letih menunggu... Biar saja masa berlalu sendiri...

Apa yang bakal dilakukan di Malaysia...

Mengubat segala 'kesakitan'
Berdua dengan 'dia' ke Genting... Atau ke Pangkor barangkali?
Program2 tertentu berdasarkan jemputan terawal...
Menelusuri warisan sejarah Melayu di istana lama bersama kakanda...
Makan sepuas2nya...
Membetulkan segala kepincangan 'sejarah' yang telah berlaku?
Lepas rindu pada mama!!!!

Mungkin ini kepulangan akhir, mungkin juga tidak pulang lg selepas 2 thn seterusnya... Siapa tahu.. Saya rancang begitu.. Tapi kadang2, lain dirancang, lain menjadi... Biar saja tanpa perancangan, tidaklah kecewa terlalu...

Friday, June 5, 2009

penawar...

Selama jantung masih punya upaya berdegup, Pencinta Agung pasti tetap merencana ujian ke atas hambanya. Menentu darjat insan di sisi Tuhan, apakah setara pencinta agung sepanjang zaman atau pencurang bermanis rupa.

Saat jiwa hilang upaya diuji seketika, ramai sekali merintih semahunya. Umpama Jabal Uhud menimpa bahu, bernafas terasa sesak, nadi berdenyut tanpa aturan sedang akal hilang fungsi. Manusia seperti apakah yang tangisannya atas sejadah cinta saban waktu semata2 meratapi dugaan dunia sedang tanpa sedar di situlah kayu ukur iman manusia pada pandangan Tuhan...

Beberapa perhentian telah dilewati, betapa manusia yang punya akal harus sedar kemanisan tiada pernah terasa nikmat tanpa kepahitan sebelumnya...

Saya lampirkan bicara Hamka dalam Tasawuf Moden mengikut rentak kefahaman saya di sini... Biar jadi penenang jiwa...

Ubat Dukacita...
Betapa dukacita itu timbul lantaran sandaran yang terlalu ke atas sesuatu jua. Umpamanya kehilangan orang yang dicintai, keterlaluan dalam mementingkan jasmani, tiada keterbatas an syahwat sehingga timbul kepercayaan bahawa apa jua yang dicintai itu tidak harus berpisah daripadanya.

Dukacita memikirkan yang telah berlalu...

Kalau sahaja manusia itu keterlaluan memikirkan keberuntungan, kekayaan, kemuliaan dan kebahagiaan bersama manusia tertentu yang telah berlalu, sungguh dukanya itu tiada bererti sama sekali. Merataplah semahunya, tiada pernah masa sesaat dikejar kembali. Terus-terusan meratap akan memusnah manusia itu dari dalam hingga hilanglah sifat manusia itu yang fitrahnya indah dan membahagiakan. Kedukaan seumpama ini timbul lantaran tiada keyakinan bahawa alam ini asalnya tiada, kemudian diadakan dan akhirnya akan lenyap kembali. Segala yang dicintai semuanya akan datang dan pergi dari kita. Kalau bukan kita yang pergi terlebih dahulu, maka sudah tentu mereka yang terlebih dahulu sirna.

Mengubat dukacita ini tidak lain hanyalah dengan menjaga yang tinggal sekarang... Kerana segalanya, samada yang telah hilang atau yang sedang ada serta yang bakal mendatang adalah nikmat. Jangan sampai meratap yang telah tiada, yang digenggaman itu kehilangan pula hingga hujungnya nanti yang ada itu setelah hilang diratapi pula...

Iskandar Zulkarnain sewaktu mangkat setelah menakluk begitu banyaknya jajahan bicara...

"Apabila aku telah mangkat, letakkan mayatku dalam peti, lalukan ke negeri Persia dan Mesir dan ke segenap jajahan yang telah aku takluki. Dari dalam peti hendaklah hulurkan kedua-dua tanganku yang kosong supaya orang tahu bahawa raja Iskandar yang maha kuasa walau bagaimana kuasa sekalipun, namun dia kembali ke akhirat dengan tangan kosong jua. Dan jika ibu dan ahli rumahku hendak meratap mayatku, janganlah dilarang mereka meratap cuma suruh sahaja 2 orang yang akan jadi temannya, iaitu orang yang tidak akan mati selama-lamanya, dan orang yang tidak pernah keluarganya ditimpa kematian. Kalau yag berdua itu telah ada, bolehlah mereka meratapi kematianku".

