Monday, August 24, 2009

Bebas...

Bicara HAMKA dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Widjck:

Kata sesetengah orang, ilmu mengarang itu diperdapat lantaran nahu dan saraf bahasa dan dibaca lantaran karangan pujangga lain dan menirunya, bisa orang menjadi pengarang. Banyak diperbuat orang aturan mengarang mesti begini, mesti begitu, tak boleh salah. Tetapi bilamana kita melihat karangan pujangga sejati, sentiasa ia berlainan susunannya dengan pujangga lain. Seorang pengarang, bilamana dibaca orang karangannya, orang tertarik dengan kesulitan bahasa yang dipakainya. Biar saja menyanggah nahu dan saraf yang terpakai lazim, tetapi lebih enak orang membaca karangan itu.

Bicara saya yang kurang ilmu namun berani menambah:

Mengarang itu punya upaya menyentuh hati bila datangnya ilham dari kalbu yang lahir mengaliri saraf lantas dihalusi akal terus dinukil tinta. Sungguh, jiwa yang tiada kenal derita tiada mungkin bisa mengerti derita, lantaran derita itu tiada ia diperoleh menerusi dongengan moyang, namun dirasa sepanjang manusia meniti kehidupan dalam aturan Allah jua. Maka sepanjang zaman disaksikan umat, pejuang sejati mengarang ilmu, sejarah mahupun nasihat di sebalik jeriji penjara, dalam tanggungan jiwa sarat duka jua lelah. Lantas saat karya dibaca manusia, terkesanlah jiwanya, menitislah air mata, lantaran bicara dari hati itu menyentuh hati jua... Bicara saya ini, andai diadili selayaknya, maka pantaslah saya dan anda bersahabat lantaran bicara ini cukup menggambarkan siapa saya di balik penulisan...

Sepanjang di rumah, saya lebih banyak membaca dari keluar. H1N1 punya angkara!

Kebanyakannya berkisah derita wanita yang dirampas hak kebebasan sebenar. Maka, 2 gambaran utama kelihatan di mata saya saat ini. Gambaran tentang erti merdeka sekitar pembacaan saya beberapa hari ini...

Tidak pernah saya membaca novel sebanyak ini. Berikut merupakan senarai novel berkaitan, selebihnya saya ceritakan lain hari.

Daughters of Shame (Jasvinder Sanghera)

In the Name of Honour (Mukhtar Mai)

A Thousand Splendid Suns (Khaled Hosseini)

Tenggelamnya Kapal Van Der Widjck (HAMKA)

Habis Gelap Terbitlah Terang (R.A. Kartini)

Konklusinya: Kehadiran Islam itu memuliakan wanita, mengangkat darjat, menghapus derita, menebar keadilan.

Sepanjang sejarah manusia, wujud sesetengah fahaman kalau wanita terzahir golongan lemah, malah dasar apartheid yang sinonim dengan perjuangan Nelson Mandela juga dikaitkan dengan dasar apartheid ke atas wanita. Di negara Asia yang kaya beradat seumpama India, Pakistan, dan Indonesia, masih terdapat budaya celaru tentang bagaimana wanita itu harus dihargai. Hingga ke hari ini, masih wujud perkahwinan secara paksa malah pada usia terlalu muda tanpa menilai iman jua pekerti, sebaliknya darjat dan bangsa jadi penentu. Masih wujud jua kepercayaan wanita itu tidak punya hak menuntut tinggi, kerna kelak tempatnya hanya di dapur, menjaga keperluan suami jua membesarkan anak2. Masih jua wanita dilarang melihat dunia luar meski menjejak tanah tanpa diawasi sedekatnya, umpama wanita itu punca jatuhnya maruah dan kehormatan. Owh, memang benar. Semuanya demi maruah dan penghormatan! Lantas saat ada wanita menyanggah hak ke atasnya dinafikan, wanita dibunuh jua atas nama penghormatan dan maruah. Diperkosa sesuka hati kemudian dicampak di tebing sungai. Apakah?

Saya tahu ini sama sekali tidak pernah berlangsung sekitar kita, namun biar kali ini saya khabarkan, biar keluar dari tawa, biar tahu derita manusia lain di luar. Sesiapa yang sudah menonton filem Perempuan Berkalung Sorban, anda bakal mengerti bicara saya dengan lebih baik. Meskipun filem ini bernada liberal, namun terdapat kebenaran yang tak mampu terlindungkan.

Saya bukan pejuang hak kesamarataan antara wanita dan lelaki. Biar langit da bumi bersatu, memang tiada mungkin wanita itu sama dengan lelaki. Kerana yang terzahir jelas membukti, fitrah jua tiada mampu menafi. Namun kegagalan mengerti hakikat Islam secara menyeluruh merela adat menindas wanita satu ketika dahulu, sehingga gerakan membebas wanita akhirnya menuntut kebebasan mutlak yang membebas wanita dari sebarang tautan termasuk ikatan agama. Maka saya tidak hairan di Indonesia begitu pekat semangat juang feminisme dan golongan liberal, kerana begitu kuat juga adat mengikat mereka dahulu. Saya ulang, kegagalan memahami ilmu secara benar!

Wanita itu duduknya di mana, tanggungjawabnya sebagai apa, fitrahnya seperti apa, jua hak2 yang harus diperoleh dimaktub secara adil dalam Islam. Ini yang harus digali, bukan perjuangan membuta tanpa ilmu, sekadar diasak semangat palsu. Wanita2 Pakistan yang bebas dari belenggu adat ini saat bebas dan hadir ke tempat baru, bersemangat memulakan kehidupan baru. Namun kebebasan mutlak warisan Barat dalam diam membunuh wanita ini hingga hidupnya bermula dengan seksa jiwa terikat penjara, matinya pula dihambat kebebasan tanpa batasan hingga tiada lagi kalbu berwarna cerah...

Disekeliling saya, sifat apati ini juga membunuh dalam diam. Budaya benar seiring agama diinjak atas nama kemajuan, rasa malu dikikis berfasa atas nama integrasi agama, keayuan wudhu' penghias wajah paling indah diganti kosmetik yang entahkan halal mahupun haram. Jadilah wanita malu kepada asal usulnya, malu menganyam budi di dalam rumah sebagai isteri jua ibu. Celaru! Saya hormat Ibu Kartini yang dipuja wanita Indonesia, saya faham benar kecintaannya kepada ilmu membuatkannya menyanggah budaya. Namun penyambung semangat juang Ibu Kartini ini ada yang pincang dalam mengerti semangat bebas sebenar.

Bak kata Asya, kalau ayat dia sedap, maksudnya baru lepas baca buku Faisal Tehrani. =)

Salam kembali ke Manipal...

Saturday, July 25, 2009

Selamat tinggal...

Saya mencari makna keadilan dengan sebenar-benar kefahaman. Bicara yang datang dari mereka yang punya kalbu terang bukan sekadar bicara kosong tanpa makna...

Masa berlalu... Hari bersilih... Jiwa diwarna pelangi jua guruh menggila... Harus sampai kapan baru selamanya cerah tanpa petir menyambar? Sungguh, kerehatan hanya ada di syurga...

Baru semalam rasanya kami bertemu. Di beranda tinggi, duduk termenung sendiri menanti hujung nyawa. Meski tanpa bicara, mata hati bisa mentafsir...

Aturan Tuhan siapa bisa mengerti. Wajah tua itu bercerita tanpa suara. Tentang segalanya... barangkali ada juga kisah kecewa anak tercinta berpaling dari menyembah Tuhan warisan yang membatu diberi makan sisa jua asap kemenyan. Atau tentang cucu kesayangannya di Malaysia yang jarang2 pulang apalagi bertanya khabar. Ahh, bahasa kita berbeda, maafkanlah... Atau mungkin jua derita maha hebat derhaka darah daging yang khianat menjaga amanah berzaman. Mungkinkah?

Manusia seperti apa punya kekuatan berimpian untuk tidak punya kemahuan seperti kata Ibn Ata'illah? Bacalah berulangkali pun, saya gagal mengerti bicara pengarang kitab Al Hikam ini. Ternoda benarkah kalbu?

Manusia itu seharusnya sedar keberhutangan hamba kepada Tuhannya. Jangan pernah menandingi kehendak Tuhan... Saat keliru datang bertalu2, pada siapa harus diaju soalan? Soalan yang dibalas dengan keikhlasan bukan senyum sinis lirik tajam memperlekeh pencarian kebenaran? Ahh, siapa saja mengerti. Titik! Saya tunggu nukilan taqdir melakar tinta...

Saya kehilangan nenek satu2nya malam ini. Jauh di Thailand, segala upacara pemujaan sedang berlangsung dengan hebatnya. Di sini, peperangan akal dengan suntikan bisa lebih hebat teruji. Episod lama berulang, bantuan dari langit, turunlah dengan segera...

Manusia selalu gagal memahami, namun masih jua menagih kefahaman manusia. Diamlah, sendiri lebih baik...

Noktah! Ada hikmah menanti...

Hanya seminggu pinta saya. Seminggu untuk pulang ke Thailand bertemu buat kali terakhirnya, membisik kalimah syahadah di telinganya, bersama ibu yang mendoakan tanpa henti. Namun manusia harus jangan merencana secara terlalu, kerana Allah sebaik2 perancang...

Dakwah Rasulullah hidup seluruh alam. Menyentuh hati manusia yang dikurnia hidayah, sedang mengalun dingin menyapa manusia tanpa hidayah. Betapa ramai 'ulama besar' celaru kuasa bicara kesat mengeji sesama sendiri. Ramai jua intelektual berkejar2 melakar idea hebat membina ummah namun tanpa sedar memperlekeh sesuka hati bagai manusia tanpa adab. Hati siapa ingin ditawan dengan perilaku sebegini?

Siapa saja bisa menilai ikhlas? Siapa pula sebenar2 pejuang berjuang tanpa 'manfaat'? Mudah sungguh menawan hati si buta yang melaung dan mengangguk saat disuruh. Barangkali sekadar belajar gibran, petes dan pisip, serta ilmu permukaan cukup menjadikan manusia politikus pujaan. Siapa peduli jauh di pelosok tertentu ada manusia dahagakan hidayah? Telingkah anda sungguh meloyakan!

Ya Allah...
Kurniakan daku cintaMu,
Cinta orang2 yang mencintaiMu,
Serta kecintaan kepada amalan2 yang membawaku kepada kecintaanMu...

Harus punya hati cerah tanpa selaput keliru, kefahaman benar datang dari ilmu benar, memadam ragu menyinar yakin... Amin...

Tawakkal....

p/s: Minta maaf, saya sedang emo, anda berhak mentafsir sekadar kefahaman anda...

Thursday, July 16, 2009

bahasa aqidah


Pucuk pauh delima batu

Anak sembilang di tapak tangan

Walau jauh beribu batu

Hilang di mata di hati jangan.

Kata seorang guru bahasa pada saya, ramai yang tersalah sangka mentafsir pengertian pantun ini. Anak Sembilang disangka menyengat tangan sehingga meninggalkan kesan yang mendalam pada manusia hingga sukar dilupakan. Saya juga asalnya menyangka pengertiannya semudah itu. Rupanya anak sembilang adalah nama sebentuk cincin yang bentuknya mirip pucuk pauh bertatah delima batu. Kaitannya dengan manusia yang berjauhan pula? Fikir-fikirkan…

Saya suka bermain bahasa, sesuka hati menukil bicara. Saat menulis, bayangan yang muncul adalah seperti saya sedang benar-benar bercakap tentang apa yang dimaksudkan. Namun, saat membaca tulisan Prof Madya Dr Burhanudin Ahmad dalam majalah AL-HIKMAH bertajuk KEHILANGANMAKNA ASAL: PENGAJIAN BAHASA MELAYU DI PERSIMPANGAN JALAN ZAMAN, tiba-tiba terasa takut untuk menulis. Takut menjadi manusia tidak sedar diri yang cetek ilmu namun sesuka hati meluah kata. Saatmembaca tulisan beliau, rasa tercerah dengan kepentingan makna.

“Bahasa adalah alat akal dan bergerak dari angin kosong memasuki diri dan keluar semula melalui ruang pernafasan sebagai bunyi yang mempunyai makna. Bahasa ialah proses akal. Jika akal berubah bahasa juga berubah”.

Tertarik pada kesedaran Pendita Zaaba bertahun dahulu apabila beliau mengatakan di dalam bahasa Melayu terdapat makna Aqidah dan makna ilmu. Barangkali pencemaran bahasa kini adalah dek pandangan hidup Melayu yang kian berubah hingga menghakis makna sebenar yang asalnya menuju Tuhan.

Saat manusia semudahnya mentafsir sesuatu perkara mengikut akal dan pandangan peribadi, ulasan-ulasan picisan timbul seolah-olah Tuhan tidak punya peranan mentadbir kehidupan. Barangkali di sini kelihatan kepincangan aqidah ummat. Bahana sekularisme yang melanda dunia Kristian meresap masuk dan mula berakar umbi dalam jiwa Melayu Islam. Tuhan hanya muncul dalam ibadat-ibadat wajib di masjid-masjid. Megah saat berbondong-bondong manusia memenuhi rumah Allah tika solat Jumaat.

