Saturday, April 4, 2009

kucupan terakhir...

Ini post lama... Saja diulang siar lantaran rindu yang terlalu...


Monday, December 10th, 2007

Pada satu masa yang ditetapkan, kita pasti dirisik… Pertunangan sejak azali. Di hujung hidup nanti berlangsungnya perkahwinan dengan maut, hantarannya sakit dan nazak. Tamu bertandang menghadiahkan tangisan. Pengantin dimandikan, dipakaikan baju putih. Wangian gaharu cendana jadi pelamin. Pengantin bersanding sendirian… Diarak keliling kampung… Berkompang azan dan kalimah kudus, akad nikahnya bacaan talkin berwalikan liang lahad bersaksikan nisan-nisan. Siraman mawar keluaga terdekat… Malam pertama bersama kekasih yang dindingnya tanah dan menuntut janji pernikahan…~ara~

Hari ini genap seminggu pemergian abah. Ada sayu yang datang bertandang bagai mengulang peristiwa kelmarin. Terasa segar diingatan tika detik duka itu berlalu…

Tengahari itu segalanya berjalan seperti hari2 biasa. Kelas diikuti seumpama lazim tanpa sedikit petanda ada tangis yang bakal menjelma. Lantas deringan telefon yang membawa khabar duka benar-benar menjadi tamparan hebat. Barangkali mimpi atau gurauan semata. Namun, apabila minda waras ini sedar betapa segalanya adalah hakikat, yang terdaya dilakukan hanyalah teresak dalam dakapan sahabat. Betapa ungkapan yang dilafaz abgku adalah realiti! Benar-benar terjadi! "Dik, dah tau belum? Abah dah takde"…

Syukur mindaku masih mampu berfungsi. Kugagahkan kaki menuju ke bawah mencari akal untuk pulang sebelum pengebumian berlangsung. Dalam berat langkah kakiku, hanya satu peristiwa yang muncul diingatan. Saat terakhir kukucup dahinya sebelum pulang ke kolej… Saat terakhir suaranya kudengar… Saat terakhir bibirnya berpesan… Saat terakhir mata kami bertemu… Saat terakhir…

Alhamdulillah, dengan bantuan sahabat yang prihatin, segalanya diatur mudah membawaku pulang ke rumah bersama rakan2 sbg teman. Tika itulah baru kusedar solat Zohorku masih belum tertunai. Lantas, usai solat Zohor segalanya kembali tenang. Bukankah benar janji Allah betapa dengan mengingatinya hati itu bisa jadi tenang? Selepas itu, segera kami menuju ke rumahku. Tika itu tiada lagi tangisan yang hadir…

Setibanya di halaman rumah, melihat ramai orang berkumpul di halaman, buat aku benar2 yakin, hakikat ini benar2 terjadi. Melangkah menuju ke rumah terasa begitu payah dan menyesakkan. Apatah lagi melihat kakak yang teresak2 mendakapku sejurus melihat kedatanganku. Rupanya waktu itu, jenazah masih belum tiba dr hospital. Lantas dalam keramaian manusia, aku duduk di penjuru rumah membacakan Yaasin sebagai kiriman kasih, jua sebagai penenang hati…

Seketika itu jenazah tiba. Diusung ke dalam rumah dalam iringan tangis keluarga dan saudara. Terasa sebuah sandiwara yang berlangsung di kaca televisyen. Dalam langkah yang berat, aku bangun menuju ke sisi arwah, dan tika itu air mata jatuh sekali lagi. Melihat matanya yang tertutup rapat, bibir yang kaku, tubuh diselimut kapan. Sungguh2, kalau sahaja bukan kerana disambut sepupuku, pasti telah lama aku jatuh disitu.

Lantas majlis diteruskan dengan memandikan jenazah dan dikapan… Selesai segalanya, pakcik yang menguruskan jenazah mempersila keluarga, saudara dan sahabat melihat jenazah buat kali terakhir. Saat itulah seorang demi seorang tampil ke sisi arwah abah, meluah kesedihan, menghadiah kucupan terakhir. Hingga tiba giliranku…Yang terdaya hanya melihat wajahnya, lantas mengucupnya buat kali terakhir… Benar2 buat terakhir kalinya…Hingga saat ini, masih terasa wangian semerbak haruman gaharu saat di samping jenazah…

Kemudian segalanya berlalu seperti lazim. Arwah abah disolatkan dan kemudian dibawa ke perkuburan untuk dikebumi. Saat itu ada yang menegah kami dari turut serta. Namum bagai mencurah air ke daun keladi, tiada yang peduli pada tegahan itu. Kami turut serta ke kawasan perkuburan lantas menyaksikan abah dikebumi dari kejauhan… Masih terngiang bicara imam yang membacakan tahlil serta menghulur peringatan. Saat itulah terasa kematian itu benar2 hampir. Tersedar betapa pun manusia mengejar keindahan dunia, yang tinggal hanyalah liang lahad sebagai tempat persemadan agung. Lantas, apalah yang dikejar pada dunia. Dan tika jenazah dikebumi, saat itu benar2 kurasakan perpisahan antara kami. Perpisahan antara dua alam, antara seorang bapa dan anak, perpisahan antara hidup dan mati…

Berakhirlah kisah ini… Kisah perjalanan sementara manusia di bumi yang fana. Kudoakan moga sejahtera mengiringi arwah di sana… Amin…

Buat sahabat yang sentiasa menyokong, terima kasih untuk segalanya… abg fezi yang sentiasa memberi semangat, housemates yang sudi meminjam bahu mengurang duka, classmates dan shbt2 KTT yang sanggup datang bersama bas KTT, lecturer yang sudi menghantar dan membantu, kakak2 usrah yang sanggup dtg dr tempat kerja dalam keletihan dan sarat membawa baby, SEMESTARIAN yg tak henti2 menghubungi dan menghantar sms, sahabat2 APIS dan pkpim yang tak putus2 mengingatkan pada kecintaan Allah, Mak Ani dan Auntie Sue yg sanggup datang dr jauh di malam hari untuk menghulur bantuan, dan semua yang sentiasa di sisi namun tak tertulis di sini… Terima kasih atas doa dan sokongan kalian. Hanya Allah yang boleh membalasnya…

salam alaik…

2 comments:

gman said...

al-fatihah...

lithium72 said...

salam alaik..

maaf kerana memberitahu kpd mu dengan cara yang mengejut tentang kepulangan ayahanda mu dahulu.. kalau lah tidak terburu-buru memberitahu hal itu berilmu tentulah diucapkan begini..

"ara, kalau orang pinjamkan kita sesuatu,dan tiba masanya tuannya mahu ambil semula yang dipinjamkan kepada kita patutkah kita memberikan semula kepada tuannya"

"sudah tentu kita kena pulangkan kepada tuannya".

begitulah juga kita,apa apa yang ada pada kita semuanya pinjam-pnijaman dari Yang Maha Kuasa.. baik anak,ibu,bapa atau harta kekayaan semuanya dipinjamkan olehNya kepada kita, apabila tiba waktu wang telah ditetapkan Dia akan mengambil semula hakNya.

Innalillahiwainnailaihirajiun.