Thursday, April 23, 2009

di sini juga di sana...

Hari berlalu berat. Dalam meringankan langkah melalui denai-denai berliku, singgah di medan sendiri meluah rasa diri bisa jadi satu ketenangan...

Banyak yang ingin ditulis, namun kekangan waktu selalu jadi penghalang, barangkali saat santai begini jadi hadiah lelah sepanjang hari...

Isu pertama, menyelit sebentar dalam gelora PPSMI. Dalam lambakan tulisan ilmiah tentang PPSMI, maka kehadiran saya menambah fakta bisa jadi satu penciplakan yang membosankan diulang tayang. Lantas seketika, dari bicara sang politikus yang entahkan pernah mengerti dunia sebenar mangsa PPSMI, atau pejuang jemaah yang semangat melaung anti-PPSMI yang dibimbangi hanya bermusim, jua pihak2 yang dalam diam punya agenda sendiri, pejuang2 warisan Mahathir yang megah dengan lambang modernisasi atau paling malang manusia yang langsung apati pada isu...

Sebulan bukanlah tempoh yang lama untuk memberi saya autoriti bicara semahunya. Namun untuk berpendapat bukanlah satu kesalahan saya kira. Sebulan menjadi pendidik dalam lingkungan anak2 desa, cukuplah rasanya saya mengerti derita mengejar dunia yang entah di mana hala tuju pembangunan bangsa.

Kg Sijangkang bukanlah seperti KL yang anak2 kecil mengulang butir2 mat saleh saban waktu. Di sini, kami membesar dalam suasana asing pada bahasa ini. Kalau jawa yang dijadikan bahasa pengantar, memang sah2 kami bijak Matematik. (sekadar picisan).

Arif yang montel, adik berusia 10 tahun. Selalu ke kelas dengan nasi lemak di atas meja. Disuruh menulis enggan, diajak mengerti berpaling. Satu2nya cara saya menundukkan adik ini adalah dengan mengambil nasi lemaknya sebagai ganti kerja yang tidak disiapkan. Seharian saya menyebut kalau sweating maksudnya berpeluh, namun ke 101 kalinya ditanya, masih menggeleng.

Alif, adik paling menguji kesabaran. Mahu saja dicubit kalau kurang sabar. Kalau bukan dikhabarkan Mualimah Rohani anak ini lahir dari keluarga kurang cinta, pasti saya hilang upaya bersabar atas kerenahnya. Bayangkan, tiada satu pun arahan saya kedengaran padanya. Adakah kerana cikgu ini terlalu muda? erk... Takkanlah.. Selalu ditegur, esok diulang tayang. Saat dimarah, diam. Saat ramah, mudah saja duduk di sisi, gaya adik kakak bermesra. Ahh, memang rindu detik2 begini.

Pesan Mualimah Rohani, ada tanggungjawab sosial tergalas di bahu saya. Setinggi mana terbang burung, harus jua pulang ke sarang. Mudah memang mengatakan kerana tak pandai berbahasa Inggerislah maka PPSMI wajar dilaksanakan. Tunggu! Pelaksanaan ini bukan macam dissect cadaver, silap potong ada spesimen lain. Hello, ini eksperimen atas manusia yang hidup akalnya. Bila eksperimen gagal, imbalannya membawa jangka masa panjang. Dengan sikap seperti ini, mengajar dalam Bahasa Melayu terlalu sukar dirasa. Apalagi mengingat maksud perkataan dalam Bahasa Inggeris, apalagi memahami subjek yang diajarkan seperti Matematik. Silibus hari ini yang dimudahkan bukan setakat merendahkan kualiti pendidikan, malah sistem yang direndahkan ini juga tak terkejar anak2 kg yang jauh dari realiti globalisasi yang seenaknya dimegahkan.

Sebulan bersama adik2 kecil ini, terutama si cilik 5 tahun yang merengek diteman ke tandas memang pengalaman luar biasa. Harapan melihat mereka membesar menuju jaya bukanlah dibuat2 tapi lahir tanpa sedar. Kesan pendek sudah terang lagikan bersuluh. Sudah2 lah menutup statistik peningkatan peperiksaan. Kualiti langsung tak terbukti. Masih di sini adik2 saya tidak tahu maksud shelter, air, earth... Masih juga adik2 saya terkebelakang memahami tambah tolak sedang dalam darjah 3 bukan di situ taraf sepatutnya.

Ya, bukan salah PPSMI sepenuhnya. Tapi kehadirannya menambah buruk. Belum lagi mengambil kira bahana tempoh panjang ke atas pembangunan jati diri, bangsa, dan paling penting agama... Mahu tahu tentang itu, berlambak teori dan pendapat dikeluarkan ilmuan....

