Saturday, April 25, 2009

PIDATO

Selesai test Physiology. Dalam hangat Pentas 152, khabar dari seseorang tentang Pertandingan Pidato Belia yang bakal tiba buat saya jadi rindu. Sesekali merenung masa silam, harus saya akur jalan2 menjadi seorang pemidato adalah taqdir Allah sebagai tarbiyyah buat diri kerdil ini.

Rindu mengenang kisah2 lama. Kata seorang sahabat, zaman saya sudah berlalu. Mungkin ya, tidak pernah saya nafikan. Kini bukan lagi masanya saya sesuka hati ponteng kelas dan melepak di library atas alasan berlatih pidato dan debat. Alasan yang menjadi lesen untuk sesuka hati terlepas dari takluk peraturan sekolah. Zaman suka ria itu telah berlalu, zaman gemilang itu telah pergi.

Kenang2 kali pertama disuruh bercakap, tiada sepatah pun keluar dari mulut saya. Budak Form 2 yang tak pernah kenal pidato, maka imbalannya saya dimarah hampir 2 jam oleh Cikgu Fakhrul yang kini dirindui. Dan paling menakjubkan, usai dimarah, bagai ada satu aura muncul memberi saya upaya bicara tanpa henti. Sejak itu, sejak itulah saya tidak pernah berhenti bicara.

Terlalu jauh nukilan taqdir. Di mana saja saya tidak pernah disuruh bercakap. Di tepi pantai2, di Tasik Titiwangsa pada jam 12 malam sambil mengejut pelaku2 maksiat, di Stadium Putra Bukit Jalil, dimarah oleh guru2 bahasa Pahang, di atas meja berdepan pelajar tingkatan 5 sedang saya masih tingkatan 4, di belakang chalet mengadap hutan Sepang saat hujan turun selebat air mata yang mengalir, di PICC mengadap YDP Agong.

Jauh rupanya perjalanan ini... Saat mengenang kisah2 begini, cuma satu makhluk di KMB saja yang mampu memahami tanpa dikhabarkan melalui kata2. Sayangnya kamu jauh sekali di sana.

Entah untuk apa berpidato. Dulu semata2 ingin menang, semata2 inginkan hadiah lumayan lebih2 lagi pidato belia yang sungguh menarik. Mungkin juga dulu saya berpidato kerana terdesak membawa nama sekolah dan harapan guru2. Manakan tidak, dari awal tahun tarikh Pidato Diraja Kebangsaan peringkat akhir telah dimasukkan dalam takwim sekolah. Apakah? Peringkat daerah saja belum dilalui sudah target hendak ke peringkat akhir kebangsaan. SEMESTA... Jangan buat begitu lagi pada junior saya, harapan yang terlalu tinggi sungguh membebankan apalagi bagi calon SPM.

Saban waktu berdoa agar 2006 menebus kekalahan peringkat akhir tahun sebelumnya. Namun dianugerah naib johan jadi kesedihan terlalu. Kenang2 semula, sungguh terasa malu. Sampai2 Dato Sri Hishamudin tegur muka sedih sangat. Hahaha..

Tamat zaman sekolah, pencenlah saya. Itu tanggapan, tapi rupanya masih belum ditaqdir berakhir. Entah dari mana dan bagaimana, ditaqdir pula ke pidato belia. Tujuan utama hanyalah untuk hadiah saguhati yang cukup lumayan. Berdepan dengan pemidato2 dari parti politik dan NGO seperti Abim dan sebagainya (terbuka untuk belia berusia 15-40 tahun) maka saya langsung tidak berharap tinggi. Maka saat diumum johan peringkat KL, merintih sesal semahunya saat itu. Mujur sekali lagi teman sejati ada bersama. Takut! Itu saja ayat saya.

Beberapa hari berlatih di Sepang, ibu angkat yang amat saya kagumi skilnya ini terlalu banyak mendidik. Tidak hairan kalau tokoh2 parti tertentu masih terkejar2 memujuknya sampai kini.

Selaku wakil KL, tuan rumah, maka saya kira sayalah paling menyedihkan saat mesyuarat peserta berlangsung. Bukan saya yang sedih, tapi saya rasa mereka sedihkan saya. Haha.. Dek pusing2 Time Square dengan peneman sejati saya, maka kami jadi peserta paling lewat tiba. Dengan tudung bidang 60 dan baju labuh, saya dipandang pelik sekali. Pertama kerana saya peserta paling lewat tiba saat mesyuarat telah bermula, kedua kerana penampilan kami yang sangat berbeza dengan mereka2, dan ketiga kerana saya nampak terlalu muda hendak dibanding dengan mereka. Paling muda... Gerun? Saya sangat gerun... Segerun bangunan MAYC yang kami duduki. Biarlah apapun pandangan mereka, saya memang budak kecil dalam kalangan mereka yang dewasa.