Keliru merenung reality ummat. Saat menyelak ProlegomenaTo The Metaphysics Of Islam, tersentak jiwa apabila Prof Naquib membeza ‘worldview’ Islam dan Barat. Seolah-olah menegur saya yang selama ini mencari pembuktian ketuhanan bersandarkan ruang lingkup kemanusiaan. Perasaan yang sama mekar saat membaca Falsafah Ketuhanan nukilan Hamka yang sangat saya sanjungi.Barangkali persoalan-persoalan aqidah yang sebegini asas yang tak terdaya dihadam ummat Islam menyebabkan kehadiran Tuhan tidak disedari meski wujud-Nya lebih dekat dari urat leher manusia…

~Dr Ara~

Sunday, July 12, 2009

ayat pujuk dari asya...

ok tukar topik!
aku x reti nak berbulan ke berpermata ke..
sbb aku bukan reti mengarang bahasa puitis lagi syahdu.
eh..bukan x reti… cuma ak x tahan tergelak dgn ayat2 mcm ni.
maafkan aku. kelemahan aku.kamu, kamu, dan kamu yg rapat dgn aku mesti tahu perangai ak.
yang aku sayang sgt2,
sabarlah. aku tahu kau rindu ak.
aku pon rindu jugak.
kalo ko balik pon nnti,
ko tu sibuk jugak.
aku jamin.
kau tahu,
aku rindu nak makan nasik goreng ayam kt belakang stesen bas tu ngn ko.
skrg ni ak menyampah betul dgn org2 yang kedekut x nak kasik aku sup mangkuk besar. ala sup kosong je. ak byr la nnti kalo kene bayar xtra pon. kedekut!
aku rindu nak kene buli gosok baju ko yg bekalannye utk seminggu.
seminggu ko tau!
aku rindu nk lepak MPH mid valley dgn ko.
x de duit pon xpela… kite belek je buku tu.
aku teringin jugak nk makan lauk yg ko masak
walaupon x la berape sedap..x pela..ak nk makan jugak.
aku nak gak kasik ko hadiah,
dah 4 thn bday ko aku x kasik ape2…
aku rindu nk dgr ko bebel kat ak pasal pemikir2 agung dan pemikiran mereka sbg bedtime stories ak..
walaupon ak mengantuk dan terus tido.
pendek kata ak rindulah.
aku x retilah nk zahirkan rindu dan perasaan ak dgn lebih syahdu.
sbb baru ak perasan
ak ni perahsia jugak orgnye (classmates ak, m07c yg cakap!)
kadang2 ak rasa itu, dan ini, dan itu..
tp x tau cmner nak ungkapkan.
tp yg pasti ak rindulah kat engkau.
kau belajarlah elok2.
jgn rasa terbeban sgt
anggaplah setiap yg dilakukan demi mencapat cinta dan redha-Nya
aku yakin kau boleh
kau nyanyilah lagu FIKIRKAN BOLEH tu selalu
bolehlah tu nnti!
nnti bolehla ko rawat pemikiran2 dan hati2 manusia yang agak lalok
ataupon pesakit tetap ko kat beserah, kuantan tu.
ko doakanlah aku juga
yang hatinya masih x keruan smpai skrg
moga2 ALLAH permudahkan urusan ak
dan kau juga
aku sayang kau lah!
uhibbu ki fillah.

p/s: kamu tahu, satu-satunya manusia yg buat saya ketawa walaupun tgh menangis adalah kamu... dahsyat2.. kami berbeza, tetapi terlalu memahami...

Friday, July 3, 2009

SAYA SUDAH DEWASA...

Saya sudah dewasa...

Sejarah ditekuni, masih jua gagal bertemu hakikat terlindung... Telah jauh titian kehidupan dilalui, masih jua mahu memanjakan diri...

Sampai kapan baru mata terbuka, melihat dunia dengan mata hati tanpa hijab menghalang...

Terdampar di pinggiran asing tanpa keinginan dipenuhi, harus diri kenal hakikat sabar dalam diam yang selalu diungkap buat manusia sekeliling suatu ketika dahulu...

Hari ini sahaja, 2 post saya nukilkan, lantaran 'hujan' yang semakin lebat di sini...

Lihat gambar di bawah... Mampukah situasi saya ditafsir? Setiap satu objek di dalamnya membawa pengertian tersendiri...

Saya rindu menghadiri wacana ilmu seperti dahulu...
Saya rindu berbincang perkembangan ummat dalam realiti ekonomi gawat sedang politikus celaru...
Saya rindu bicara soal bahasa di Institut Bahasa sambil berukhuwwah bersama sahabat tersayang...
Saya rindu berpidato di MAYC merenung tiap bicara dan gerak langkah Dato Syed Ahmad...
Saya rindu melepak di Popular JJ Bukit Tinggi sendirian...
Saya rindu pada buku Sophie's World yang mama keluarkan dari bungkusan yang sepatutnya dihantar ke India gara2 makanan yang telalu berat...
Saya rindu mengikuti tamrin yang sarat pengisian rohani dan tautan ukhuwwah...
Saya rindu kucing gemuk saya...
Saya rindu menyiram pokok di halaman rumah...
Saya rindu bergaduh dengan Asya berkenaan gosip2 kami...
Saya rindu mama!!!!!

Kaitannya dengan kedewasaan?

Apakah saya masih anak kecil lantaran merindui kucing dan pokok bunga saya?

Biar kali ini saya berterus terang...

Saya bosan belajar tanpa pengisian yang telah sebati dalam jiwa. Saat saya menghubungi sahabat2 yang diharap mampu menambah ilmu, bicara hanya berkisar perkara pinggiran. Bukankah saya sudah dewasa? Mengapa tidak dilayan saya seperti seorang dewasa yang punya keprihatinan pada ummat?

Saya bosan bicara kepada manusia yang tidak mahu mengerti kalau ilmu yang diturunkan Allah itu tidak hadir dalam pembahagian tanpa keadilan. Bukankah setiapnya saling menyangkut, lantas apa punca hak saya diambil?

Saya bosan dilayan anak kecil yang harus melangkah apabila disuruh, makan apabila disuap, tidur apabila didodoi...

Saya lebih bosan apabila manusia yang seharusnya membimbing lantaran ilmu yang tinggi lebih tidak dewasa berbanding saya!

Saya bosan melayan kerenah manusia yang suka mencari titik selisih dari titik temu...

Saya bosan pada isu picisan yang diulang tayang sedang jawapan dan hakikat telah jelas... Saya ini teddy bear kah yang dipeluk saat sejuk dicampak bila koyak kemudian diganti baru? Saya sudah dewasa!

Sabar... Sabar...

Ya Allah, sesungguhnya ketentuan yang kuhadapi dalam kebosanan ini adalah yang terbaik buatku... Redhakan jiwa ini...

Ini nukilan luar biasa..

Saya rindu saat pelangi muncul... Kerana munculnya selepas hujan lebat, jua saat guruh telah berlalu. Meski bayangan petir masih bersisa, saya syukur nikmat sementara yang datang dan pergi tanpa pernah ditentu manusia...

Sesekali hati bertemu tenang, apakah ada keindahan setanding damai menyapa kalbu. Bagai bermadu asmara di dunia abadi, memabukkan jiwa pencinta sejati...

Mencari cinta dalam kepalsuan, manusia hanya ketemu kabus dalam keraguan. Mencari keabadian dalam kebenaran, jiwa bahagia dalam kehilangan...

Apakah kita punya impian yang deminya segala suatu yang dimiliki rela dikorbankan? Barangkali punca mengapa wanita singkat akal merela maruah jadi taruhan? Barangkali juga sebab pria arif penuh ilmu mabuk asmara diuji cinta gadis luar biasa? Tanya pada diri...

Kalau sahaja galang ganti menggapai hakikat kebenaran, bersatu dengan Tuhan dalam keyakinan hakiki bisa dibayar dengan kehidupan penuh kepalsuan yang nisbi sifatnya, relakah kita berkorban?

Manusia menggali ilmu anugerah Tuhan..
Manusia menekuni sejarah...
Manusia mendalami falsafah...
Manusia mengaku pejuang kebenaran...

Malang sekali penghujung jalan harta menuju keabadian tinggal harta dunia buat mendabik dada... Ilmu jadi kebanggaan, pengalaman jadi senjata mematikan lawan. Wahai hati, mengapa semakin sirna?

Asal niat seputih kapas... Bagaimana bisa penghujung bernoda?
Saat bicara dilaung tanpa beradab, hilang budi hilang malu.
Diam saja lebih baik, lantaran bicara hanya memusnahkan...

Langit berubah warna... Di sini mendung, di sana terik.
Tanah menyatu menjarak, meski dekat terasa jauh, dalam jauh terasa dekat...

Saat manusia melihat dunia menerusi pandangan kemanusiaan tanpa ketuhanan, jadilah manusia makhluk yang hidup kemudian mati tanpa makna...
Namun memilih menjadi luar biasa...?

Setiap huruf membentuk patah bicara, sungguh zalim menekuni tanpa mengerti...

Sunday, June 28, 2009

kembali...




Siapa pandai mentafsir?

Terlalu banyak ingin dikongsikan... Tetapi tanggungjawab melebihi masa yang ada... Anda boleh tafsirkan dunia yang sedang saya lalui menerusi gambar di atas?

Thursday, June 18, 2009

Tag pertama...

Ini tag pertama yang sy buat dalam berlambak2 yang org bagi. Sebab kalau tak buat, bdk farah ni mesti merajuk....

Tiada sebarang unsur intelek di dalamnya. Harap maklum.

Apa perasaan anda sekarang?
~Cuba untuk tidak berperasaan~

Saya nak makan..?
~Nasi ambeng dan tempe!!!~

Saya tak suka ..?
~Ditipu atau rasa tertipu!~

Impian saya?
~Hidup sederhana dan "bahagia"~

Haiwan yg saya tak suka?
~ULAR!!!~

Saya harapkan?
~Bulan August ini menyelesaikan segala2nya. Cepatlah...~

Jika boleh putarkan masa?
~Saya mahu masa berharga bersama arwah abah...~

Saya pada 10 tahun akan datang?
~Haha... Rahsia...~

Handphone saya adalah sebuah?
~Jam loceng yang selalu jatuh katil~

Saya pernah bercinta sebanyak?
~Takda org nak. So, tak pernah bercinta~

Saya suka pada?
~Buku... Buku... Buku... Buku... Saya lebih suka buku Philo dari teddy bear gemuk saya!~

Kawan² saya?
~Kamu2 sekalian...~

Pernah dikhianati?
~pernah~

Apa yg anda hendak lakukan terhadap org yg mengkhianati anda?
~Maafkan kot... tapi takkan lupa... ~

Senaraikan 6 org utk di tag:
~takda sapa~

Minta maaf ye... tiada pengisian bermanfaat... sekali sekala...

Tuesday, June 16, 2009

Keadilan...

Bismillahirrahmanirrahim...

Bagi pelajar2 SBP, impian belajar di luar negara barangkali menjadi satu kemestian. Saat Syawal hampir menjelma, pasti ucapan Salam Perantau di Berita HArian mahupun Utusan jadi perhatian. Muncul angan2 kalaulah satu hari nanti dikurnia peluang serupa merasa kehidupan di tempat sejuk dengan budaya baru yang tampak indah dan mencabar.

Apa perasaan anda kalau surat jawapan dari JPA mahupun MARA mengatakan anda dihantar ke India, bukan Ireland, bukan UK bukan juga Rusia? Kecewa? Terlepas peluang pakai baju bulu-bulu ala-ala Mat Saleh?

Buat yang kecewa, mari kita renungkan hikmah yang dikurnia Allah tanpa sedar...

Tadi sewaktu pulang dari makan, terlihat sepasang kanak2 lelaki dan perempuan dengan berkaki ayam berlutut di atas batu mengutip tanah-tanah kotor dan batuan kecil. Di situ tergambar kegembiraan yang tak mampu difahami manusia seperti saya. Jalan-jalan lagi terlihat pula pakcik tua yang menyingsing kainnya dengan barang2 berat di atas kepala. Seterusnya saat hampir tiba di asrama, kelihatan juga beberapa pasang kekasih memadu asmara bagai dunia dicipta hanya untuk mereka. Kemudian teringat pula bicara saya dan sahabat2 tentang cerita Hindusta yang makin hilang citra budaya India, hingga yang terpampar hanyalah kecelaruan identiti Barat yang menanti waktu kematian peradaban...

The way of life known as Western Civilization is on a death path.
(John Mohawk)

Saya kira pendapat pakar sejarah Amerika ini harus diteliti dengan baik. Membaca karya beliau yang berjudul A Basic Call to Conciousness: Indegenous People's Address to the Western World, saya beroleh sedar kalau kecelaruan tanggapan masyarakat yang memandang Barat sebagai kemegahan sebuah peradaban yang unggul samada dalam sedar mahupun tidak adalah kesilapan besar. Sebagaimana kata Prof Al Attas, "Belum pernah ada peradaban manusia yang membahayakan umat manusia, binatang, tumbuhan dan bahan mineral seperti peradaban Barat." Lihat saja bagaimana sikap Amerika terhadap Protokol Kyoto!

Apa kaitannya? Bayangkan nasib anak kecil dan pakcik tua tadi. Kaitkan dengan kapitalisme, kaitkan dengan IMF, WTO dan World Bank. Tidakkah kita nampak hegemoni ekonomi ini di sekeliling kita? Kaitkan pula sepasang remaja yang berkasih tanpa segan di khalayak ramai. Tidakkah mampu kita kaitkan dengan globalisasi penyebar hedonisme, pemusnah budaya hingga celaru segala nilai?

Bagaimana pula dengan isu SIS di Malaysia? Haih.. Pakcik2 pejuang politik sekalian... Cukupkah dengan petisyen dan usul mengharamkan SIS bagi menyekat penyebaran ideologi sekularisme dan liberalisme agama? Siapa yang lebih ke depan memperjuang hak wanita? Kitakah atau SIS? Ataukah kita yang lebih banyak berslogan dan berpolitik tapi kayu bila berdebat, dan hanya tahu main pintu belakang?