Bicara Prof Al Attas,
Ma'na kebahagiaan dalam Islam harus dinilai dari Islamic Worldview yang benar. Saat dunia Barat mencari2 ma'na bahagia menerusi material dan bersifat nisbi, Islam itu tidak pernah bermusim bahagianya. Tidaklah hilang bahagia itu saat kehilangan sesuatu yang maujud sifatnya, tidak pula kebahagiaan itu miliknya saat dia beroleh sesuatu mengikut kehendaknya. Bahagia itu lahir dari jiwa yang bertemu Al Haqq, yang punya keyakinan dan kefahaman benar akan pengertian hidup, teguh aqidahnya hingga atas nama aqidah inilah bibir bisa menyebut 'ahad' saat belati menyentuh urat leher. Fahamkah? Bahagia dalam Islam itu tidak nisbi sifatnya, saat nilai bahagia diletakkan atas kebendaan dan kemanusiaan, sungguh manusia hilang sifat kehambaan...

Ibn 'Ataillah pula bicara,
Janganlah keinginan manusia itu cuba menandingi kehendak Tuhannya. Terlalu sibuk mengurusi hal diri menerusi perancangan-perancangan tertentu, adakala manusia itu lupa kalau kitab taqdir itu tiada pernah menjadi miliknya. Selama manusia itu tidak punya sedar kalau hamba itu harus beradab sebagaimana lagak seorang hamba, selama itu kepentingan diri sentiasa jadi tunjang perjuangan tanpa erti. Betapa ramai tokoh agung sepanjang zaman beroleh cinta dalam duka dunia. Sungguh... Sabar dalam diam itu indah bagi jiwa yang mengerti...

Kata2 di atas adalah nukilan saya mengikut kefahaman cetek atas idea2 tokoh di atas. Setiap perkataan di atas saya maksudkan dengan sebenar2 pengertian. Sangatlah tidak adil membaca secara permukaan. Sebarang kesalahan dalam kefahaman saya silalah dibetulkan...

Wassalam...



Tuesday, June 2, 2009

...

When i saw destiny cascading
with no uncertainty or hesitation,
I entrusted all rights to my creator
and threw myself into the current...

Saturday, May 30, 2009

senyum seharian...


Hari ini tampaknya lancar berbanding biasa. Meski yang terbuku kekal mendiam, biar yang terzahir menebar rasa dalam penampilan berbeda...

Hampir 3 minggu menanti, hari ini tiba jua ke Manipal...



sweet kan???




Carilah kekasih seperti apapun, saya hanya punya seorang ibu yang telah berkorban segalanya demi seorang anak yang selalu lupa diri...

Terima kasih mama...

Terima kasih...

Owh, buku2 juga telah sampai.. Ada beberapa buku yang tertinggal di rumah. Terlupa dimasukkan barangkali. Tak mengapa, 2 bulan lagi saya pulang ke Malaysia..=)



Saya puas hati berjumpa dengan buku ini. Buku yang menyelamatkan saya dengan sesungguhnya meski tidak sedalam pemikiran tokoh2 tertentu, tapi sangat bermakna kerana hadirnya saat saya tak punya sesiapa membantu. Buku ini hampir lunyai kerana diusung saban waktu satu ketika dahulu, jadi teman tidur, jadi pemujuk akal jua hati. Saya sungguh2 jatuh cinta pada HAMKA... Tanpa pernah menafikan tokoh2 lain, karya2 HAMKA adalah kegemaran saya.

Bersama2 Falsafah Ketuhanan, mama hantar juga karya2 lain HAMKA seperti Ayahku, Islam:Ideologi dan Keadilan Sosial, serta Tasawuf Moden. Saya senyum sepanjang malam.

Juga buku2 lain, tak perlulah dinyatakan, tak larat pula menaip.

Malam ini malam kerehatan, kerana terapi jasad dan jiwa yang datang dari jauh utusan cinta seorang ibu buat lelah menghilang.

Hanya belek2 tulisan Adian Husaini di web INSIST, saya seperti mahu mengulas sesuatu...

Liberalisasi yang membarah di Indonesia sungguh membunuh kekuatan aqidah. Saya selalu mencinta kebenaran, malah kerana itu saban waktu mencari kebenaran. Apa kebenaran yang dicari? Saya tak berani hurai panjang, bimbang disalah sangka. Cukuplah karya2 Prof Al Attas yang tak terhadam saya sedikit sebanyak mengiakan jalan yang saya lalui bukanlah satu kesalahan.