Saat perlawanan, kecil2 bisa jadi cili api. Rezeki Allah, dengan beza 4 markah dari johan, berjaya juga saya membawa pulang piala walau bukan sebagai juara. Cukuplah sekali itu, saya tak sanggup lagi kehadapan umum berbicara menarik perhatian. Bukan takut bicara di tengah2 Stadium Putra, cuma jalan tarbiyyah buat saya kenal diri. Cukuplah setakat itu.

Hadir ke kelas Dato Syed Ahmad citra ageng nusantara merupakan titik perubahan terbesar hidup saya. Melaluinya saya kenal sedikit sebanyak Anwar Ibrahim di sebalik tabir. Saya kenal erti pidato warisan Prof Sunarjo dari seberang, dan sungguh saya malu melihat kejahilan saya berpidato tanpa makna dulu... Ahh, kisah lama..

Sekarang berjauhan buat hati rindu segalanya... Rindu pada manusia2 istimewa yang hadir melakar bahagia. Bukan medan saya lagi untuk kehadapan. Mungkin kedewasaan mengajar kalau bicara tiada erti tanpa makna dan keikhlasan. Saat anda melihat manusia2 berbicara melaung manifesto dan ucapan, lihat ke arah mata mereka. Mata dan mulut yang berbicara hanya mampu menyentuh hati apabila datangnya dari hati yang ikhlas pemberi ucapan. Percayalah, sangat mudah bercakap di khalayak ramai. Semakin kerap anda naik ke pentas, butir2 bicara indah akan meluncur keluar tanpa anda perlu risau dan gusar malah tanpa sedar jua. Namun untuk bicara sesuatu yang datang dari hati yang takutkan Tuhan buat mulut terkunci rapi. Ini pelajaran terakhir saya...

Dulu saya pengkagum mereka yang petah bicara, kini saya memuja bicara yang datang dari hati yang mengingat Tuhan meski bicaranya tanpa jurus, petes, pisip, mahupun gibran. Saya tidak kisah lagi. Namun ilmu2 warisan ini akan saya simpan, mungkin juga diajar kepada pewaris2 saya esok, kalau Melayu Islam itu punya citra hebat, pendakwah versatil, yang gah jasadnya, bersinar rohaninya... Zuhud jiwanya. Dunia di genggaman sedang akhirat di hati...


p/s: panjang post kali ni. Biarlah panjang2, selepas ini blog ini akan suyi seketika...

Thursday, April 23, 2009

di sini juga di sana...

Hari berlalu berat. Dalam meringankan langkah melalui denai-denai berliku, singgah di medan sendiri meluah rasa diri bisa jadi satu ketenangan...

Banyak yang ingin ditulis, namun kekangan waktu selalu jadi penghalang, barangkali saat santai begini jadi hadiah lelah sepanjang hari...

Isu pertama, menyelit sebentar dalam gelora PPSMI. Dalam lambakan tulisan ilmiah tentang PPSMI, maka kehadiran saya menambah fakta bisa jadi satu penciplakan yang membosankan diulang tayang. Lantas seketika, dari bicara sang politikus yang entahkan pernah mengerti dunia sebenar mangsa PPSMI, atau pejuang jemaah yang semangat melaung anti-PPSMI yang dibimbangi hanya bermusim, jua pihak2 yang dalam diam punya agenda sendiri, pejuang2 warisan Mahathir yang megah dengan lambang modernisasi atau paling malang manusia yang langsung apati pada isu...

Sebulan bukanlah tempoh yang lama untuk memberi saya autoriti bicara semahunya. Namun untuk berpendapat bukanlah satu kesalahan saya kira. Sebulan menjadi pendidik dalam lingkungan anak2 desa, cukuplah rasanya saya mengerti derita mengejar dunia yang entah di mana hala tuju pembangunan bangsa.

Kg Sijangkang bukanlah seperti KL yang anak2 kecil mengulang butir2 mat saleh saban waktu. Di sini, kami membesar dalam suasana asing pada bahasa ini. Kalau jawa yang dijadikan bahasa pengantar, memang sah2 kami bijak Matematik. (sekadar picisan).

Arif yang montel, adik berusia 10 tahun. Selalu ke kelas dengan nasi lemak di atas meja. Disuruh menulis enggan, diajak mengerti berpaling. Satu2nya cara saya menundukkan adik ini adalah dengan mengambil nasi lemaknya sebagai ganti kerja yang tidak disiapkan. Seharian saya menyebut kalau sweating maksudnya berpeluh, namun ke 101 kalinya ditanya, masih menggeleng.

Alif, adik paling menguji kesabaran. Mahu saja dicubit kalau kurang sabar. Kalau bukan dikhabarkan Mualimah Rohani anak ini lahir dari keluarga kurang cinta, pasti saya hilang upaya bersabar atas kerenahnya. Bayangkan, tiada satu pun arahan saya kedengaran padanya. Adakah kerana cikgu ini terlalu muda? erk... Takkanlah.. Selalu ditegur, esok diulang tayang. Saat dimarah, diam. Saat ramah, mudah saja duduk di sisi, gaya adik kakak bermesra. Ahh, memang rindu detik2 begini.