Pandanglah sekeliling anda dengan mata hati... Malam ni malam parotid gland... Sekian dulu...

Sila berakal, sila berfikir...

Sunday, June 14, 2009

pelangi...

Bismillahirrahmaanirrahim...

Hari ni 'hujan' mulai berhenti... Meski di bumi Manipal tampak hujan sudah mulai menggila, saya redha apa jua natijah ketetapan yang telah diambil...

Pernah mengalami ketidakstabilan emosi? Apa yang selalu dilakukan?

Seharian terlantar di atas katil, saya mencari semangat dan mengubat hati atas ketentuan taqdir dengan membaca artikel berkenaan politik sekular dan politik liberal selepas puas meneliti pesanan Ibn Ataillah. Pelikkah? Biarlah... Sekurang-kurangnya hati sedikit tenang begini...

Esok hari istimewa buat seseorang yang sangat istimewa...

Selamat Hari Lahir...

Hari ini saya nyalakan lingkaran api pasifik...

Hari ini saya menerima nasihat kanda sufi untuk sabar dan fokus...

Hari ini hujan berhenti sedang pelangi mulai muncul...

Terima kasih insan2 tertentu yang kekal di sisi saat2 hujan sedang turun dengan lebatnya...

Terima kasih kepada 'kamu' yang sudi menerima ketetapan dengan hati terbuka...

Terima kasih kerana bersabar...

Syukur ya Allah atas ilham dan ketenangan...

Esok bakal dilakar indah... Moga indah selalu...

Cukuplah blog ini sarat dengan kata2 tersirat dan puisi akhir2 ini... Post seterusnya saya bakal kembali kepada mood asal LONG WALK TO WISDOM dengan persoalan intelek dan keilmuan...

Wednesday, June 10, 2009

pulau beku...

Hujan lebat sekali di dalam...
petir sabung menyabung dari arah tak terduga
sungguh, tiada pernah terduga cuaca bisa seburuk ini
awan gelap kian menebal
sesekali sinar mentari menjengah di celah kelam
namun masih tewas juga pada amuk guruh menggila

Harus berapa lama baru pelangi muncul?
pulau yang dahulunya punya jambatan emas menghubung dua dunia
kini semakin terpencil dilindung kabus tebal
sejuk, beku, sendiri...

Saujana mata memandang
indah sungguh pulau yang satu ini
barangkali ais berkilau disinar mentari pemalu
semakin didekat
semakin sejuk jasad menanggung
janganlah lama2 di dalam
pergi saja kalau tidak punya ketahanan...

Pulau ini pernah sehangat semarak cinta dulu
namun siapa bisa menduga ombak tinggi memukul memusnah
hingga yang tinggal hanya sisa2 sejarah
menanti waktu mengubah ceritera...

Langit...
bersinarlah kembali...

Pulau...
membekulah sampai langit bersinar...

Sunday, June 7, 2009

august...

Sebulan setengah sahaja lagi... Tak sabar menanti, letih menunggu... Biar saja masa berlalu sendiri...

Apa yang bakal dilakukan di Malaysia...

Mengubat segala 'kesakitan'
Berdua dengan 'dia' ke Genting... Atau ke Pangkor barangkali?
Program2 tertentu berdasarkan jemputan terawal...
Menelusuri warisan sejarah Melayu di istana lama bersama kakanda...
Makan sepuas2nya...
Membetulkan segala kepincangan 'sejarah' yang telah berlaku?
Lepas rindu pada mama!!!!

Mungkin ini kepulangan akhir, mungkin juga tidak pulang lg selepas 2 thn seterusnya... Siapa tahu.. Saya rancang begitu.. Tapi kadang2, lain dirancang, lain menjadi... Biar saja tanpa perancangan, tidaklah kecewa terlalu...

Friday, June 5, 2009

penawar...

Selama jantung masih punya upaya berdegup, Pencinta Agung pasti tetap merencana ujian ke atas hambanya. Menentu darjat insan di sisi Tuhan, apakah setara pencinta agung sepanjang zaman atau pencurang bermanis rupa.

Saat jiwa hilang upaya diuji seketika, ramai sekali merintih semahunya. Umpama Jabal Uhud menimpa bahu, bernafas terasa sesak, nadi berdenyut tanpa aturan sedang akal hilang fungsi. Manusia seperti apakah yang tangisannya atas sejadah cinta saban waktu semata2 meratapi dugaan dunia sedang tanpa sedar di situlah kayu ukur iman manusia pada pandangan Tuhan...

Beberapa perhentian telah dilewati, betapa manusia yang punya akal harus sedar kemanisan tiada pernah terasa nikmat tanpa kepahitan sebelumnya...

Saya lampirkan bicara Hamka dalam Tasawuf Moden mengikut rentak kefahaman saya di sini... Biar jadi penenang jiwa...

Ubat Dukacita...
Betapa dukacita itu timbul lantaran sandaran yang terlalu ke atas sesuatu jua. Umpamanya kehilangan orang yang dicintai, keterlaluan dalam mementingkan jasmani, tiada keterbatas an syahwat sehingga timbul kepercayaan bahawa apa jua yang dicintai itu tidak harus berpisah daripadanya.

Dukacita memikirkan yang telah berlalu...

Kalau sahaja manusia itu keterlaluan memikirkan keberuntungan, kekayaan, kemuliaan dan kebahagiaan bersama manusia tertentu yang telah berlalu, sungguh dukanya itu tiada bererti sama sekali. Merataplah semahunya, tiada pernah masa sesaat dikejar kembali. Terus-terusan meratap akan memusnah manusia itu dari dalam hingga hilanglah sifat manusia itu yang fitrahnya indah dan membahagiakan. Kedukaan seumpama ini timbul lantaran tiada keyakinan bahawa alam ini asalnya tiada, kemudian diadakan dan akhirnya akan lenyap kembali. Segala yang dicintai semuanya akan datang dan pergi dari kita. Kalau bukan kita yang pergi terlebih dahulu, maka sudah tentu mereka yang terlebih dahulu sirna.

Mengubat dukacita ini tidak lain hanyalah dengan menjaga yang tinggal sekarang... Kerana segalanya, samada yang telah hilang atau yang sedang ada serta yang bakal mendatang adalah nikmat. Jangan sampai meratap yang telah tiada, yang digenggaman itu kehilangan pula hingga hujungnya nanti yang ada itu setelah hilang diratapi pula...

Iskandar Zulkarnain sewaktu mangkat setelah menakluk begitu banyaknya jajahan bicara...

"Apabila aku telah mangkat, letakkan mayatku dalam peti, lalukan ke negeri Persia dan Mesir dan ke segenap jajahan yang telah aku takluki. Dari dalam peti hendaklah hulurkan kedua-dua tanganku yang kosong supaya orang tahu bahawa raja Iskandar yang maha kuasa walau bagaimana kuasa sekalipun, namun dia kembali ke akhirat dengan tangan kosong jua. Dan jika ibu dan ahli rumahku hendak meratap mayatku, janganlah dilarang mereka meratap cuma suruh sahaja 2 orang yang akan jadi temannya, iaitu orang yang tidak akan mati selama-lamanya, dan orang yang tidak pernah keluarganya ditimpa kematian. Kalau yag berdua itu telah ada, bolehlah mereka meratapi kematianku".

Bicara Prof Al Attas,
Ma'na kebahagiaan dalam Islam harus dinilai dari Islamic Worldview yang benar. Saat dunia Barat mencari2 ma'na bahagia menerusi material dan bersifat nisbi, Islam itu tidak pernah bermusim bahagianya. Tidaklah hilang bahagia itu saat kehilangan sesuatu yang maujud sifatnya, tidak pula kebahagiaan itu miliknya saat dia beroleh sesuatu mengikut kehendaknya. Bahagia itu lahir dari jiwa yang bertemu Al Haqq, yang punya keyakinan dan kefahaman benar akan pengertian hidup, teguh aqidahnya hingga atas nama aqidah inilah bibir bisa menyebut 'ahad' saat belati menyentuh urat leher. Fahamkah? Bahagia dalam Islam itu tidak nisbi sifatnya, saat nilai bahagia diletakkan atas kebendaan dan kemanusiaan, sungguh manusia hilang sifat kehambaan...

Ibn 'Ataillah pula bicara,
Janganlah keinginan manusia itu cuba menandingi kehendak Tuhannya. Terlalu sibuk mengurusi hal diri menerusi perancangan-perancangan tertentu, adakala manusia itu lupa kalau kitab taqdir itu tiada pernah menjadi miliknya. Selama manusia itu tidak punya sedar kalau hamba itu harus beradab sebagaimana lagak seorang hamba, selama itu kepentingan diri sentiasa jadi tunjang perjuangan tanpa erti. Betapa ramai tokoh agung sepanjang zaman beroleh cinta dalam duka dunia. Sungguh... Sabar dalam diam itu indah bagi jiwa yang mengerti...

Kata2 di atas adalah nukilan saya mengikut kefahaman cetek atas idea2 tokoh di atas. Setiap perkataan di atas saya maksudkan dengan sebenar2 pengertian. Sangatlah tidak adil membaca secara permukaan. Sebarang kesalahan dalam kefahaman saya silalah dibetulkan...

Wassalam...



Tuesday, June 2, 2009

...

When i saw destiny cascading
with no uncertainty or hesitation,
I entrusted all rights to my creator
and threw myself into the current...

Saturday, May 30, 2009

senyum seharian...


Hari ini tampaknya lancar berbanding biasa. Meski yang terbuku kekal mendiam, biar yang terzahir menebar rasa dalam penampilan berbeda...

Hampir 3 minggu menanti, hari ini tiba jua ke Manipal...



sweet kan???




Carilah kekasih seperti apapun, saya hanya punya seorang ibu yang telah berkorban segalanya demi seorang anak yang selalu lupa diri...

Terima kasih mama...

Terima kasih...

Owh, buku2 juga telah sampai.. Ada beberapa buku yang tertinggal di rumah. Terlupa dimasukkan barangkali. Tak mengapa, 2 bulan lagi saya pulang ke Malaysia..=)



Saya puas hati berjumpa dengan buku ini. Buku yang menyelamatkan saya dengan sesungguhnya meski tidak sedalam pemikiran tokoh2 tertentu, tapi sangat bermakna kerana hadirnya saat saya tak punya sesiapa membantu. Buku ini hampir lunyai kerana diusung saban waktu satu ketika dahulu, jadi teman tidur, jadi pemujuk akal jua hati. Saya sungguh2 jatuh cinta pada HAMKA... Tanpa pernah menafikan tokoh2 lain, karya2 HAMKA adalah kegemaran saya.

Bersama2 Falsafah Ketuhanan, mama hantar juga karya2 lain HAMKA seperti Ayahku, Islam:Ideologi dan Keadilan Sosial, serta Tasawuf Moden. Saya senyum sepanjang malam.

Juga buku2 lain, tak perlulah dinyatakan, tak larat pula menaip.

Malam ini malam kerehatan, kerana terapi jasad dan jiwa yang datang dari jauh utusan cinta seorang ibu buat lelah menghilang.

Hanya belek2 tulisan Adian Husaini di web INSIST, saya seperti mahu mengulas sesuatu...

Liberalisasi yang membarah di Indonesia sungguh membunuh kekuatan aqidah. Saya selalu mencinta kebenaran, malah kerana itu saban waktu mencari kebenaran. Apa kebenaran yang dicari? Saya tak berani hurai panjang, bimbang disalah sangka. Cukuplah karya2 Prof Al Attas yang tak terhadam saya sedikit sebanyak mengiakan jalan yang saya lalui bukanlah satu kesalahan.

Sungguh mencari titik persamaan adalah satu kemuliaan dalam menghindar telingkah. Namun mencari titik temu hingga menolak kebenaran adalah satu dosa maha berat! Setujukah? Dengan mengakui setiap agama harus dihormati hingga mengiyakan keyakinan dalam kepelbagaian agama, hakikatnya manusia itu mengakui tidak pernah ada kebenaran dalam dunia. Owh, saya tahu ramai tidak faham maka menganggap saya celoteh kosong. Bagi yang terlalu faham pula akan menanggap saya bicara secara permukaan. Saya tidak punya masa menulis panjang. Lain kali kita bicara sedikit tentang sekularisme. Lain kali... Malam ini malam merenung buah hati yang jauh ditinggalkan kini baru ketemu. Malam ini jua waktu berehat dalam saranan Rasulullah kepada Bilal...

Selamat malam...

Thursday, May 28, 2009

rupa...

Saya tertarik pada post kanda sufi saya... Maka saya ingin buat penerusan ceritera. Boleh kanda? =)

Bicara kanda Sufi, ramai sekali obses pada rupa luaran. Saya? Kamu? Kanda Sufi? hehe. Bagaimana kita?

Ramai sekali melihat dengan mata semata. Kata seorang sahabat, yang baik pada diri seseorang itu selalu datang selepas dinilai cantiknya. Begitukah kita menilai manusia?

Siapa saja tidak punya rasa ingin dipuja kerana indahnya rupa. Allah juga mencinta kecantikan... Namun cantik semata sungguh bukan nilaian sebenar keindahan...

Saat pencinta mula mencinta, sungguh kekaguman pada wajah bisa melahirkan kemabukan luar biasa. Bisa saja pencinta merindu siang malam, bagai hidup semata menanti detik bersatu dengan kecintaan... Teringat nukilan Ibn Qayyim tentang Cinta dan Rindu Menurut Al Quran dan Sunnah kalau cinta itu berputik dari sesuatu. Apabila hilang punca cintanya, maka hilanglah rasa cinta. Nampak kaitannya?