Sungguh mencari titik persamaan adalah satu kemuliaan dalam menghindar telingkah. Namun mencari titik temu hingga menolak kebenaran adalah satu dosa maha berat! Setujukah? Dengan mengakui setiap agama harus dihormati hingga mengiyakan keyakinan dalam kepelbagaian agama, hakikatnya manusia itu mengakui tidak pernah ada kebenaran dalam dunia. Owh, saya tahu ramai tidak faham maka menganggap saya celoteh kosong. Bagi yang terlalu faham pula akan menanggap saya bicara secara permukaan. Saya tidak punya masa menulis panjang. Lain kali kita bicara sedikit tentang sekularisme. Lain kali... Malam ini malam merenung buah hati yang jauh ditinggalkan kini baru ketemu. Malam ini jua waktu berehat dalam saranan Rasulullah kepada Bilal...

Selamat malam...

Thursday, May 28, 2009

rupa...

Saya tertarik pada post kanda sufi saya... Maka saya ingin buat penerusan ceritera. Boleh kanda? =)

Bicara kanda Sufi, ramai sekali obses pada rupa luaran. Saya? Kamu? Kanda Sufi? hehe. Bagaimana kita?

Ramai sekali melihat dengan mata semata. Kata seorang sahabat, yang baik pada diri seseorang itu selalu datang selepas dinilai cantiknya. Begitukah kita menilai manusia?

Siapa saja tidak punya rasa ingin dipuja kerana indahnya rupa. Allah juga mencinta kecantikan... Namun cantik semata sungguh bukan nilaian sebenar keindahan...

Saat pencinta mula mencinta, sungguh kekaguman pada wajah bisa melahirkan kemabukan luar biasa. Bisa saja pencinta merindu siang malam, bagai hidup semata menanti detik bersatu dengan kecintaan... Teringat nukilan Ibn Qayyim tentang Cinta dan Rindu Menurut Al Quran dan Sunnah kalau cinta itu berputik dari sesuatu. Apabila hilang punca cintanya, maka hilanglah rasa cinta. Nampak kaitannya?

Mudah saja memikat hati manusia. Dengan nukilan indah bicara sakti, hati bisa tunduk memabuk jiwa... Haish... Pujangga pula malam2 buta ni...

Selamanya, selagi baldu palsu jadi nilaian, rugilah manusia mencinta kepalsuan. Apakah nilaian wajah mahupun kulit setanding sinar kalbu yang memancar kesucian?

Apakah saat manusia hilang upaya, cela wajahnya, cacat pancainderanya, sirna sinaran matanya, kelu bicara lidahnya, tempang langkahnya, maka hilang jua rasa cintanya? Palsu sungguh rasa cinta...

Jiwang... Hahaha...

Kamu mengerti? Kalau punca cinta itu harus sejati. Maka kerana itu Ibn Qayyim bicara, sebab cinta itu harus datang dari kesucian niat, berpunca dari kecintaan Agung...

Renung2 lama, rupanya Ibn Qayyim setuju dengan Law of Attraction. Owh, buku2... Bilakah kamu mahu sampai?

Katanya, manusia itu dipertemu atas dasar keserasian niatnya. Meski terpisah dua benua, keserasian jua bakal menyatukan insan. Maka andai 2 pencinta mencari kecintaan Agung, maka dipertemukanlah keduanya dalam taqdir Allah yang tiada pernah terduga insan... Bukankah jelas janji Allah? Ada hadith juga memperkukuh hujah Law of Attraction ini , nanti saya cari semula. Tunggu buku2 sampai...

Mawar mekar antara mawar. Mata menilai, ada indah ada cela. Semudah mata menilai mawar, apakah mawar senilai pandangan 'buta' tanpa hakikat? Biar saja mata 'buta' terus membuta. Masih ada nilai tambah pada tajam duri memagar kelopak merah. Masih jua punya nilai pada cengkam akar memaut bumi. Harumnya jua biar terhidu menyentuh kalbu. Biar nilai dinilai jiwa terlerai hijab... Siapa peduli? Saya tak peduli. Anda peduli?

p/s: asya razak, kamu di btn baik2... sy tgu kamu balik untuk bergosip... =)