Pesan Mualimah Rohani, ada tanggungjawab sosial tergalas di bahu saya. Setinggi mana terbang burung, harus jua pulang ke sarang. Mudah memang mengatakan kerana tak pandai berbahasa Inggerislah maka PPSMI wajar dilaksanakan. Tunggu! Pelaksanaan ini bukan macam dissect cadaver, silap potong ada spesimen lain. Hello, ini eksperimen atas manusia yang hidup akalnya. Bila eksperimen gagal, imbalannya membawa jangka masa panjang. Dengan sikap seperti ini, mengajar dalam Bahasa Melayu terlalu sukar dirasa. Apalagi mengingat maksud perkataan dalam Bahasa Inggeris, apalagi memahami subjek yang diajarkan seperti Matematik. Silibus hari ini yang dimudahkan bukan setakat merendahkan kualiti pendidikan, malah sistem yang direndahkan ini juga tak terkejar anak2 kg yang jauh dari realiti globalisasi yang seenaknya dimegahkan.

Sebulan bersama adik2 kecil ini, terutama si cilik 5 tahun yang merengek diteman ke tandas memang pengalaman luar biasa. Harapan melihat mereka membesar menuju jaya bukanlah dibuat2 tapi lahir tanpa sedar. Kesan pendek sudah terang lagikan bersuluh. Sudah2 lah menutup statistik peningkatan peperiksaan. Kualiti langsung tak terbukti. Masih di sini adik2 saya tidak tahu maksud shelter, air, earth... Masih juga adik2 saya terkebelakang memahami tambah tolak sedang dalam darjah 3 bukan di situ taraf sepatutnya.

Ya, bukan salah PPSMI sepenuhnya. Tapi kehadirannya menambah buruk. Belum lagi mengambil kira bahana tempoh panjang ke atas pembangunan jati diri, bangsa, dan paling penting agama... Mahu tahu tentang itu, berlambak teori dan pendapat dikeluarkan ilmuan....

Di sini, di bumi India... Kisah antara 2 darjat terlalu ketara. Lihat sahaja golongan terpelajar dan atasan, janganlah anda harapkan mereka bicara dalam bahasa ibunda di sini. Teramat sukar kedengaran. Citra India yang kaya nilai2 susila dan budaya kian lupus hari demi hari. Akka(panggilan perempuan India di sini) yang jual Bombay Toaste pun mampu bicara Bahasa Inggeris. Hahah.. Makcik kat Sijangkang tak reti. Bakal2 doktor di sini sebolehnya bercakap tak ubah gaya mat Salleh, bagai ada kebanggaan saat bicara.

Saya suka senyum pada pakcik2 dan makcik2 tua yang mengangkut batu sekitar MMMC. Menakjubkan bagaimana mereka akan semanisnya membalas senyuman anda. (selalunyalah...) Barangkali sukar melihat golongan atas2 tampak mesra dengan si pengangkut batu ini. Bayangkanlah perasaan dihargai... Mereka ini pekat gaya India, tidak menjadi Mat Salleh tapi lihatlah letak duduk darjat mereka.

Tayangan ini terlalu jelas... Bahasa membeda darjat tanpa saya nafikan wujud jua unsur2 lain. Lihat juga bagaimana jati diri bangsa beralih, lihat juga bagaimana jurang ini kian melebar di sini. Politikus masih sama seperti di Malaysia. Hanya saja pilihan raya Malaysia tak setanding kehangatan di sini yang sedang hangat musim pilihanraya. Manakan tidak, pilihanraya India diiringi polis bersenjata tak ubah gerakan gerila, hari pertama pilihanraya sudah ada nyawa melayang dek rusuhan parti. Belum lagi mengambil kira kecederaan parah atau ringan.

Bahasa kembali...
Saya suka bermain bahasa. Memang kalau dibaca dek guru bahasa saya, selalu dikutuk atas kesalahan tatabahasa pelbagai. Minta maaf, habis medic saya sambung belajar kesusateraan dan bahasa pula yee... =) Namun isunya adalah bagaimana bisa jati diri kekal seiring kemajuan bangsa? Adakah perlu ada korban untuk mememlihara salah satu. Maka untuk maju, Bahasa Melayu jadi korban dalam diam?

Tidak2... Kalau bangsa itu sekadar punya bahasa dan bangsa, tidak kisahlah apa yang terpelihara dan terkorban, kerana matlamatnya berbeda. Namun dalam diri manusia itu punya fitrah menyembah Tuhan. Maka bahasa dan bangsa harus tertakluk pada agama. Bagaimana?