Mudah saja memikat hati manusia. Dengan nukilan indah bicara sakti, hati bisa tunduk memabuk jiwa... Haish... Pujangga pula malam2 buta ni...

Selamanya, selagi baldu palsu jadi nilaian, rugilah manusia mencinta kepalsuan. Apakah nilaian wajah mahupun kulit setanding sinar kalbu yang memancar kesucian?

Apakah saat manusia hilang upaya, cela wajahnya, cacat pancainderanya, sirna sinaran matanya, kelu bicara lidahnya, tempang langkahnya, maka hilang jua rasa cintanya? Palsu sungguh rasa cinta...

Jiwang... Hahaha...

Kamu mengerti? Kalau punca cinta itu harus sejati. Maka kerana itu Ibn Qayyim bicara, sebab cinta itu harus datang dari kesucian niat, berpunca dari kecintaan Agung...

Renung2 lama, rupanya Ibn Qayyim setuju dengan Law of Attraction. Owh, buku2... Bilakah kamu mahu sampai?

Katanya, manusia itu dipertemu atas dasar keserasian niatnya. Meski terpisah dua benua, keserasian jua bakal menyatukan insan. Maka andai 2 pencinta mencari kecintaan Agung, maka dipertemukanlah keduanya dalam taqdir Allah yang tiada pernah terduga insan... Bukankah jelas janji Allah? Ada hadith juga memperkukuh hujah Law of Attraction ini , nanti saya cari semula. Tunggu buku2 sampai...

Mawar mekar antara mawar. Mata menilai, ada indah ada cela. Semudah mata menilai mawar, apakah mawar senilai pandangan 'buta' tanpa hakikat? Biar saja mata 'buta' terus membuta. Masih ada nilai tambah pada tajam duri memagar kelopak merah. Masih jua punya nilai pada cengkam akar memaut bumi. Harumnya jua biar terhidu menyentuh kalbu. Biar nilai dinilai jiwa terlerai hijab... Siapa peduli? Saya tak peduli. Anda peduli?

p/s: asya razak, kamu di btn baik2... sy tgu kamu balik untuk bergosip... =)

Thursday, May 21, 2009

mengemis...

Masa berlalu mengiring payah. Sesekali kaki tersadung, syukurlah semahunya masih punya waktu untuk bangkit, jua untuk punya sedar. Lumrah manusia menukil lakaran2 kehidupan di atas kertas berpandu waktu2 tertentu, tanda punya rencana bagaimana hidup harus jadi sempurna. Namun tanpa sedar, bisa saja rencana sehari2 itu menolak keberadaan Tuhan dalam hidup andai tanpa sedar manusia hanya mengait tautan diri dan dunia, hingga lupa tiada pernah sedetik makhluk bernama hamba ini punya hak atas dirinya...

Terdampar di perantauan manusia belajar mengenal apakah kebenaran, apakah kekhilafan. Sesaat berada dalam nikmat, selalu sekali manusia lupa kalau sesungguhnya segala apa yang dicintai itu hanya ujian yang mendatang dalam senang jua dalam payah. Selama mana manusia menilai kulit dan nombor2, maka selama itu manusia tertipu dengan citra palsu tanpa Al Haqq...

Post ini post panjang...

Sila sabar jika ingin faham...

Beberapa hari berlalu, saya masih teringat kisah yang satu ini.
Kebetulan hari itu saya ke Snack Shack (restoran) bersama sahabat2. Pulang dari sana, seperti selalu kami dikejar kanak2 yang meminta sedekah. Dan harus difahami kondisi di sini, betapa kepayahan hidup bisa saja mendesak manusia untuk mencari sumber penerusan survival dalam keterpaksaan pelbagai. Maka selalu mereka ini menarik2 baju, mencubit kita dalam ketidaksengajaan. Kerana keterpaksaan saya tekankan sekali lagi.

Hari itu juga, entah apa yang buat saya jadi hilang sifat manusia. Dalam bergegas mengelak dikejar anak2 ini, seorang adik kecil mampir kepada saya, menarik baju saya, juga tangannya memegang bungkusan makanan yang saya belikan buat kawan di asrama. Semakin lama, semakin kuat tarikannya, dan saat itu tanpa sedar senang saja saya menepis tangan adik ini. Saya menepis tangannya bagaikan budak perempuan ini bukanlah golongan yang harus dibantu sedang saya semudahnya bicara soal jihad dan perjuangan. Bagaikan segala tayangan duka ini hanyalah kisah picisan yang tidak setanding dengan buku2 tasawuf, haraki, fiqh, falsafah dan sebagainya yang saya teliti saban waktu terluang. MALU!!!

Rupanya di sini kisah2 duka bukanlah satu fokus dakwah yang harus dipandang besar. Bagaikan taboo untuk membantu mereka2 yang malang ini kerana bimbang dikejar, bimbang ditarik, bimbang diasak dengan peminta2 ini.

Selepas saja saya menepis tangan budak perempuan itu, toleh kembali ke belakang saya kecewa dengan diri. Nyaris saja tak terlanggar lori. Kecewa, lapar, sedih, menyesali nasib jua barangkali perasaan budak itu. Betapa saya mengerti sakitnya hati diperlaku begitu.

Part of the fineness of one's submission (in Islam) is one's abandoning that which is of no concern to him. (Hadith narrated by Malik and Ahmad from 'Ali b al-husayn while Ibn Majah narrates it from Abi hurayrah)

Bukan mudah menjadi muslim yang benar2 berserah. Membuang segala rasa cinta yang terlalu kepada dunia memang mudah dimadahkan, namun saat berdepan realiti siapa saja yang tinggal menjadi manusia yang sedar diri?

Bayangkan betapa manusia seenaknya menjamah makanan enak di restoran2 mahal, namun sungguh payah menghulur beberapa rupee demi Tuhan yang hakikatnya pemilik segala. Astaghfirullah... Sudah jadi immune kah saya pada rasa simpati?

Seteguh apakah alasan bimbang dikejar pengemis yang meminta sedekah dengan tuntutan di padang Mahsyar nanti saat ditanya dan didesak apakah perlakuan saya saat ada manusia merana meminta sesuap nasi sedang saya seenaknya menjamah penuh mewah? Apakah keberkesanan sentuhan tarbiyyah dan usrah andai keselesaan dan ukhuwah ini hanya mekar dalam biah solehah, namun saat turun kepada realiti umat yang pincang segala, daie jadi kaku dan layu bagai tidak pernah terdidik erti Islam, Iman dan Ihsan? Siapa saya? Siapa kamu? Siapa kita? Kitakah makhluk yang mengaku Muslim yang berserah segalanya kepada Tuhan? Maka kitakah yang tidak tahu malu mencintai harta dunia, kedekut pada makhluk Tuhan dan kemudiannya mengaku sebagai Muslim? Malu!!!

Selak2 buku The Argumentative Indian tulisan Amartya Sen tentang sejarah, budaya dan identiti India, saya merasakan kedekatan dengan mereka yang tertindas... Mari kita beralih dari sesalan kepada pencerahan akal dan jiwa...

"For I dipt into the future, far as human eyes could see, I saw the vision of the world, and all the wonder that would be."

Kalau saja semua warganegara India ini diberi kesedaran akan apakah yang bisa berlaku mengikut phrase all the wonder that would be....

Sewaktu Jawaharlal Nehru menyampaikan ucapannya pada 1947, beliau bukan sahaja mengimpikan India yang bebas dari cengakaman British, Nehru juga punya impian meleraikan jurang kelas dan ketidakadilan ekonomi, politik dan sosial yang melanda masyarakat India. Namun impiannya dikatakan terlalu 'ambitious'.

Di India, ketidakadilan bukan sekadar mencakup dimensi kelas, namun lebih dari itu melibatkan pengaruh jantina, kasta, agama, komuniti dan sebagainya.Beberapa dekad telah berlalu, namun progres mendekatkan jurang beza ini berjalan terlalu lambat. Saya kira, barangkali kerana pejuang yang punya semangat mendekatkan jurang kelas ini tidak bersedia mengakui harus jua dimusnahkan benteng2 ketidakadilan yang lain seperti penindasan ke atas kaum wanita dan kasta. Berat? Sabar...

Sesekali pergilah Manipal Bookstore atau Manipal Bookland dan cari buku ilmiah mencerah pandangan alam. Baru terbuka minda kita tentang realiti masyarakat sekeliling.

Bayangkan nasib seorang wanita yang lahir dalam kasta rendah, miskin pula kehidupannya. Ketidakadilan sosial ini hakikatnya tidak terlerai kerana rasa apati yang meninggi pada golongan atasan. Malah andai ada sesetengah golongan yang kononnya berjuang membela, bisa saja ramuan yang salah menambah luas jurang kelas ini. Owh, belum kira lagi golongan yang suka menangguk di air keruh...

Polisi makanan dan kelaparan...

India hakikatnya mengalami masalah kekurangan makanan yang lebih teruk berbanding sub-Saharan Africa. Hampir separuh kanak2 India mengalami tumbesaran tanpa makanan berkhasiat dan mencukupi, bayi lahir kurang berat dan lebih dari separuh wanita India mengalami anemia. Fenomena ini bukan sekadar buruk pada keadaan, namun sifat ketidakpedulian masyarakat menjadi racun yang membarah kondisi.

Apa impian Nehru tentang kebebasan? Bebas dari cengkaman British?

Senyum seketika... Segala impiannya masih jauh tak tergapai. India memang sudah merdeka daripada jajahan British secara fizikal, namun hegemoni ini menjajah generasi mudanya menerusi globalisasi hingga hilang budaya berzaman, yang tinggal hanya kesan sentralisasi yang membawa anasir2 baik mahupun buruk dari Barat lalu ditimbunkan di sini menjadi budaya yang celaru.

Saya mencari punca celaru akhlak, maka barangkali jiwa kurang sinar dengan ta'dib dan tarbiyyah. Harus disinar dengan cahaya taqwa dan kefahaman benar tentang pandangan hidup Islam. Jua, untuk mengerti sunnatullah yang diaturkan Allah sebagai i'tibar, harus dikaji sejarah manusia, tentang bagaimana berlaku sesuatu serta apa akibatnya. Berada di India, rugilah budaya mereka dipandang sepi sedang Allah mencipta pelbagai kaum dan budaya agar manusia saling mengenal dan berukhuwwah.

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya" (50:16)

Wallahua'lam...



Sunday, May 17, 2009

tiada tajuk...

Bismillahirrahmaanirrahim...

Saya capik hari ini. Letih terlalu dengan maklumat tanpa makna. Betapa saya mengerti sedalamnya kalau ilmu perubatan ini juga datangnya dari Allah, maka harus jua sampai kepada Empunya ilmu. Namun sistem perubatan yang dibina dari Barat ini sama sekali menghilangkan unsur kerohanian di dalamnya, hingga untuk menzahirkan unsur ketuhanan dalam ilmu perubatan ini harus saya cari dari sumber2 tertentu yang terkadang tersekat dek kekangan masa melampau.

Capik? Barangkali tidak secapik masyarakat Malaysia yang mual melayan kerenah politikus berhelah. Sejujurnya saya yang buta politik ini gagal mengerti sistem apakah yang sebenarnya diguna pakai dalam realiti politik di Malaysia, Siyasah Hayawaniyyah? Siyasah 'Aqliyyah? Atau Siyasah Syari'yyah? Biarlah... Menggelar dan digelar, bibit2 selisih kaum, dan kekasaran pelbagai buat pemerhati luar jadi muak. Biar bicara seiring langkah. Kalau bukan upaya, turun saja dari takhta!

Emosikah? Barangkali gara2 terperap dengan buku menggunung. Sedih juga mengenang paper practical Physiology yang lunyai saja barangkali. Biarlah... Ada kifarah di situ saat saya merenung... Biar, Allah masih sayang akan diri...

Kenapa bicara tentang dualisme ilmu dan politik di atas?

Bayangkan, di sini segalanya hanya belajar. Belajar mengenal maklumat, di mana erti ilmu. Saya gagal mewujudkan perkaitan sempurna setiap isi pembelajaran di sini dengan sistem ilmu sebenar Islam yang mana Fardhu Kifayah harus akhirnya bersatu dengan Fardhu Ain.

Sistem yang mengajar bagaimana menjadi doktor yang punya kepakaran, punya upaya mengingat sempurna, tidak semestinya melahirkan doktor yang kenal Tuhan. Kenapa? Kerana sistem ini asal usulnya terzahir dari manusia yang tidak percaya Tuhan. Kaji sendiri sejarah Hippocrates...

Penentu taraf dan standard kemajuan diletak pada permukaan seperti Indeks Pembangunan Insan PBB yang melihat pada faktor jangka hayat, pencapaian pendidikan dan Kadar Hasil Kasar Negara. Tidak pula diambil kira negara2 maju ini punya rakyat tersisih di tepi jalan yang tinggi, kadar pembunuhan, pelacuran, kadar bunuh diri... Owh, tentera Israel juga semakin ramai bunuh diri gara2 tekanan terlalu... Berjuang tanpa Tuhan... Harus hati kosong, jiwa kacau...
Saya rindu ikut serta dalam kajian kitab2 lama Melayu bersama seseorang di Malaysia. Terlalu jauh tak tergapai...

Serabut sungguh post kali ini...

Bayangkan! Sekularisme ini semakin tenat! Jangan sampai yang tinggal di hujung hanya perca yang tak termampu disatukan...