Di sini, di bumi India... Kisah antara 2 darjat terlalu ketara. Lihat sahaja golongan terpelajar dan atasan, janganlah anda harapkan mereka bicara dalam bahasa ibunda di sini. Teramat sukar kedengaran. Citra India yang kaya nilai2 susila dan budaya kian lupus hari demi hari. Akka(panggilan perempuan India di sini) yang jual Bombay Toaste pun mampu bicara Bahasa Inggeris. Hahah.. Makcik kat Sijangkang tak reti. Bakal2 doktor di sini sebolehnya bercakap tak ubah gaya mat Salleh, bagai ada kebanggaan saat bicara.

Saya suka senyum pada pakcik2 dan makcik2 tua yang mengangkut batu sekitar MMMC. Menakjubkan bagaimana mereka akan semanisnya membalas senyuman anda. (selalunyalah...) Barangkali sukar melihat golongan atas2 tampak mesra dengan si pengangkut batu ini. Bayangkanlah perasaan dihargai... Mereka ini pekat gaya India, tidak menjadi Mat Salleh tapi lihatlah letak duduk darjat mereka.

Tayangan ini terlalu jelas... Bahasa membeda darjat tanpa saya nafikan wujud jua unsur2 lain. Lihat juga bagaimana jati diri bangsa beralih, lihat juga bagaimana jurang ini kian melebar di sini. Politikus masih sama seperti di Malaysia. Hanya saja pilihan raya Malaysia tak setanding kehangatan di sini yang sedang hangat musim pilihanraya. Manakan tidak, pilihanraya India diiringi polis bersenjata tak ubah gerakan gerila, hari pertama pilihanraya sudah ada nyawa melayang dek rusuhan parti. Belum lagi mengambil kira kecederaan parah atau ringan.

Bahasa kembali...
Saya suka bermain bahasa. Memang kalau dibaca dek guru bahasa saya, selalu dikutuk atas kesalahan tatabahasa pelbagai. Minta maaf, habis medic saya sambung belajar kesusateraan dan bahasa pula yee... =) Namun isunya adalah bagaimana bisa jati diri kekal seiring kemajuan bangsa? Adakah perlu ada korban untuk mememlihara salah satu. Maka untuk maju, Bahasa Melayu jadi korban dalam diam?

Tidak2... Kalau bangsa itu sekadar punya bahasa dan bangsa, tidak kisahlah apa yang terpelihara dan terkorban, kerana matlamatnya berbeda. Namun dalam diri manusia itu punya fitrah menyembah Tuhan. Maka bahasa dan bangsa harus tertakluk pada agama. Bagaimana?

Bicara Pendita Zaaba, Bahasa Melayu mengandungi makna aqidah di dalamnya. Melayu itu jati dirinya terbentuk dari zaman kedatangan Islam, maka citra terlakar dari warna2 sejarah Islam. Jati diri bangsa ini terpelihara seiring indahnya bahasa. Zaman dulu gadis Melayu yang pekat jiwa Islamnya manis berbaju kurung menutup aurat dihias bicara penuh kesantunan. Saat melangkah ada tatacara kesopanan yang diiring tuntutan syarak. Sangatlah tidak mungkin seorang wanita sopan bicara dan mulia bait katanya berpakaian mendedah aurat dengan lagak wanita picisan. Namun kini, gadis yang seenaknya bicara di luar batas tanpa malu ke sana ke mari diusung siapapun. Dengan bahasa bercampur tanpa usul, pakaian jauh dari sempurna, menjadi Melayu sejati terasa asing. Berkain batik terasa kampung. Dipanggil kampung terasa kampung. Mengapakah?

Bahasa mahupun bangsa tertakluk di bawah agama. Kerana agama Islam itu terlalu syumul mencakup kehidupan manusia... Apakah setanding nukilan manusia dengan Allah penguasa segala?

Mengapa Bahasa Melayu? Mengapa perlu perjuang bangsa dan bahasa sedang keutamaan itu Islam? Perlukah dihuraikan di sini? Cukup2... Lain kali sahaja.




3 comments:

cahaya kemasyhuran said...

btol ara~stuju2~

gman said...

setuju2

lithium72 said...

alahai....bahasa melambangkan bangsa, kalau dah pupus bahasa apa lagi yang tinggal pada bangsa itu.

Isu PPSMI wajarlah dihapuskan kerana menjatuhkan maruah bangsa,kita ketinggalan dalam ranking negara2 dunia ketiga dalam sains dan matematik..
dikalangan pelajar2 kita di kampung2 bukan tak pandai menjawab soalan tetapi tak faham soalan, wajarlah ditukar kembali ke bahasa melayu..

Pemerintah gah melaungkan untuk memartabatkan bahasa melayu, walhal merekalah yg perlahan2 menghancurkannya, review kembali sebelum pembukaan Putrajaya, heboh dalam akhbar pasal memartabat bahasa melayu, sekarang lihat pula nama2 jalan atau papan tanda seperti "presint" adakah itu melambangkan bahasa melayu..

alahai apa nak jadi dgn Malaysia hari ini dan akan datang.