Bicara Pendita Zaaba, Bahasa Melayu mengandungi makna aqidah di dalamnya. Melayu itu jati dirinya terbentuk dari zaman kedatangan Islam, maka citra terlakar dari warna2 sejarah Islam. Jati diri bangsa ini terpelihara seiring indahnya bahasa. Zaman dulu gadis Melayu yang pekat jiwa Islamnya manis berbaju kurung menutup aurat dihias bicara penuh kesantunan. Saat melangkah ada tatacara kesopanan yang diiring tuntutan syarak. Sangatlah tidak mungkin seorang wanita sopan bicara dan mulia bait katanya berpakaian mendedah aurat dengan lagak wanita picisan. Namun kini, gadis yang seenaknya bicara di luar batas tanpa malu ke sana ke mari diusung siapapun. Dengan bahasa bercampur tanpa usul, pakaian jauh dari sempurna, menjadi Melayu sejati terasa asing. Berkain batik terasa kampung. Dipanggil kampung terasa kampung. Mengapakah?

Bahasa mahupun bangsa tertakluk di bawah agama. Kerana agama Islam itu terlalu syumul mencakup kehidupan manusia... Apakah setanding nukilan manusia dengan Allah penguasa segala?

Mengapa Bahasa Melayu? Mengapa perlu perjuang bangsa dan bahasa sedang keutamaan itu Islam? Perlukah dihuraikan di sini? Cukup2... Lain kali sahaja.




Tuesday, April 21, 2009

dedikasi...

Malam berlalu lambat, bagai menguji sabar menipis. Mahu ke mana jiwa ini... Saat manusia menari di pentas maya, memerhati bisa jadi lebih selamat. Ataukah selamat itu sekadar mendatang dalam jiwa sendiri sedang bahana kian mampir?

Kanda Sufi, mahu segera ke sana. Sila khabarkan maklumat terakhir, andai terlaksana hari ini juga tiket dibeli, beruzlah sebulan di sana selama manusia lain menari. Sila khabarkan, hati kita kan serupa... Kalau jadi destinasi akhir sekalipun, redha saja jiwa ini lagaknya...

p/s: rindu ke pesta buku... sedih2...

Erk, sejak bila menjadi puitis?

Sunday, April 19, 2009

nukil2...

Seluruh dunia bergerak, mencari sempurna dalam pengertian berbeza. Hakikat sempurna tidak mungkin digapai, jarang sekali membangkit sedar. Pencarian demi pencarian... Sesekali jiwa ketemu 'sempurna', terdetik di hati bahagia seperti apakah ini yang asyiknya memabuk jiwa. Laksana bermadu kasih di alam syurga, siapa pun tak bisa menoda rasa...

Sukar rupanya menyedari bahagia yang digenggam bukanlah sebenar bahagia. Sukar jua menerima kalau bahagia itu terlalu jauh ingin disentuh. Saat jalan terlakar untuk dilalui, diuji mehnah dunia buat hati terpaku sementara. Apakah untuk punya cinta harus punya darjat begitu? Mengapa wujud jurang luas tak terlangkau manusia hingga impian kekal jadi mimpi sedang realiti membunuh makna? Sungguh kecewa tersungkur kebelakang merenung manusia lain punya langkah menuju bahagia.

Andai tawa itu ukuran bahagia, berbahagialah manusia hina yang hidupya tertawa bersama penghasut neraka. Andai tangis itu petunjuk derita, sengsaralah insan yang saban malam merintih di atas sejadah cinta. Menjadi manusia yang melihat luaran, mata buta hati tertutup. Terperangkap dalam dunia sendiri, juga bisa jadi mulia bisa jua jadi hina. Sejarah manusia agung ramai yang mulia dalam sendirian. Apakah jalan sendiri benar2 membawa bahagia?

Terdampar di tanah yang merela jurang dua darjat, harus jiwa jadi insaf. Apakah derita mencari benar setanding derita manusia hidup tanpa sedar?

Harus jiwa mencari bahagia. Betapa jauh harus pergi, derita sehebat apapun, biar sendiri mengerti. Manusia yang hidup semata demi diri, takkan pernah mengenal rasa hakiki. Biar ditinggal jauh, biar takdir terus menari, hari esok pasti suci menanti...

Yang mengerti pasti bisa memahami kalau selaut air mata tak mungkin memadam tangis jiwa. Kehilangan bahagia membunuh cinta memati hati. Yang jauh terasa dekat, yang hampir terasa jurang. Bukan menolak hadir, hanya serasi bukan di sini. Memilih menjadi diri harus akur kehilangan duri. Sesekali cemburu mampir, ada baldu melindung kalbu... Betapa bukan diri terasa iri...

sayap halus ditiup bayu
jingga suasa mentari pertama
bersaksi langit dandelion menari
membawa kenangan moyang semalam
citra indah pewaris esok

sekilas pandang dandelion biasa
hidup melayang tanpa tuju
namun diam dandelion ini
siang merenung malam bermimpi

dipegang hancur dilepas hilang
sentuhan cinta menyinar cinta
biar akhir kembali ke tanah
diserap induk bersatu di situ
hingga dandelion muda dilepas ke awan
dandelion semalam menjadi ranting

maka sumpah bumi keramat
dandelion hidup menebar cinta...

p/s: saya sama sekali tidak bicara tentang bahagia yang nisbi sifatnya...