Kata Crabb, ahli semantik Inggeris,

Depravity, depravation and corruption all of them are applied to objects which are contrary to the order of God. Depraved state of morals are more open and public, in defiance of all decorum such as barbarism, but a corrupt state of society is when vices secretly insinuated themselves into all principles and habits of men, and concealed its deformity under the fair semblance of virtue and honour such as during the Roman empire.


Maka, apabila amalan yang tidak baik dipopularkan, bagaimana mahu dizahirkan citra sejati muslim. Kata seseorang, yang susah baginya bukanlah menjadi pemimpin atau sebagainya, namun menjadi muslim yang berserah sepenuhnya kepada Allah. Dalam susah jua dalam senang...

Usaha pembinaan ini harus bermula dari individu muslim, namun binaan di atas tidak harus juga dilupakan. Biar berperingkat dengan sentuhan hikmah mengikut panduan Al Quran dan Sunnah. Menjangkau usia 20 tahun, harus sedar kalau permainan emosi jangan sampai melengah juang. Biar sebati segalanya dengan agama. Saya tertanya2 mungkinkah ada pria dari langit akan bisa melaksana konsep globalisasi melebar luas sinar hakiki ke melata buana, ataukah globalisasi ini benar2 jadi sentralisasi sebagaimana bicara Zeenath Kausar? Di manakah kamu?

Yang terlihat di sekeliling hanya yang kurang upaya, saya juga begitu barangkali. Hai Nuhara...Sabar...

Tajuk post ini tiada tajuk, kerana jujur! Saya tiada idea untuk tajuk, tak merancang menulis apa, hanya letak tangan di atas keyboard dan inilah yang terhasil...

Wednesday, May 13, 2009

Hutang tertangguh...

Purnama menyinar, berganti mentari. Masa demi masa berlalu, yang tinggal jadi kenangan, jadi penilaian, jadi sesalan, jadi renungan, agar manusia jadi sedar diri...

Sila muhasabah niat...

Sila sedar diri...
Sila sedar diri...
Sila sedar diri...

Yang mendatang pada diri adalah ujian iman, letak duduk darjat hamba di sisi Allah...

Buat kamu terpisah keluarga, kamu masih punya aqidah seteguh Jabal Uhud... Sabarlah...

Buat kamu tersisih sahabat dunia silam, apakah setara ilmu kamu pada kebenaran dengan kehilangan manusia yang tidak punya sedar? Sabarlah...

Buat kamu yang masih mencari2 diri dalam ilmu2 yang berat dihadam, moga kamu sabar dan sabar... Sila jaga niat kamu sebagai bakal doktor muda... sabarlah...

Buat kamu yang mencari-cari pasangan hidup semulia Ainul Mardhiah, moga kamu dipertemu wanita mulia itu. Sungguh kamu manusia penuh tabah... Sabarlah...

Manusia2 di atas... Kamu tahu siapa kamu... Kamu tahu kamu sekalian sangat istimewa...

Hutang tertunggak...

Tertunggu2 buku2 dari Malaysia. Kata mama, 10kg buku je.. Haha.. Kesian ibuku...

Rindu...

Rindu Ihya' nukilan Al Ghazzali...
Rindu koleksi2 Hamka...
Rindu puisi2 Jalaludin Rumi dalam Matsnawi...
Rindu buku2 menguji sabar Al Attas...
Rindu Sophie's World...
Rindu yang lain2 juga...

Sunday, May 10, 2009

mencari prioriti… menjadi diri…

Kronologi kehidupan barangkali menetapkan betapa kehidupan itu bermula dengan kelahiran, melihat dunia dari mata kecil seorang bayi, belajar bertutur dari bibir mungil seorang kanak-kanak, mengenal dunia menurut penilaian seorang remaja, membina diri bersama kedewasaan, merenung sejarah lampau menerusi memori di usia emas, kemudian kembali ke tanah dijemput Izrail… Siapakah antara kita berani bangkit melontar idea baru bahawa hidup ini bakal berpanjangan tanpa ada noktah bergelar ajal?

Namun fitrah Sunnatullah, betapa tidak ada aliran perjalanan kehidupan yang sama bagi setiap manusia. Lantas corak yang pelbagai dalam melakar warna kehidupan itu yang membezakan antara seseorang dengan yang lain… Antara insan, manusia atau haiwan…. lebih tepat kalau dikatakan bahawa hanya taqwa menjadi penanda aras darjat makhluk bernama manusia. Ada insan yang lahir dan membesar dalam keazaman bahawa sesungguhnya gelaran khalifah di muka Bumi tidak harus dipersiakan dengan kehidupan penuh kekosongan… Penuh keseronokan tanpa ada bekalan menuju keabadian… Namun tidak kurang yang lahir semata2 melihat dirinya menerusi orang lain, mengambil watak pada manusia lain hingga akhirnya menimbulkan kecelaruan personaliti… Tambah menyedihkan andai pencarian prioriti kehidupan masih lagi belum ditemui…

Menjejak ke dunia seorang remaja, barangkali majoriti lebih senang bebicara tentang keasyikan pesona dunia. Dengan pakaian berjenama, barangan berkualiti diiring harga yang tinggi, hujung minggu bersama sahabat meronda pusat membeli-belah atau berfoya-foya bersama kekasih (semoga dijauhkan).

Maka dalam post kali ini, saya cuma ingin berkongsi idea adakah kita benar2 meletakkansesuatu pada haknya, benarkah prioriti masa kita diatur sempurna,serta adakah perlakuan dan tugas2 yang kita atur seharian berlangsung dalam prioriti yang tepat… Seperti post2 sebelumnya, tak terdetik untuk menulis sesuatu yang berat. Hanya berniat untuk menyentuh hati sendiri dan sesiapa yang mencari diri agar bertemu citra abadi.

Beberapa minggu kebelakangan ini, terasa ada anjakan dalam kitaran kehidupan. Keagungan Allah yang menentukan ceritera kehidupan akhirnya menemukan saya dengan dengan satu fasa baru kehidupan yang rupanya menjadi lembaran baru sebuah perjalanan seorang remaja. Kalau dulu melihat kebejatan sahsiah masyarakat, saya barangkali lebih banyak mencela dalam hati, kesal dengan kejahilan empunya diri, dengan sepotong doa moga mereka diberi petunjuk. Tapi kini, menerusi perspektif berbeza, saya menilai situasi yang sama dari dimensi yang lebih luas. Apakah mereka yang pincang akhlak ini sedar nilai sebuah kehidupan? Apa silapnya keindahan pekerti tercalar? Ibu bapakah yang celaru? Saya melihat kecelaruan identiti yang parah berlaku. Remaja ini tidak sedar nilai agamanya, nilai bangsanya, nilai agamanya. Mereka apati pada sejarah kegemilangan dan kejatuhan silam.. Mereka kabur pada watak2 antagonis Barat yang bermadu wajah, merobek citra seorang remaja muslim. Segalanya kini bersangkut paut. Susah nak dihuraikan, sebab saya pun baru tersedar. Sukar menjelaskan, kerana pandangan ini dirasa menerusi hati yang kian terang…

Ada tanggungjawab tergalas di bahu anda.. Samada lelaki mehupun perempuan, dalam ruangan berbeza, kitalah rantai2 yang menyambung perjuangan… Perjuangan yang dimulakan dengan akal yang merdeka dan kaya dengan ilmu, membuka hijab hati, sehingga aqidah terpatri kukuh, maka lahirlah jalan perjuangan yang dilakar sempurna.. Mudahnya menyusun bicara, sesak dada melaksana amanah. Namun buat yang punya hati, semoga langkah kita tidak mati…

~ara~

p/s: terima kasih atas nasihat kamu di Malaysia. Memang kamu seumpama saudara kandung, kamu faham saya sedalam2nya... Terima kasih... Terima kasih... Dilema penyu bakal dileraikan...

Saturday, May 9, 2009

Selamat Hari Ibu...

Selamat Hari Ibu...

Taqdir dinukil indah... Setiap detik berlalu bakal jadi memori silam, mengingatkan manusia kalau jiwa hamba harus selalu mengaku lemah di depan Tuhannya. Bukan mudah mendidik jiwa berjiwa hamba, menyerah aturan semata2 kepada Allah, melepaskan hati dari berkehendak sesuatu yang bukan kehendak Allah... Namun penyerahan secara mutlak inilah yang saya maksudkan sebagai kebahagiaan abadi, tema utama blog ini terbina...

Hari Ibu datang lagi...
Buat wanita yang paling saya cintai, tiada pernah ada kekayaan di seluruh dunia ini setanding dengan pengorbananmu. Malang sekali, tidak banyak sifat2 mulia yang saya warisi. Saya belajar... Saya sedang belajar menjadi setabah dirimu...

Jauh sudah dirimu merantau. Dari desa Golden Triangle menyatu 3 buah negara di utara Thailand, menjadi seorang muslim mengubah segalanya. Benarlah kalau kemuliaan itu hanya datang dalam Islam. Islam yang benar2 Islam. Islam yang sedar hakikat kehambaan. Islam yang sedar ma'na penyerahan hakiki...

Terlalu banyak ingin dinukil, sebuah novel barangkali tidak cukup melakar kisah dirimu... Namun dari jauh, ada doa yang tidak pernah putus....

Terima kasih mama...

Terima kasih sudi setia melawan dugaan maha hebat dan kekal bersabar demi seorang anak yang selalu lupa diri...

Terima kasih tetap sedia mendidik tanpa pernah mengajar erti dendam dan kebencian mesti hidup kita selalu diuji mehnah pelbagai...

Terima kasih selalu mengingatkan erti hidup bererti yang bahagia selalu datang dari hati, bukan dari harta dunia sebagai sandaran...

Terima kasih kerana tidak pernah meninggalkan meski selalu lakaran hitam mencalit kanvas kehidupan...

Terima kasih atas ketetapan hati mendidik anak yang punya sifat ingin tahu yang tinggi, hingga sesekali melanggar etika manusia beradat...

Terima kasih mama...

Terima kasih kerana selalu mendoakan dalam sujud akhirmu di setiap tahajud malammu...

Cinta itu datangnya dari Tuhan. Selalu kuucapkan, cukuplah bahagiamu di akhirat nanti menjadi kebahagiaanku... Berdua mendidik kita kekal kuat dalam badai benci. Namun selalu sayangmu memadam derita...

Buat sahabat yang mengaku mencinta ibubapa, bukan harta nilaian cinta. Saat hati merindu, ibu bukanlah hak milik seorang anak. Anugerah ini adalah harta dunia sebagai bekalan manusia menuju keabadian. Anak yang melanggar etika kehambaan adalah seburuk2 manusia. Jadilah insan yang bisa menjadi harta bonda di alam abadi...

Hati...
Ajar hati kenal diri... Kalau hati itu harus mengaku hamba. Mengharap sesuatu diluar lingkup kehambaan menentukan, bisa membunuh sifat kehambaan, menjauh manusia dari makna sebenar penyerahan hakiki... Sabar...

My goal for you is for you to forget all goals
As long as you persist on the path of guidance,

For you to leave aside existence and not long for it
And grasp hold only for the cord of firm reliance.

How long will you neglect me while I always
Watch over you with love and diligence?

Will you make yourself my partner in ownership
and compete with me against wisdom's radiance?

Ungkapan di atas saya petik dari Kitab al-Tanwir fi Isqat al-Tadbir (The Book of Illumination) oleh Ibn 'Ataillah yang menjadi peneman saya saban malam... Memang bukan taraf saya menghadam, moga dengan izin Allah beroleh ketenangan hati meneliti bait2 kata yang selalu memujuk jiwa kalau dunia bukan destinasi akhir...

Sabar...
Sabar dalam mencinta... Saat cinta manusia melebih cinta kepada Allah, malulah mengaku sebagai hamba...

Menulis bukanlah sesuatu yang sukar. Tetapi menulis sesuatu yang akhirnya menuju kecintaan kepada Allah bukanlah semudah menukil ayat indah semata. Bahawa Islam itu sempurna, mengislamkan setiap dimensi kehidupan, agar bahagia abadi adalah tetap bersama Tuhan...

Selamat Hari Ibu!!!

~dr ARA~



Monday, May 4, 2009

terima kasih...

Bismillahirrahmaanirrahim....

Berat menaip patah2 bicara dalam kesibukan mencengkam. Sekilas menoleh sisi, lebih baik kiranya bermesra bersama BO dan buku-buku peneman sejati. Entah atas alasan apa, hati tergerak jua mencari terapi lelah, maka di sini segalanya diluah...

Terima kasih...

Hanya kerana ini saya menulis untuk kali ini...

Terima kasih kepada mama yang selalu menyayangi... Terima kasih atas dugaan melahirkan dan membesarkan diri yang selalu dicalit khilaf... Terima kasih... 20 tahun sudah tanganmu melakar warna2 indah...

Terima kasih atas ucapan Hari Lahir pertama dari seseorang yang amat saya sayangi... Saya tahu kamu selalu menziarah, saya tahu kamu selalu dilukai saya, saya tahu kamu menunggu khabar dari saya, hanya saya yang penuh dosa ini malu bertemu kamu memula bicara. Minta maaf sahabat, kamu selalu ada dalam doa. Minta maaf... Terima kasih atas ingatan, saya tidak pernah menjauh, kalau masih ada ruang, izinkan jalinan terlakar kembali...

Terima kasih kepada makcik KMB yang menceriakan malam Hari Lahir yang duka. Terima kasih atas lawak2 gila kamu, Chulalongkorn diharamkan ke atas si comel ini!!! Kamu faham! Terima kasih sudi mendengar azam 20 tahun saya. Haha.. Kita tunggu apa hasilnya. Terima kasih, kamu sangat dihargai...

Terima kasih atas panggilan2, sms2 dan email2 Hari Lahir dari sahabat2 yang sudi mengingati. Terima kasih kepada kak Srisufi, aizat dan asya razak (inilah makcik KMB) yang sudi menulis post hari lahir saya di blog kamu... Syahdu sungguh!

Terima kasih buat sahabat2 di Manipal yang mengejut di malam hari bersama kek Hari Lahir di depan pintu. Ayam BBQ sedap!! Kalian memang sangat disayangi...

Saat bual2 panjang bersama Asya, saya disuruh mengaku khilaf kepada insan2 yang saya hargai. Maka dengan ini, sila terima pengakuan berani... hehe...

Saya bukanlah manusia yang selalu sensitif kepada persekitaran. Saya sangat kuat pelupa, anda boleh tanya mak dan kawan baik saya, asya. Maka disebabkan ketidaksensitifan dan sifat pelupa saya, saya susah mengingat nama orang, susah mengingat tarikh lahir, susah mengingat tarikh2 penting, susah reply email dan msg, dan susah segalanya. Bukan kerana tidak peduli. TIDAK2!!! Tapi ini memang sifat buruk yang selalu sukar dikikis. Saya cuba. Saya cuba... Kerana itu, ramai terasa hati bila email mahupun sms anda tidak dijawab, ramai... Ramai... Saya minta maaf, sahabat baik saya pun selalu terasa hati. Minta maaf... Apabila keadaan jadi semakin tegang, saya juga bukan manusia yang bijak mencari ruang memohon maaf, terlalu panjang berfikir apakah yang perlu dikatakan, rupanya keadaan makin tenat... Minta maaf...

Saya punya tahap spontan yag tinggi. Selalu dimarah bertindak luar kawalan. Minta maaf kepada yang khuatir, setakat ini saya masih selamat dan bernyawa. Bukankah Allah sebaik2 pelindung? Sila jangan risau terlalu.

Menjadi diri lebih baik bukan? Tapi diri yang penuh khilaf ini akan digilap, sila bantu dan doakan...

Harus fitrah sendiri difahami atau bagaimana sebenarnya? Ada jawapan?

Paling utama...

Syukur padaMu ya Allah... Tuhan yang sentiasa memberi kurnia, walau sedikit sekali aku jadi hamba yang sedar diri. Syukur atas segalanya... Tiada kata bisa menggambarkan nikmatMu...

p/s: Benar2 mahu ke sana!!! Semoga dipermudah. Kak Sri kamu faham kan?

Saturday, April 25, 2009

PIDATO

Selesai test Physiology. Dalam hangat Pentas 152, khabar dari seseorang tentang Pertandingan Pidato Belia yang bakal tiba buat saya jadi rindu. Sesekali merenung masa silam, harus saya akur jalan2 menjadi seorang pemidato adalah taqdir Allah sebagai tarbiyyah buat diri kerdil ini.

Rindu mengenang kisah2 lama. Kata seorang sahabat, zaman saya sudah berlalu. Mungkin ya, tidak pernah saya nafikan. Kini bukan lagi masanya saya sesuka hati ponteng kelas dan melepak di library atas alasan berlatih pidato dan debat. Alasan yang menjadi lesen untuk sesuka hati terlepas dari takluk peraturan sekolah. Zaman suka ria itu telah berlalu, zaman gemilang itu telah pergi.

Kenang2 kali pertama disuruh bercakap, tiada sepatah pun keluar dari mulut saya. Budak Form 2 yang tak pernah kenal pidato, maka imbalannya saya dimarah hampir 2 jam oleh Cikgu Fakhrul yang kini dirindui. Dan paling menakjubkan, usai dimarah, bagai ada satu aura muncul memberi saya upaya bicara tanpa henti. Sejak itu, sejak itulah saya tidak pernah berhenti bicara.

Terlalu jauh nukilan taqdir. Di mana saja saya tidak pernah disuruh bercakap. Di tepi pantai2, di Tasik Titiwangsa pada jam 12 malam sambil mengejut pelaku2 maksiat, di Stadium Putra Bukit Jalil, dimarah oleh guru2 bahasa Pahang, di atas meja berdepan pelajar tingkatan 5 sedang saya masih tingkatan 4, di belakang chalet mengadap hutan Sepang saat hujan turun selebat air mata yang mengalir, di PICC mengadap YDP Agong.

Jauh rupanya perjalanan ini... Saat mengenang kisah2 begini, cuma satu makhluk di KMB saja yang mampu memahami tanpa dikhabarkan melalui kata2. Sayangnya kamu jauh sekali di sana.

Entah untuk apa berpidato. Dulu semata2 ingin menang, semata2 inginkan hadiah lumayan lebih2 lagi pidato belia yang sungguh menarik. Mungkin juga dulu saya berpidato kerana terdesak membawa nama sekolah dan harapan guru2. Manakan tidak, dari awal tahun tarikh Pidato Diraja Kebangsaan peringkat akhir telah dimasukkan dalam takwim sekolah. Apakah? Peringkat daerah saja belum dilalui sudah target hendak ke peringkat akhir kebangsaan. SEMESTA... Jangan buat begitu lagi pada junior saya, harapan yang terlalu tinggi sungguh membebankan apalagi bagi calon SPM.

Saban waktu berdoa agar 2006 menebus kekalahan peringkat akhir tahun sebelumnya. Namun dianugerah naib johan jadi kesedihan terlalu. Kenang2 semula, sungguh terasa malu. Sampai2 Dato Sri Hishamudin tegur muka sedih sangat. Hahaha..

Tamat zaman sekolah, pencenlah saya. Itu tanggapan, tapi rupanya masih belum ditaqdir berakhir. Entah dari mana dan bagaimana, ditaqdir pula ke pidato belia. Tujuan utama hanyalah untuk hadiah saguhati yang cukup lumayan. Berdepan dengan pemidato2 dari parti politik dan NGO seperti Abim dan sebagainya (terbuka untuk belia berusia 15-40 tahun) maka saya langsung tidak berharap tinggi. Maka saat diumum johan peringkat KL, merintih sesal semahunya saat itu. Mujur sekali lagi teman sejati ada bersama. Takut! Itu saja ayat saya.

Beberapa hari berlatih di Sepang, ibu angkat yang amat saya kagumi skilnya ini terlalu banyak mendidik. Tidak hairan kalau tokoh2 parti tertentu masih terkejar2 memujuknya sampai kini.

Selaku wakil KL, tuan rumah, maka saya kira sayalah paling menyedihkan saat mesyuarat peserta berlangsung. Bukan saya yang sedih, tapi saya rasa mereka sedihkan saya. Haha.. Dek pusing2 Time Square dengan peneman sejati saya, maka kami jadi peserta paling lewat tiba. Dengan tudung bidang 60 dan baju labuh, saya dipandang pelik sekali. Pertama kerana saya peserta paling lewat tiba saat mesyuarat telah bermula, kedua kerana penampilan kami yang sangat berbeza dengan mereka2, dan ketiga kerana saya nampak terlalu muda hendak dibanding dengan mereka. Paling muda... Gerun? Saya sangat gerun... Segerun bangunan MAYC yang kami duduki. Biarlah apapun pandangan mereka, saya memang budak kecil dalam kalangan mereka yang dewasa.

Saat perlawanan, kecil2 bisa jadi cili api. Rezeki Allah, dengan beza 4 markah dari johan, berjaya juga saya membawa pulang piala walau bukan sebagai juara. Cukuplah sekali itu, saya tak sanggup lagi kehadapan umum berbicara menarik perhatian. Bukan takut bicara di tengah2 Stadium Putra, cuma jalan tarbiyyah buat saya kenal diri. Cukuplah setakat itu.

Hadir ke kelas Dato Syed Ahmad citra ageng nusantara merupakan titik perubahan terbesar hidup saya. Melaluinya saya kenal sedikit sebanyak Anwar Ibrahim di sebalik tabir. Saya kenal erti pidato warisan Prof Sunarjo dari seberang, dan sungguh saya malu melihat kejahilan saya berpidato tanpa makna dulu... Ahh, kisah lama..

Sekarang berjauhan buat hati rindu segalanya... Rindu pada manusia2 istimewa yang hadir melakar bahagia. Bukan medan saya lagi untuk kehadapan. Mungkin kedewasaan mengajar kalau bicara tiada erti tanpa makna dan keikhlasan. Saat anda melihat manusia2 berbicara melaung manifesto dan ucapan, lihat ke arah mata mereka. Mata dan mulut yang berbicara hanya mampu menyentuh hati apabila datangnya dari hati yang ikhlas pemberi ucapan. Percayalah, sangat mudah bercakap di khalayak ramai. Semakin kerap anda naik ke pentas, butir2 bicara indah akan meluncur keluar tanpa anda perlu risau dan gusar malah tanpa sedar jua. Namun untuk bicara sesuatu yang datang dari hati yang takutkan Tuhan buat mulut terkunci rapi. Ini pelajaran terakhir saya...

Dulu saya pengkagum mereka yang petah bicara, kini saya memuja bicara yang datang dari hati yang mengingat Tuhan meski bicaranya tanpa jurus, petes, pisip, mahupun gibran. Saya tidak kisah lagi. Namun ilmu2 warisan ini akan saya simpan, mungkin juga diajar kepada pewaris2 saya esok, kalau Melayu Islam itu punya citra hebat, pendakwah versatil, yang gah jasadnya, bersinar rohaninya... Zuhud jiwanya. Dunia di genggaman sedang akhirat di hati...


p/s: panjang post kali ni. Biarlah panjang2, selepas ini blog ini akan suyi seketika...

Thursday, April 23, 2009

di sini juga di sana...

Hari berlalu berat. Dalam meringankan langkah melalui denai-denai berliku, singgah di medan sendiri meluah rasa diri bisa jadi satu ketenangan...

Banyak yang ingin ditulis, namun kekangan waktu selalu jadi penghalang, barangkali saat santai begini jadi hadiah lelah sepanjang hari...

Isu pertama, menyelit sebentar dalam gelora PPSMI. Dalam lambakan tulisan ilmiah tentang PPSMI, maka kehadiran saya menambah fakta bisa jadi satu penciplakan yang membosankan diulang tayang. Lantas seketika, dari bicara sang politikus yang entahkan pernah mengerti dunia sebenar mangsa PPSMI, atau pejuang jemaah yang semangat melaung anti-PPSMI yang dibimbangi hanya bermusim, jua pihak2 yang dalam diam punya agenda sendiri, pejuang2 warisan Mahathir yang megah dengan lambang modernisasi atau paling malang manusia yang langsung apati pada isu...

Sebulan bukanlah tempoh yang lama untuk memberi saya autoriti bicara semahunya. Namun untuk berpendapat bukanlah satu kesalahan saya kira. Sebulan menjadi pendidik dalam lingkungan anak2 desa, cukuplah rasanya saya mengerti derita mengejar dunia yang entah di mana hala tuju pembangunan bangsa.

Kg Sijangkang bukanlah seperti KL yang anak2 kecil mengulang butir2 mat saleh saban waktu. Di sini, kami membesar dalam suasana asing pada bahasa ini. Kalau jawa yang dijadikan bahasa pengantar, memang sah2 kami bijak Matematik. (sekadar picisan).

Arif yang montel, adik berusia 10 tahun. Selalu ke kelas dengan nasi lemak di atas meja. Disuruh menulis enggan, diajak mengerti berpaling. Satu2nya cara saya menundukkan adik ini adalah dengan mengambil nasi lemaknya sebagai ganti kerja yang tidak disiapkan. Seharian saya menyebut kalau sweating maksudnya berpeluh, namun ke 101 kalinya ditanya, masih menggeleng.

Alif, adik paling menguji kesabaran. Mahu saja dicubit kalau kurang sabar. Kalau bukan dikhabarkan Mualimah Rohani anak ini lahir dari keluarga kurang cinta, pasti saya hilang upaya bersabar atas kerenahnya. Bayangkan, tiada satu pun arahan saya kedengaran padanya. Adakah kerana cikgu ini terlalu muda? erk... Takkanlah.. Selalu ditegur, esok diulang tayang. Saat dimarah, diam. Saat ramah, mudah saja duduk di sisi, gaya adik kakak bermesra. Ahh, memang rindu detik2 begini.

Pesan Mualimah Rohani, ada tanggungjawab sosial tergalas di bahu saya. Setinggi mana terbang burung, harus jua pulang ke sarang. Mudah memang mengatakan kerana tak pandai berbahasa Inggerislah maka PPSMI wajar dilaksanakan. Tunggu! Pelaksanaan ini bukan macam dissect cadaver, silap potong ada spesimen lain. Hello, ini eksperimen atas manusia yang hidup akalnya. Bila eksperimen gagal, imbalannya membawa jangka masa panjang. Dengan sikap seperti ini, mengajar dalam Bahasa Melayu terlalu sukar dirasa. Apalagi mengingat maksud perkataan dalam Bahasa Inggeris, apalagi memahami subjek yang diajarkan seperti Matematik. Silibus hari ini yang dimudahkan bukan setakat merendahkan kualiti pendidikan, malah sistem yang direndahkan ini juga tak terkejar anak2 kg yang jauh dari realiti globalisasi yang seenaknya dimegahkan.