Thursday, April 9, 2009

poligami

Finally, our Islamic family laws must reflect the realities of modern life. As the Prime Minister said: ‘Ensuring the rights of women will require reform and renewal in Islamic thought… The problems that contemporary Muslim societies are confronted with today are not the problems of the sixth century, and the solutions we need today do not lie with the notion of a Syariah purportedly final and complete fourteen hundred years ago - particularly in the case of women.’ Our laws must, therefore, address the complexities and realities of modern life while accounting for the universal and eternal principles of justice and equality in Islam.

http://www.sistersinislam.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=707&Itemid=274

Ini petikan yang saya ambil dari web Sisters In Islam (SIS).

Apa jawapan seorang wanita saat ditanya apakah pendapatnya tentang poligami. Rata-rata pasti dengan yakin mengatakan "langkah mayat dulu". Logik yang cukup mudah, tidak ramai yang sanggup berkongsi kasih. Maka atas dasar rasional kononnya, logik dan bawaan emosi, maka monogami diperjuangkan.

Ambil contoh paling mudah, seorang gadis yang membesar dalam keluarga poligami. Ujian Allah menentukan dirinya membesar dalam rumah tangga yang penuh dugaan. Saban hari pergaduhan bersilang pertingkahan. Adakala pinggan mangkuk berterbangan sedang ibu tiri bijak mencucuk jarum mengambil peluang mencalar bahagia. Saban hari gadis ini yang dahulunya seorang anak kecil menyorok sendirian di belakang almari mendengar telingkah ibubapa di waktu manusia2 lain sedang lena dibuai mimpi. Tiap malam anak ini berharap kalaulah dirinya punya kesempatan menyulam tawa di sisi ibu bapa yang benar2 mengerti. Terkadang menulis surat untuk diutus kepada insan yang mengerti derita diri berkongsi bapa, namun akhirnya surat-suratnya lunyai lantaran tiada siapa bisa diberi percaya. Andai seperti ini lakaran kehidupan anak ini hingga dewasa, maka pasti saban waktu kehidupannya menanam harapan punya keluarga bahagia demi menebus luka semalam. Lantaran poligami yang dibenar agama, maka ibunya beroleh derita sedang dia tidak rela menempuh nasib serupa.

Bayangkan anak ini membesar dengan benci kepada lelaki. Maka bisa saja setiap lelaki yang hadir dalam hidupnya di analisis sedalam mungkin adakah punya kemungkinan menjadi pemimpin atau pemusnah. Saat melihat tayangan serupa melanda keluarga lain, sejarah silam berputar kembali memungkinkan luka berdarah semula. Kebencian kian mekar menuntut keadilan dalam kehidupan. Beginikah nasib seorang wanita?

Tanpa sentuhan agama, diterjah ideologi songsang feminisme maka jadilah gadis ini pejuang hak asasi wanita. Membenci kezaliman rumah tangga, menolak sistem kuno diwarisi berzaman, menaruh harapan pada sistem baru molek menepati zaman. Mesti diterjah sesat, perjuangan adalah perjuangan. Tidak rela ditindas lelaki, biar wanita bangkit membela diri. Namun tidak cukup sekadar punya semangat, hala tuju harus jelas, ilmu harus kukuh agar hujah tidak terbalas dek pejuang kuno yang memegang hujah silam yang manakan mungkin relevan dengan kemodenan. Ilmu agama harus ditekuni demi memperkukuh ideologi bawaan Barat yang telah maju memperjuang hak kesamarataan. Kalau lelaki dikatakan pemimpin kerana lelaki adalah pria pujaan yang menjadi sandaran menyara keluarga, kini wanita mampu sama taraf. Lihat saja bilangan lelaki dan wanita di universiti dan pusat serenti, dengan sedikit masa saja pasti mampu ditanam kesedaran dalam jiwa wanita2 moden ini tentang kesamarataan dan keadilan.

Perjuangan tidak bisa sendiri, meski idea ini bukan gagasan sendiri malah nyata gagasan dari 'seberang' , tapi saat keyakinan datang, inilah perjuangan! Harus dikumpul wanita2 sedar, seramai mungkin, sedaya mungkin, seupaya mungkin. Dekati wanita2 punya kedudukan kerja bisa jadi lebih mudah. Suara mereka lebih didengari, usaha menebar sayap kesedaran lebih licin lantaran biaya dan rezeki dari penyokong tidak henti melimpah. Barangkali ini petanda perjuangan diredha Tuhan....