Sebulan bersama adik2 kecil ini, terutama si cilik 5 tahun yang merengek diteman ke tandas memang pengalaman luar biasa. Harapan melihat mereka membesar menuju jaya bukanlah dibuat2 tapi lahir tanpa sedar. Kesan pendek sudah terang lagikan bersuluh. Sudah2 lah menutup statistik peningkatan peperiksaan. Kualiti langsung tak terbukti. Masih di sini adik2 saya tidak tahu maksud shelter, air, earth... Masih juga adik2 saya terkebelakang memahami tambah tolak sedang dalam darjah 3 bukan di situ taraf sepatutnya.

Ya, bukan salah PPSMI sepenuhnya. Tapi kehadirannya menambah buruk. Belum lagi mengambil kira bahana tempoh panjang ke atas pembangunan jati diri, bangsa, dan paling penting agama... Mahu tahu tentang itu, berlambak teori dan pendapat dikeluarkan ilmuan....

Di sini, di bumi India... Kisah antara 2 darjat terlalu ketara. Lihat sahaja golongan terpelajar dan atasan, janganlah anda harapkan mereka bicara dalam bahasa ibunda di sini. Teramat sukar kedengaran. Citra India yang kaya nilai2 susila dan budaya kian lupus hari demi hari. Akka(panggilan perempuan India di sini) yang jual Bombay Toaste pun mampu bicara Bahasa Inggeris. Hahah.. Makcik kat Sijangkang tak reti. Bakal2 doktor di sini sebolehnya bercakap tak ubah gaya mat Salleh, bagai ada kebanggaan saat bicara.

Saya suka senyum pada pakcik2 dan makcik2 tua yang mengangkut batu sekitar MMMC. Menakjubkan bagaimana mereka akan semanisnya membalas senyuman anda. (selalunyalah...) Barangkali sukar melihat golongan atas2 tampak mesra dengan si pengangkut batu ini. Bayangkanlah perasaan dihargai... Mereka ini pekat gaya India, tidak menjadi Mat Salleh tapi lihatlah letak duduk darjat mereka.

Tayangan ini terlalu jelas... Bahasa membeda darjat tanpa saya nafikan wujud jua unsur2 lain. Lihat juga bagaimana jati diri bangsa beralih, lihat juga bagaimana jurang ini kian melebar di sini. Politikus masih sama seperti di Malaysia. Hanya saja pilihan raya Malaysia tak setanding kehangatan di sini yang sedang hangat musim pilihanraya. Manakan tidak, pilihanraya India diiringi polis bersenjata tak ubah gerakan gerila, hari pertama pilihanraya sudah ada nyawa melayang dek rusuhan parti. Belum lagi mengambil kira kecederaan parah atau ringan.

Bahasa kembali...
Saya suka bermain bahasa. Memang kalau dibaca dek guru bahasa saya, selalu dikutuk atas kesalahan tatabahasa pelbagai. Minta maaf, habis medic saya sambung belajar kesusateraan dan bahasa pula yee... =) Namun isunya adalah bagaimana bisa jati diri kekal seiring kemajuan bangsa? Adakah perlu ada korban untuk mememlihara salah satu. Maka untuk maju, Bahasa Melayu jadi korban dalam diam?

Tidak2... Kalau bangsa itu sekadar punya bahasa dan bangsa, tidak kisahlah apa yang terpelihara dan terkorban, kerana matlamatnya berbeda. Namun dalam diri manusia itu punya fitrah menyembah Tuhan. Maka bahasa dan bangsa harus tertakluk pada agama. Bagaimana?

Bicara Pendita Zaaba, Bahasa Melayu mengandungi makna aqidah di dalamnya. Melayu itu jati dirinya terbentuk dari zaman kedatangan Islam, maka citra terlakar dari warna2 sejarah Islam. Jati diri bangsa ini terpelihara seiring indahnya bahasa. Zaman dulu gadis Melayu yang pekat jiwa Islamnya manis berbaju kurung menutup aurat dihias bicara penuh kesantunan. Saat melangkah ada tatacara kesopanan yang diiring tuntutan syarak. Sangatlah tidak mungkin seorang wanita sopan bicara dan mulia bait katanya berpakaian mendedah aurat dengan lagak wanita picisan. Namun kini, gadis yang seenaknya bicara di luar batas tanpa malu ke sana ke mari diusung siapapun. Dengan bahasa bercampur tanpa usul, pakaian jauh dari sempurna, menjadi Melayu sejati terasa asing. Berkain batik terasa kampung. Dipanggil kampung terasa kampung. Mengapakah?

Bahasa mahupun bangsa tertakluk di bawah agama. Kerana agama Islam itu terlalu syumul mencakup kehidupan manusia... Apakah setanding nukilan manusia dengan Allah penguasa segala?

Mengapa Bahasa Melayu? Mengapa perlu perjuang bangsa dan bahasa sedang keutamaan itu Islam? Perlukah dihuraikan di sini? Cukup2... Lain kali sahaja.




Tuesday, April 21, 2009

dedikasi...

Malam berlalu lambat, bagai menguji sabar menipis. Mahu ke mana jiwa ini... Saat manusia menari di pentas maya, memerhati bisa jadi lebih selamat. Ataukah selamat itu sekadar mendatang dalam jiwa sendiri sedang bahana kian mampir?

Kanda Sufi, mahu segera ke sana. Sila khabarkan maklumat terakhir, andai terlaksana hari ini juga tiket dibeli, beruzlah sebulan di sana selama manusia lain menari. Sila khabarkan, hati kita kan serupa... Kalau jadi destinasi akhir sekalipun, redha saja jiwa ini lagaknya...

p/s: rindu ke pesta buku... sedih2...

Erk, sejak bila menjadi puitis?

Sunday, April 19, 2009

nukil2...

Seluruh dunia bergerak, mencari sempurna dalam pengertian berbeza. Hakikat sempurna tidak mungkin digapai, jarang sekali membangkit sedar. Pencarian demi pencarian... Sesekali jiwa ketemu 'sempurna', terdetik di hati bahagia seperti apakah ini yang asyiknya memabuk jiwa. Laksana bermadu kasih di alam syurga, siapa pun tak bisa menoda rasa...

Sukar rupanya menyedari bahagia yang digenggam bukanlah sebenar bahagia. Sukar jua menerima kalau bahagia itu terlalu jauh ingin disentuh. Saat jalan terlakar untuk dilalui, diuji mehnah dunia buat hati terpaku sementara. Apakah untuk punya cinta harus punya darjat begitu? Mengapa wujud jurang luas tak terlangkau manusia hingga impian kekal jadi mimpi sedang realiti membunuh makna? Sungguh kecewa tersungkur kebelakang merenung manusia lain punya langkah menuju bahagia.

Andai tawa itu ukuran bahagia, berbahagialah manusia hina yang hidupya tertawa bersama penghasut neraka. Andai tangis itu petunjuk derita, sengsaralah insan yang saban malam merintih di atas sejadah cinta. Menjadi manusia yang melihat luaran, mata buta hati tertutup. Terperangkap dalam dunia sendiri, juga bisa jadi mulia bisa jua jadi hina. Sejarah manusia agung ramai yang mulia dalam sendirian. Apakah jalan sendiri benar2 membawa bahagia?

Terdampar di tanah yang merela jurang dua darjat, harus jiwa jadi insaf. Apakah derita mencari benar setanding derita manusia hidup tanpa sedar?

Harus jiwa mencari bahagia. Betapa jauh harus pergi, derita sehebat apapun, biar sendiri mengerti. Manusia yang hidup semata demi diri, takkan pernah mengenal rasa hakiki. Biar ditinggal jauh, biar takdir terus menari, hari esok pasti suci menanti...

Yang mengerti pasti bisa memahami kalau selaut air mata tak mungkin memadam tangis jiwa. Kehilangan bahagia membunuh cinta memati hati. Yang jauh terasa dekat, yang hampir terasa jurang. Bukan menolak hadir, hanya serasi bukan di sini. Memilih menjadi diri harus akur kehilangan duri. Sesekali cemburu mampir, ada baldu melindung kalbu... Betapa bukan diri terasa iri...

sayap halus ditiup bayu
jingga suasa mentari pertama
bersaksi langit dandelion menari
membawa kenangan moyang semalam
citra indah pewaris esok

sekilas pandang dandelion biasa
hidup melayang tanpa tuju
namun diam dandelion ini
siang merenung malam bermimpi

dipegang hancur dilepas hilang
sentuhan cinta menyinar cinta
biar akhir kembali ke tanah
diserap induk bersatu di situ
hingga dandelion muda dilepas ke awan
dandelion semalam menjadi ranting

maka sumpah bumi keramat
dandelion hidup menebar cinta...

p/s: saya sama sekali tidak bicara tentang bahagia yang nisbi sifatnya...

Thursday, April 9, 2009

poligami

Finally, our Islamic family laws must reflect the realities of modern life. As the Prime Minister said: ‘Ensuring the rights of women will require reform and renewal in Islamic thought… The problems that contemporary Muslim societies are confronted with today are not the problems of the sixth century, and the solutions we need today do not lie with the notion of a Syariah purportedly final and complete fourteen hundred years ago - particularly in the case of women.’ Our laws must, therefore, address the complexities and realities of modern life while accounting for the universal and eternal principles of justice and equality in Islam.

http://www.sistersinislam.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=707&Itemid=274

Ini petikan yang saya ambil dari web Sisters In Islam (SIS).

Apa jawapan seorang wanita saat ditanya apakah pendapatnya tentang poligami. Rata-rata pasti dengan yakin mengatakan "langkah mayat dulu". Logik yang cukup mudah, tidak ramai yang sanggup berkongsi kasih. Maka atas dasar rasional kononnya, logik dan bawaan emosi, maka monogami diperjuangkan.

Ambil contoh paling mudah, seorang gadis yang membesar dalam keluarga poligami. Ujian Allah menentukan dirinya membesar dalam rumah tangga yang penuh dugaan. Saban hari pergaduhan bersilang pertingkahan. Adakala pinggan mangkuk berterbangan sedang ibu tiri bijak mencucuk jarum mengambil peluang mencalar bahagia. Saban hari gadis ini yang dahulunya seorang anak kecil menyorok sendirian di belakang almari mendengar telingkah ibubapa di waktu manusia2 lain sedang lena dibuai mimpi. Tiap malam anak ini berharap kalaulah dirinya punya kesempatan menyulam tawa di sisi ibu bapa yang benar2 mengerti. Terkadang menulis surat untuk diutus kepada insan yang mengerti derita diri berkongsi bapa, namun akhirnya surat-suratnya lunyai lantaran tiada siapa bisa diberi percaya. Andai seperti ini lakaran kehidupan anak ini hingga dewasa, maka pasti saban waktu kehidupannya menanam harapan punya keluarga bahagia demi menebus luka semalam. Lantaran poligami yang dibenar agama, maka ibunya beroleh derita sedang dia tidak rela menempuh nasib serupa.

Bayangkan anak ini membesar dengan benci kepada lelaki. Maka bisa saja setiap lelaki yang hadir dalam hidupnya di analisis sedalam mungkin adakah punya kemungkinan menjadi pemimpin atau pemusnah. Saat melihat tayangan serupa melanda keluarga lain, sejarah silam berputar kembali memungkinkan luka berdarah semula. Kebencian kian mekar menuntut keadilan dalam kehidupan. Beginikah nasib seorang wanita?

Tanpa sentuhan agama, diterjah ideologi songsang feminisme maka jadilah gadis ini pejuang hak asasi wanita. Membenci kezaliman rumah tangga, menolak sistem kuno diwarisi berzaman, menaruh harapan pada sistem baru molek menepati zaman. Mesti diterjah sesat, perjuangan adalah perjuangan. Tidak rela ditindas lelaki, biar wanita bangkit membela diri. Namun tidak cukup sekadar punya semangat, hala tuju harus jelas, ilmu harus kukuh agar hujah tidak terbalas dek pejuang kuno yang memegang hujah silam yang manakan mungkin relevan dengan kemodenan. Ilmu agama harus ditekuni demi memperkukuh ideologi bawaan Barat yang telah maju memperjuang hak kesamarataan. Kalau lelaki dikatakan pemimpin kerana lelaki adalah pria pujaan yang menjadi sandaran menyara keluarga, kini wanita mampu sama taraf. Lihat saja bilangan lelaki dan wanita di universiti dan pusat serenti, dengan sedikit masa saja pasti mampu ditanam kesedaran dalam jiwa wanita2 moden ini tentang kesamarataan dan keadilan.

Perjuangan tidak bisa sendiri, meski idea ini bukan gagasan sendiri malah nyata gagasan dari 'seberang' , tapi saat keyakinan datang, inilah perjuangan! Harus dikumpul wanita2 sedar, seramai mungkin, sedaya mungkin, seupaya mungkin. Dekati wanita2 punya kedudukan kerja bisa jadi lebih mudah. Suara mereka lebih didengari, usaha menebar sayap kesedaran lebih licin lantaran biaya dan rezeki dari penyokong tidak henti melimpah. Barangkali ini petanda perjuangan diredha Tuhan....

Apa erti keadilan, apa pula erti kesamarataan? Sama tarafkah keduanya? Perjuangan ini demi Tuhan atau manusia? Di mana silapnya sehingga lahir wanita2 seperti ini yang dengan hebatnya melanggar pegangan berzaman dengan berani mencalar syariat agama dengan alasan tidak lagi seiring zaman? Tanya pendapat peribadi, memanglah berat mengizin poligami. Tapi Islam bukan agama nukilan manusia yang penuh silap dan harus digubal setiap 5 tahun. Saat pincang melanda, harus sedar akar masalah berpunca dari manusia. Perjuangan sebenar adalah mengembalikan ajaran yang sebenar, apakah undang2 manusia ini berjaya mendidik pasangan suami isteri untu menyayangi dan mencintai bertautkan cinta Hakiki dari Pencinta Agung? Monogami bukan jawapan, tapi mantapkan kefahaman tentang undang2 Poligami dalam Islam yang sebenar dalam jiwa para muslimin da muslimat, maka itulah penyelesaian sebenar. Saat sudah ada perundangan begitu sempurna, mengapa bersusah payah mencari jalan baru yang konon lebih sempurna?

Islam adalah agama yang adil, meletakkan manusia setara upayanya. Fitrah dicipta dengan beda ketara, menyamakan lelaki dan wanita harus jua menyamakan fitrah yang sebati sejak azali. Wanita mampu menyara keluarga, biar wanita jua bisa punya kuasa melaung azan mengimam solat. Semudah itukah? kalau begitu, biar wanita turut sama berjuang di medan perang dengan ratio yang sama dengan lelaki, biar diberi layanan yang sama dengan lelaki dalam semua perkara. Tarik hak2 istimewa wanita kerana nanti lelaki pula wujudkan Brothers In Islam kerana merasakan wanita punya terlalu banyak kelebihan berbanding lelaki.

Ada unsur2 sejarah yang harus dikaji tentang bagaimana ideologi ini bisa sampai ke sini. Mengapa perjuangan SIS banyak berkisar tentang dunia sedang tidak pula menyeru wanita2 yang pincan akhlaknya untuk kembali pada agama sebenar. Kalau benar mengikut nama Sisters In Islam, maka mereka harus lebih prihatin akan nasib wanita di akhirat kelak. Apakah syurga atau neraka wanita2 ini akhirnya nanti.

Apa jua keadaan, kembali kepada Al Quran dan Sunnah adalah cara paling indah. Memang tulisan saya mudah dan bukan tandingan untuk hujah2 SIS yang menjalar seantero dunia, namun moga2 ada pahala atas perkongsian mudah... Bukankah jalan perjuangan harus bermula dengan langkah pertama? Semoga ditambah kefahaman akan agama, biar jiwa kian subur, sedang kecintaan Hakiki mekar selamanya...

p/s: saya tau kamu sibuk sekali di kmb berjuang demi menjadi doktor muslimah yang sejati. Semoga kamu sentiasa rindukan saya di sini sebagaimana rindunya saya pada kamu...

Saturday, April 4, 2009

ketika cinta...

Lirik Lagu Ketika Cinta (Ost Perempuan Berkalung Serban) - Siti Nurhaliza

Ada tiada rasa dalam jiwa
Rindu akan memanggil-Mu
Karna setiap jiwa t'lah bersumpah
Setia hanyalah kepada-Mu

Bila cinta ada di dalam jiwa
Wangi bunga dunia tanpa nestapa
Segala yang dirasa hanyalah Dia
Hati 'kan memuja hanya pada-Nya

Ketika cinta memanggil
Gemetar tubuhku
Ketika cinta memanggil
Hangatnya nafasku
Ketika cinta memanggil
Menderu sang rindu
Ketika cinta memanggil

Rindu... rindu... rindu qalbu
Memanggil-manggil nama-Mu
Seperti terbang di langit-Mu
Tenggelam di lautan cinta-Mu

Bertabur qalbu yang rindu
Melebur menjadi satu
Bagai menari diiringi pelangi
Ketika cinta memanggil

kucupan terakhir...

Ini post lama... Saja diulang siar lantaran rindu yang terlalu...


Monday, December 10th, 2007

Pada satu masa yang ditetapkan, kita pasti dirisik… Pertunangan sejak azali. Di hujung hidup nanti berlangsungnya perkahwinan dengan maut, hantarannya sakit dan nazak. Tamu bertandang menghadiahkan tangisan. Pengantin dimandikan, dipakaikan baju putih. Wangian gaharu cendana jadi pelamin. Pengantin bersanding sendirian… Diarak keliling kampung… Berkompang azan dan kalimah kudus, akad nikahnya bacaan talkin berwalikan liang lahad bersaksikan nisan-nisan. Siraman mawar keluaga terdekat… Malam pertama bersama kekasih yang dindingnya tanah dan menuntut janji pernikahan…~ara~

Hari ini genap seminggu pemergian abah. Ada sayu yang datang bertandang bagai mengulang peristiwa kelmarin. Terasa segar diingatan tika detik duka itu berlalu…

Tengahari itu segalanya berjalan seperti hari2 biasa. Kelas diikuti seumpama lazim tanpa sedikit petanda ada tangis yang bakal menjelma. Lantas deringan telefon yang membawa khabar duka benar-benar menjadi tamparan hebat. Barangkali mimpi atau gurauan semata. Namun, apabila minda waras ini sedar betapa segalanya adalah hakikat, yang terdaya dilakukan hanyalah teresak dalam dakapan sahabat. Betapa ungkapan yang dilafaz abgku adalah realiti! Benar-benar terjadi! "Dik, dah tau belum? Abah dah takde"…

Syukur mindaku masih mampu berfungsi. Kugagahkan kaki menuju ke bawah mencari akal untuk pulang sebelum pengebumian berlangsung. Dalam berat langkah kakiku, hanya satu peristiwa yang muncul diingatan. Saat terakhir kukucup dahinya sebelum pulang ke kolej… Saat terakhir suaranya kudengar… Saat terakhir bibirnya berpesan… Saat terakhir mata kami bertemu… Saat terakhir…

Alhamdulillah, dengan bantuan sahabat yang prihatin, segalanya diatur mudah membawaku pulang ke rumah bersama rakan2 sbg teman. Tika itulah baru kusedar solat Zohorku masih belum tertunai. Lantas, usai solat Zohor segalanya kembali tenang. Bukankah benar janji Allah betapa dengan mengingatinya hati itu bisa jadi tenang? Selepas itu, segera kami menuju ke rumahku. Tika itu tiada lagi tangisan yang hadir…

Setibanya di halaman rumah, melihat ramai orang berkumpul di halaman, buat aku benar2 yakin, hakikat ini benar2 terjadi. Melangkah menuju ke rumah terasa begitu payah dan menyesakkan. Apatah lagi melihat kakak yang teresak2 mendakapku sejurus melihat kedatanganku. Rupanya waktu itu, jenazah masih belum tiba dr hospital. Lantas dalam keramaian manusia, aku duduk di penjuru rumah membacakan Yaasin sebagai kiriman kasih, jua sebagai penenang hati…

Seketika itu jenazah tiba. Diusung ke dalam rumah dalam iringan tangis keluarga dan saudara. Terasa sebuah sandiwara yang berlangsung di kaca televisyen. Dalam langkah yang berat, aku bangun menuju ke sisi arwah, dan tika itu air mata jatuh sekali lagi. Melihat matanya yang tertutup rapat, bibir yang kaku, tubuh diselimut kapan. Sungguh2, kalau sahaja bukan kerana disambut sepupuku, pasti telah lama aku jatuh disitu.

Lantas majlis diteruskan dengan memandikan jenazah dan dikapan… Selesai segalanya, pakcik yang menguruskan jenazah mempersila keluarga, saudara dan sahabat melihat jenazah buat kali terakhir. Saat itulah seorang demi seorang tampil ke sisi arwah abah, meluah kesedihan, menghadiah kucupan terakhir. Hingga tiba giliranku…Yang terdaya hanya melihat wajahnya, lantas mengucupnya buat kali terakhir… Benar2 buat terakhir kalinya…Hingga saat ini, masih terasa wangian semerbak haruman gaharu saat di samping jenazah…

Kemudian segalanya berlalu seperti lazim. Arwah abah disolatkan dan kemudian dibawa ke perkuburan untuk dikebumi. Saat itu ada yang menegah kami dari turut serta. Namum bagai mencurah air ke daun keladi, tiada yang peduli pada tegahan itu. Kami turut serta ke kawasan perkuburan lantas menyaksikan abah dikebumi dari kejauhan… Masih terngiang bicara imam yang membacakan tahlil serta menghulur peringatan. Saat itulah terasa kematian itu benar2 hampir. Tersedar betapa pun manusia mengejar keindahan dunia, yang tinggal hanyalah liang lahad sebagai tempat persemadan agung. Lantas, apalah yang dikejar pada dunia. Dan tika jenazah dikebumi, saat itu benar2 kurasakan perpisahan antara kami. Perpisahan antara dua alam, antara seorang bapa dan anak, perpisahan antara hidup dan mati…

Berakhirlah kisah ini… Kisah perjalanan sementara manusia di bumi yang fana. Kudoakan moga sejahtera mengiringi arwah di sana… Amin…

Buat sahabat yang sentiasa menyokong, terima kasih untuk segalanya… abg fezi yang sentiasa memberi semangat, housemates yang sudi meminjam bahu mengurang duka, classmates dan shbt2 KTT yang sanggup datang bersama bas KTT, lecturer yang sudi menghantar dan membantu, kakak2 usrah yang sanggup dtg dr tempat kerja dalam keletihan dan sarat membawa baby, SEMESTARIAN yg tak henti2 menghubungi dan menghantar sms, sahabat2 APIS dan pkpim yang tak putus2 mengingatkan pada kecintaan Allah, Mak Ani dan Auntie Sue yg sanggup datang dr jauh di malam hari untuk menghulur bantuan, dan semua yang sentiasa di sisi namun tak tertulis di sini… Terima kasih atas doa dan sokongan kalian. Hanya Allah yang boleh membalasnya…

salam alaik…

tinta manipal...

Salam...

Usai Liqa' Mahabbah menyambut kedatangan kami pelajar2 junior oleh senior2 melaka-manipal medical college dalam sambutan yang saya kira sungguh meriah dan indah...

2 minit sebelum jam 12 malam, masih terlalu banyak yang ingin dilaksanakan meski letih pulang dari majlis masih bersisa. 2 perkara yang paling digemari di bumi Manipal hingga detik ini adalah makanan yang sangat sedap dan murah serta menaiki auto terutamanya di malam hari saat bayu bertingkah menerpa wajah... Segar sekali nikmat Tuhan...

Beberapa waktu berlalu, banyak yang ditinggalkan banyak jua yang ditemui. Meski jiwa hamba sedar tiada pernah insan punya harta selamanya selain bekalan akhirat, kehilangan kecintaan pasti melukakan. Merindui detik-detik di sisi manusia yang dicintai, pasti sesal waktu bersama dibiar berlalu tanpa sulaman bahagia...

Bahagia... Sungguh, sudah pasti bahagia yang nisbi sifatnya bukan sebenar2 kebahagiaan yang dimaksudkan Islam. Bahagia yang hakiki tidak luput dilanda ujian, kerana hadirnya dipatri keyakinan Aqidah yang kukuh. Ahh, saya mula berfalsafah tentang gagasan Islam yang diperkemas Prof Al Attas sekali lagi...

Lantas, siapa dan di mana saya mahupun kita? Saat hilang seekor kucing, diratap semahunya seolah hilang sebahagian iman. Keterlaluan? Saya tukar conth pula. Sesetengah kita menggilai cerita Korea. Saat hero terkorban atau gagal melunas hasrat cinta pada gadis idaman, jiwa kecewa bagai diragut bahagia lantaran lazimnya penonton mengandaikan diri selaku watak utama.

Berpindah pada contoh yang lebih tinggi, saat pejuang kehilangan madu' atau bisa jua pertentangan fikrah deras menikam, jiwa bagai hilang arah. Manusia mencari tempat mengadu duka payah perjuangan sedang kefahaman seharusnya menebal bahawa hanya Allah empunya langit dan bumi.

I wish I want not to want...

Bisakah manusia penuh noda punya jiwa tanpa kemahuan?

Total submission...

Bagaimana bisa digapai kemuliaan agama andai ilmu masih menipis, kefahaman begitu dangkal, jiwa diasak pertanyaan sedang diri terdampar tanpa arah??? Harus dunia metaphysics diteroka, sendiri terasa benar-benar sendiri...

Sabar... Bukankah HAMKA dalam nukilan Tasawuf Moden pernah punya rasa memutus nyawa lantaran beban terlalu...

Rindu...

Rindu berteleku di pusara arwah abah, tempat paling indah mendamai kalbu...

Punya jiwa yang mahu melebihi kemahuan manusia lain harus akur kehilangan bahagia yang nisbi sifatnya berbanding manusia lain. Sesekali merenung aturan takdir, siapa bisa menukil ceritera seindah layar kehidupan manusia? Berani sungguh bicara segalanya berevolusi tanpa Tuhan di antaranya. Keyakinan... Akan mekar bahagia di hujung ceritera...

Pandang sekeliling, indah dunia bisa saja memukau jiwa penuh noda... Saya diasak pertanyaan di manakah indahnya wanita... Saat hegemoni merasuk merobek malu, naif sungguh berbalut tabarruj bercalit riak... Di mana makna sebenar?

Lantas bicara Aisyah pada Rasulullah jadi sandaran... Bahawa yang membeda makhluk itu adalah akalnya. Lantaran amal itu terlaksana setara akal...

p/s: kerja sangat banyak!!! Maka atas alasan apakah saya masih sibuk membaca kisah Mikhail Gorbachev, Bertrand Russell dan tulisan Einstein berkenaan RELIGION AND SCIENCE: IRRECONCILABLE??? Puas juga saya meneliti Berita Harian, The Times of India, Harakah, Malaysiakini, blog Tun, blog Najib, blog beberapa gerakan jemaah, blog beberapa ulama' berkenaan hukum Fiqh, blog sasterawan (esp Faisal Tehrani) dan blog2 yg lazim saya lawati... Nuhara... Cukup2... Biochemistry, Physiology, Anatomy...