Apa erti keadilan, apa pula erti kesamarataan? Sama tarafkah keduanya? Perjuangan ini demi Tuhan atau manusia? Di mana silapnya sehingga lahir wanita2 seperti ini yang dengan hebatnya melanggar pegangan berzaman dengan berani mencalar syariat agama dengan alasan tidak lagi seiring zaman? Tanya pendapat peribadi, memanglah berat mengizin poligami. Tapi Islam bukan agama nukilan manusia yang penuh silap dan harus digubal setiap 5 tahun. Saat pincang melanda, harus sedar akar masalah berpunca dari manusia. Perjuangan sebenar adalah mengembalikan ajaran yang sebenar, apakah undang2 manusia ini berjaya mendidik pasangan suami isteri untu menyayangi dan mencintai bertautkan cinta Hakiki dari Pencinta Agung? Monogami bukan jawapan, tapi mantapkan kefahaman tentang undang2 Poligami dalam Islam yang sebenar dalam jiwa para muslimin da muslimat, maka itulah penyelesaian sebenar. Saat sudah ada perundangan begitu sempurna, mengapa bersusah payah mencari jalan baru yang konon lebih sempurna?

Islam adalah agama yang adil, meletakkan manusia setara upayanya. Fitrah dicipta dengan beda ketara, menyamakan lelaki dan wanita harus jua menyamakan fitrah yang sebati sejak azali. Wanita mampu menyara keluarga, biar wanita jua bisa punya kuasa melaung azan mengimam solat. Semudah itukah? kalau begitu, biar wanita turut sama berjuang di medan perang dengan ratio yang sama dengan lelaki, biar diberi layanan yang sama dengan lelaki dalam semua perkara. Tarik hak2 istimewa wanita kerana nanti lelaki pula wujudkan Brothers In Islam kerana merasakan wanita punya terlalu banyak kelebihan berbanding lelaki.

Ada unsur2 sejarah yang harus dikaji tentang bagaimana ideologi ini bisa sampai ke sini. Mengapa perjuangan SIS banyak berkisar tentang dunia sedang tidak pula menyeru wanita2 yang pincan akhlaknya untuk kembali pada agama sebenar. Kalau benar mengikut nama Sisters In Islam, maka mereka harus lebih prihatin akan nasib wanita di akhirat kelak. Apakah syurga atau neraka wanita2 ini akhirnya nanti.

Apa jua keadaan, kembali kepada Al Quran dan Sunnah adalah cara paling indah. Memang tulisan saya mudah dan bukan tandingan untuk hujah2 SIS yang menjalar seantero dunia, namun moga2 ada pahala atas perkongsian mudah... Bukankah jalan perjuangan harus bermula dengan langkah pertama? Semoga ditambah kefahaman akan agama, biar jiwa kian subur, sedang kecintaan Hakiki mekar selamanya...

p/s: saya tau kamu sibuk sekali di kmb berjuang demi menjadi doktor muslimah yang sejati. Semoga kamu sentiasa rindukan saya di sini sebagaimana rindunya saya pada kamu...

Saturday, April 4, 2009

ketika cinta...

Lirik Lagu Ketika Cinta (Ost Perempuan Berkalung Serban) - Siti Nurhaliza

Ada tiada rasa dalam jiwa
Rindu akan memanggil-Mu
Karna setiap jiwa t'lah bersumpah
Setia hanyalah kepada-Mu

Bila cinta ada di dalam jiwa
Wangi bunga dunia tanpa nestapa
Segala yang dirasa hanyalah Dia
Hati 'kan memuja hanya pada-Nya

Ketika cinta memanggil
Gemetar tubuhku
Ketika cinta memanggil
Hangatnya nafasku
Ketika cinta memanggil
Menderu sang rindu
Ketika cinta memanggil

Rindu... rindu... rindu qalbu
Memanggil-manggil nama-Mu
Seperti terbang di langit-Mu
Tenggelam di lautan cinta-Mu

Bertabur qalbu yang rindu
Melebur menjadi satu
Bagai menari diiringi pelangi
Ketika cinta memanggil

kucupan terakhir...

Ini post lama... Saja diulang siar lantaran rindu yang terlalu...


Monday, December 10th, 2007

Pada satu masa yang ditetapkan, kita pasti dirisik… Pertunangan sejak azali. Di hujung hidup nanti berlangsungnya perkahwinan dengan maut, hantarannya sakit dan nazak. Tamu bertandang menghadiahkan tangisan. Pengantin dimandikan, dipakaikan baju putih. Wangian gaharu cendana jadi pelamin. Pengantin bersanding sendirian… Diarak keliling kampung… Berkompang azan dan kalimah kudus, akad nikahnya bacaan talkin berwalikan liang lahad bersaksikan nisan-nisan. Siraman mawar keluaga terdekat… Malam pertama bersama kekasih yang dindingnya tanah dan menuntut janji pernikahan…~ara~

Hari ini genap seminggu pemergian abah. Ada sayu yang datang bertandang bagai mengulang peristiwa kelmarin. Terasa segar diingatan tika detik duka itu berlalu…

Tengahari itu segalanya berjalan seperti hari2 biasa. Kelas diikuti seumpama lazim tanpa sedikit petanda ada tangis yang bakal menjelma. Lantas deringan telefon yang membawa khabar duka benar-benar menjadi tamparan hebat. Barangkali mimpi atau gurauan semata. Namun, apabila minda waras ini sedar betapa segalanya adalah hakikat, yang terdaya dilakukan hanyalah teresak dalam dakapan sahabat. Betapa ungkapan yang dilafaz abgku adalah realiti! Benar-benar terjadi! "Dik, dah tau belum? Abah dah takde"…

Syukur mindaku masih mampu berfungsi. Kugagahkan kaki menuju ke bawah mencari akal untuk pulang sebelum pengebumian berlangsung. Dalam berat langkah kakiku, hanya satu peristiwa yang muncul diingatan. Saat terakhir kukucup dahinya sebelum pulang ke kolej… Saat terakhir suaranya kudengar… Saat terakhir bibirnya berpesan… Saat terakhir mata kami bertemu… Saat terakhir…

Alhamdulillah, dengan bantuan sahabat yang prihatin, segalanya diatur mudah membawaku pulang ke rumah bersama rakan2 sbg teman. Tika itulah baru kusedar solat Zohorku masih belum tertunai. Lantas, usai solat Zohor segalanya kembali tenang. Bukankah benar janji Allah betapa dengan mengingatinya hati itu bisa jadi tenang? Selepas itu, segera kami menuju ke rumahku. Tika itu tiada lagi tangisan yang hadir…

Setibanya di halaman rumah, melihat ramai orang berkumpul di halaman, buat aku benar2 yakin, hakikat ini benar2 terjadi. Melangkah menuju ke rumah terasa begitu payah dan menyesakkan. Apatah lagi melihat kakak yang teresak2 mendakapku sejurus melihat kedatanganku. Rupanya waktu itu, jenazah masih belum tiba dr hospital. Lantas dalam keramaian manusia, aku duduk di penjuru rumah membacakan Yaasin sebagai kiriman kasih, jua sebagai penenang hati…

Seketika itu jenazah tiba. Diusung ke dalam rumah dalam iringan tangis keluarga dan saudara. Terasa sebuah sandiwara yang berlangsung di kaca televisyen. Dalam langkah yang berat, aku bangun menuju ke sisi arwah, dan tika itu air mata jatuh sekali lagi. Melihat matanya yang tertutup rapat, bibir yang kaku, tubuh diselimut kapan. Sungguh2, kalau sahaja bukan kerana disambut sepupuku, pasti telah lama aku jatuh disitu.

Lantas majlis diteruskan dengan memandikan jenazah dan dikapan… Selesai segalanya, pakcik yang menguruskan jenazah mempersila keluarga, saudara dan sahabat melihat jenazah buat kali terakhir. Saat itulah seorang demi seorang tampil ke sisi arwah abah, meluah kesedihan, menghadiah kucupan terakhir. Hingga tiba giliranku…Yang terdaya hanya melihat wajahnya, lantas mengucupnya buat kali terakhir… Benar2 buat terakhir kalinya…Hingga saat ini, masih terasa wangian semerbak haruman gaharu saat di samping jenazah…

Kemudian segalanya berlalu seperti lazim. Arwah abah disolatkan dan kemudian dibawa ke perkuburan untuk dikebumi. Saat itu ada yang menegah kami dari turut serta. Namum bagai mencurah air ke daun keladi, tiada yang peduli pada tegahan itu. Kami turut serta ke kawasan perkuburan lantas menyaksikan abah dikebumi dari kejauhan… Masih terngiang bicara imam yang membacakan tahlil serta menghulur peringatan. Saat itulah terasa kematian itu benar2 hampir. Tersedar betapa pun manusia mengejar keindahan dunia, yang tinggal hanyalah liang lahad sebagai tempat persemadan agung. Lantas, apalah yang dikejar pada dunia. Dan tika jenazah dikebumi, saat itu benar2 kurasakan perpisahan antara kami. Perpisahan antara dua alam, antara seorang bapa dan anak, perpisahan antara hidup dan mati…

Berakhirlah kisah ini… Kisah perjalanan sementara manusia di bumi yang fana. Kudoakan moga sejahtera mengiringi arwah di sana… Amin…

Buat sahabat yang sentiasa menyokong, terima kasih untuk segalanya… abg fezi yang sentiasa memberi semangat, housemates yang sudi meminjam bahu mengurang duka, classmates dan shbt2 KTT yang sanggup datang bersama bas KTT, lecturer yang sudi menghantar dan membantu, kakak2 usrah yang sanggup dtg dr tempat kerja dalam keletihan dan sarat membawa baby, SEMESTARIAN yg tak henti2 menghubungi dan menghantar sms, sahabat2 APIS dan pkpim yang tak putus2 mengingatkan pada kecintaan Allah, Mak Ani dan Auntie Sue yg sanggup datang dr jauh di malam hari untuk menghulur bantuan, dan semua yang sentiasa di sisi namun tak tertulis di sini… Terima kasih atas doa dan sokongan kalian. Hanya Allah yang boleh membalasnya…

salam alaik…

tinta manipal...

Salam...

Usai Liqa' Mahabbah menyambut kedatangan kami pelajar2 junior oleh senior2 melaka-manipal medical college dalam sambutan yang saya kira sungguh meriah dan indah...

2 minit sebelum jam 12 malam, masih terlalu banyak yang ingin dilaksanakan meski letih pulang dari majlis masih bersisa. 2 perkara yang paling digemari di bumi Manipal hingga detik ini adalah makanan yang sangat sedap dan murah serta menaiki auto terutamanya di malam hari saat bayu bertingkah menerpa wajah... Segar sekali nikmat Tuhan...

Beberapa waktu berlalu, banyak yang ditinggalkan banyak jua yang ditemui. Meski jiwa hamba sedar tiada pernah insan punya harta selamanya selain bekalan akhirat, kehilangan kecintaan pasti melukakan. Merindui detik-detik di sisi manusia yang dicintai, pasti sesal waktu bersama dibiar berlalu tanpa sulaman bahagia...

Bahagia... Sungguh, sudah pasti bahagia yang nisbi sifatnya bukan sebenar2 kebahagiaan yang dimaksudkan Islam. Bahagia yang hakiki tidak luput dilanda ujian, kerana hadirnya dipatri keyakinan Aqidah yang kukuh. Ahh, saya mula berfalsafah tentang gagasan Islam yang diperkemas Prof Al Attas sekali lagi...

Lantas, siapa dan di mana saya mahupun kita? Saat hilang seekor kucing, diratap semahunya seolah hilang sebahagian iman. Keterlaluan? Saya tukar conth pula. Sesetengah kita menggilai cerita Korea. Saat hero terkorban atau gagal melunas hasrat cinta pada gadis idaman, jiwa kecewa bagai diragut bahagia lantaran lazimnya penonton mengandaikan diri selaku watak utama.

Berpindah pada contoh yang lebih tinggi, saat pejuang kehilangan madu' atau bisa jua pertentangan fikrah deras menikam, jiwa bagai hilang arah. Manusia mencari tempat mengadu duka payah perjuangan sedang kefahaman seharusnya menebal bahawa hanya Allah empunya langit dan bumi.

I wish I want not to want...

Bisakah manusia penuh noda punya jiwa tanpa kemahuan?

Total submission...

Bagaimana bisa digapai kemuliaan agama andai ilmu masih menipis, kefahaman begitu dangkal, jiwa diasak pertanyaan sedang diri terdampar tanpa arah??? Harus dunia metaphysics diteroka, sendiri terasa benar-benar sendiri...

Sabar... Bukankah HAMKA dalam nukilan Tasawuf Moden pernah punya rasa memutus nyawa lantaran beban terlalu...

Rindu...

Rindu berteleku di pusara arwah abah, tempat paling indah mendamai kalbu...

Punya jiwa yang mahu melebihi kemahuan manusia lain harus akur kehilangan bahagia yang nisbi sifatnya berbanding manusia lain. Sesekali merenung aturan takdir, siapa bisa menukil ceritera seindah layar kehidupan manusia? Berani sungguh bicara segalanya berevolusi tanpa Tuhan di antaranya. Keyakinan... Akan mekar bahagia di hujung ceritera...

Pandang sekeliling, indah dunia bisa saja memukau jiwa penuh noda... Saya diasak pertanyaan di manakah indahnya wanita... Saat hegemoni merasuk merobek malu, naif sungguh berbalut tabarruj bercalit riak... Di mana makna sebenar?

Lantas bicara Aisyah pada Rasulullah jadi sandaran... Bahawa yang membeda makhluk itu adalah akalnya. Lantaran amal itu terlaksana setara akal...

p/s: kerja sangat banyak!!! Maka atas alasan apakah saya masih sibuk membaca kisah Mikhail Gorbachev, Bertrand Russell dan tulisan Einstein berkenaan RELIGION AND SCIENCE: IRRECONCILABLE??? Puas juga saya meneliti Berita Harian, The Times of India, Harakah, Malaysiakini, blog Tun, blog Najib, blog beberapa gerakan jemaah, blog beberapa ulama' berkenaan hukum Fiqh, blog sasterawan (esp Faisal Tehrani) dan blog2 yg lazim saya lawati... Nuhara... Cukup2... Biochemistry, Physiology, Anatomy...